Patut dicontohi! Emma, bekas suami sepakat besarkan cahaya mata bersama. 'Tidak setuju berdendam & anak jadi mangsa'
ASAL bercerai sahaja, naik turun mahkamah tuntut hak penjagaan anak-anak. Itulah situasi yang sering berlaku pada pasangan yang sudah tidak bersefahaman dan memilih jalan untuk berpisah. Apatah lagi perpisahan itu tidak menemui jalan damai dan saling membenci satu sama lain.
Namun begitu, lain pula bagi pandangan pelakon cantik, Emma Maembong dan juga bekas pasangannya, Muhammad Shazli Azhar yang memilih untuk membesarkan cahaya mata mereka bersama-sama.
"Tiada siapa yang mahukan perkahwinan berakhir di tengah jalan, tiada mana-mana pasangan yang mahu bergaduh. Setiap orang ada impian tetapi tidak semua menjadi kenyataan seperti yang diinginkan.
"Anak-anak membesar dan mereka perlukan kasih sayang ibu dan ayah mereka. Bagi mereka, ibu ayah adalah wira mereka.
“Jadi pada saya, walaupun kami bercerai, tak perlulah kami bergaduh dan rebutkan hak penjagaan anak. Saya tidak bersetuju untuk berdendam dengan bekas pasangan, halang jumpa anak kerana pada akhirnya, anak-anak yang jadi mangsa,” katanya ketika ditemui SinarpPlus.
Berpisah secara baik
Dalam pada itu, Emma yang sebelum ini berkunci mulut akhirnya buka cerita perihal keretakan rumah tangganya terdahulu selepas berbincang dengan bekas suaminya.
"Kalau ikutkan saya tidak mahu dedahkan perihal penceraian ini kepada umum tetapi selepas berbincang dengan bekas suami, kami sepakat untuk beritahu.
"Keluarga juga terkejut dan bertanya kenapa kami bercerai. Apa yang boleh diaktakan, perkahwinan kami bukan mudah, tetapi tidak perlu cerita apa punca kecewa.
“Kami berpisah cara baik, tidak bergaduh. Saya dan bekas suami sebelum berpisah cuba perbaiki hubungan, tetapi jodoh kami tak panjang. Tapi perceraian ini bukanlah penamat segalanya.
"Bagi saya, jika kita percaya pada ketentuan-NYA, insya-ALLAH kita akan reda melalui setiap ujian," jelas pemilik nama Fatimah Rohani Ismail.
Bagaimanapun tegas Emma, setakat ini tiada istilah orang ketiga yang menjadi punca kehancuran rumah tangga mereka.
“Kami dah cukup matang melalui perpisahan ini. Kalau untuk kembali bersama, saya tak tahu. Jodoh ALLAH yang tentukan.
“Apa pun saya tak mahu komen lebih. Cukup sekadar umum tahu saya gembira dengan hubungan ini dan bekas suami yang masih baik, sama-sama membesarkan anak-anak kami,” tambah Emma.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang