Pelawak rupanya sudah 8 tahun positif dadah, disyaki miliki ganja. '2 plastik lut sinar berisi daun kering'
TIDAK hanya positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC), pelawak berusia 41 tahun dipercayai memiliki dadah jenis ganja di rumahnya di Cyberjaya!
Dalam perkembangan terbaharu, Ketua Polis Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, soal siasat ke atas pelawak itu terbabit mendapati dia terbabit dalam penagihan dadah sejak lapan tahun lalu.
"Serbuan dijalankan di rumah teres itu yang juga kediaman didudukinya. Polis kini sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum dihantar ke Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Tambah Norhizam, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Bekas peserta rancangan realiti televisyen itu direman lima hari bermula semalam.
Dia terdahulu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang dalam serbuan yang dijalankan di rumah teres yang didiaminya kira-kira 3.10 petang Sabtu lalu.
Difahamkan, hasil pemeriksaan lanjut polis di premis tersebut menemukan dua peket plastik lut sinar yang tiap satunya mengandungi leraian dedaun kering disyaki dadah jenis ganja.
Anggaran berat keseluruhan dadah disyaki ganja yang telah dirampas ialah 60.3 gram.
9 BAHAYA GANJA
Ganja adalah sejenis dadah yang diambil oleh individu yang keinginan rasa relaks dan 'melayan perasaan' terutamanya jika mereka sedang stres mahupun ingin melarikan diri daripada realiti.
Ganja dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai marijuana yang merujuk kepada daun-daun yang kering, bunga dan benih daripada tumbuhan bernama Cannabis Sativa atau Cannabis Indica.
Kajian menunjukkan bahawa penggunaan ganja atau turut dikenali sebagai kanabis boleh menyebabkan pelbagai jenis kesan sampingan jangka masa pendek dan panjang antaranya;
1. Masalah kesuburan dan sukar untuk hamil
Bahan aktif yang terkandung di dalam ganja dikenali sebagai THC akan memberikan kesan sampingan terhadap organ pembiakan dalaman terhadap kedua-dua jantina, wanita mahupun lelaki.
Penggunaan ganja bagi kaum lelaki akan mengurangkan jumlah sperma dalam air mani.
2. Sakit kepala
Menurut kajian yang pernah dilakukan pada tahun 1992, penghisap ganja melaporkan bahawa mereka akan mengalami sakit kepala yang sederhana dan teruk sejurus selepas bangun daripada tidur.
Ia mungkin didasari oleh faktor kadar tekanan darah menjadi rendah selepas menghisap tumbuhan ini.
Pun begitu, pengguna tegar ganja mengatakan bahawa sakit kepala yang dialami ini adalah perkara yang biasa.
3. Mulut kering
Cotton mouth ini adalah istilah yang digunakan untuk merujuk keadaan mulut yang kering akibat pengambilan tumbuhan ini.
Menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal “Addiction Research & Theory”, 79 peratus pengguna tegar ganja menyatakan akan merasai kesan ini.
Kesan ini akan dirasai terutamanya ketika sedang makan, minum atau mengunyah gula-gula getah.
4. Ketagihan
Ini adalah kesan ganja yang paling berbahaya kerana ia juga adalah sama seperti dadah lain yang menyebabkan ketagihan terhadapnya.
Kajian pada tahun 2010 menyatakan bahawa mereka yang ingin cuba berhenti daripada mengambilnya akan mengalami kesan withdrawal.
5. Masalah mental
Ada sesetengah berpendapat tumbuhan itu adalah jalan keluar daripada kekusutan atau kekacauan yang sedang berlaku dalam minda.
Itu silap! Hakikat sebenarnya ia akan menambahkan rasa kecelaruan, kegelisahan dan kemurungan selain membuat kalian terasing daripada masyarakat.
6. Selera makan meningkat
Ya, ini adalah kesan yang mungkin ramai daripada kita sudah tahu kerana ia adalah sangat ketara dalam kalangan pengguna tumbuhan terlarang ini.
Meskipun sebabnya masih belum dapat dikenal pasti, namun kajian pada tahun 2015 menyatakan ia mungkin berpunca daripada kesilapan penghantaran signal ke otak.
Buat inidvidu yang menyangkakan ia adalah kesan baik buat mereka yang ingin meningkatkan berat badan, itu ternyata silap kerana ia membahayakan kesihatan.
7. Kemerosotan daya ingatan
Banyak kajian menemukan pengguna ganja mengalami masalah daya ingatan jangka pendek. Namun, kemerosotan ingatan dikesan lebih teruk pada remaja dan ia berkemungkinan berlaku dalam masa jangka masa panjang.
8. Kemurungan dan keresahan
Walaupun ganja dikatakan mampu menjadi rawatan untuk kemurungan, dalam beberapa kes ia memberi impak sebaliknya. Penagihnya boleh mengalami keresahan atau ketakutan selepas menghisap ganja.
9. Masalah paru-paru
Seperti rokok, menghisap ganja boleh memberikan kemudaratan kepada sistem pernafasan pengguna seperti bronkitis, batuk-batuk dan semput.
Justeru, jangan sesekali kalian mencuba untuk ambil dadah ini kerana ia boleh mendatangkan ketagihan yang amat dahsyat.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang