Rahsia ketenangan Siti Nurhaliza, amalkan zikir Bismillah 5 sejak hamil anak sulung- 'Saya belajar daripada mak...'
KADANG-kadang dalam kesibukan mengejar dunia, kita terlupa bahawa yang paling memerlukan rehat bukanlah tubuh, tetapi hati.
Dalam dunia hiburan yang penuh sorotan lampu dan tumpuan ramai, mencari ketenangan jiwa bukanlah perkara mudah. Namun bagi penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, penawar ketenangan itu hadir dalam bentuk yang sangat sederhana iaitu zikir Bismillah 5.
Mesra disapa TokTi, wanita cantik manis itu mengakui sudah lama mengamalkan zikir tersebut, malah ia bermula sejak dirinya hamil anak sulung kira-kira tujuh tahun lalu.
Amalan itu dedahnya diajarkan oleh ibu tersayang, Siti Salmah Bachik dan sehingga kini masih menjadi pegangan yang tidak pernah ditinggalkan.
"Sebelum ini, hanya membaca selawat dan baca doa pelindung seperti surah tiga Qul dan sebagainya.
“Kita semua tahu zikir Bismillah 5 ini banyak manfaatnya. Saya belajar daripada mak ketika mengandung anak sulung dan saya teruskan sehingga ke hari ini,” ujarnya.
Bagi ibu kepada sepasang cahaya mata itu, zikir tersebut bukan sekadar bacaan untuk anak dalam kandungan semata-mata, tetapi pelindung diri dan keluarga.

PESANAN IBU
Pesanan ibunya yang sering mengingatkan tentang amalan tersebut memberi makna mendalam buat dirinya, apatah lagi dalam dunia seni yang penuh cabaran dan ujian.
“Mak selalu pesan pada anak-anak, terutama kita dalam industri ini yang sentiasa terbuka dengan apa sahaja. Kadang-kala kita tak tahu apa yang kita buat, tersalah cakap pun boleh.
'Jadi mak ingatkan, bukan mudah jadi anak seni. Alhamdulillah, setakat ini, saya tak ada berdepan perkara pelik,” kongsinya lagi.
Biduanita negara itu bagaimanapun tidak menafikan, dunia seni ada bahagian indahnya, namun di sebalik kemeriahan dan glamor, ada juga sisi yang memerlukan kekuatan rohani.
Sebagai insan yang sering berhadapan dengan pelbagai pandangan dan ujian, zikir menjadi benteng perlindungan dan ketenangan bagi dirinya.
“Mak selalu berpesan untuk baca zikir tambahan seperti Bismillah 5 sebagai ikhtiar untuk elak perkara tidak diingini,” tambahnya lagi.
Memetik Harian Metro, Siti turut menyentuh kisah melibatkan anak saudaranya, Amad Dayyan, yang dikatakan pernah berdepan gangguan ketika membuat persembahan.
Namun, pelantun lagu Menamakanmu Cinta memilih untuk tidak memperbesarkan perkara itu, sebaliknya melihatnya sebagai satu pengalaman yang boleh dijadikan pengajaran.
“Kisah itu pun sudah berlalu, saya tak mahu panjangkan lagi. Ini pengalamanlah.
"Setiap orang ada pengalaman dan ini pengalaman yang Amad lalui. Jadi, perlu berwaspada, itu sahaja,” katanya dengan nada tenang.

Baginya, pengalaman tersebut mengingatkan bahawa bukan semua yang berlaku dapat dijelaskan dengan logik.
"Ada masanya kita perlu yakin dengan kuasa doa dan perlindungan ALLAH dan zikir Bismillah 5 menjadi satu amalan yang menguatkan hati dalam menghadapi sebarang kemungkinan.
“Bagi saya, zikir ini bukan untuk anak kecil sahaja, tapi untuk kita juga,” katanya sambil tersenyum.
Dalam perkembangan lain, Siti baru-baru ini melancarkan album baharu berjudul Gema Bumantara yang menampilkan elemen tradisional dan nilai budaya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

