'Real life, bukan content' – Intan Najuwa akui hidup bukan sekadar cantik, kongsi cara urus karier & keluarga
PELAKON cantik, Datin Intan Najuwa tampil memberi penjelasan mengenai gaya hidupnya yang sering menjadi perhatian ramai di media sosial.
Bagi Intan, apa yang dikongsikan di laman sosial bukanlah untuk menunjuk-nunjuk, tetapi lebih kepada satu bentuk ekspresi diri dan cara untuk berinteraksi dengan para pengikutnya.
Katanya, amalan berkongsi kehidupan harian bukanlah sesuatu yang baharu. Sejak zaman bujang lagi, dia sudah terbiasa memuat naik aktiviti hariannya dan apabila bergelar isteri serta ibu, kebiasaan itu diteruskan agar dapat memberi inspirasi kepada wanita lain.
“Apa yang saya muat naik di media sosial itu untuk menggembirakan diri sendiri dan cara saya berhubung dengan pengikut.
“Dari dulu saya sudah berkongsi, bukan baharu sekarang. Harapan saya, orang tengok semuanya dari sudut yang baik dan positif,” ujarnya.

Intan berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan Bersama Yayasan Nurjiwa X Inayah Beauty yang berlangsung di Ideas Hotel, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Isteri kepada Datuk Ahmad Asraf Azman itu juga menegaskan bahawa kehidupannya bukanlah direka-reka atau dilakonkan untuk kelihatan sempurna.
Sebaliknya, apa yang dikongsi adalah realiti dirinya sebagai wanita, isteri dan ibu kepada bayi perempuan, Imane Lunara, yang kini berusia tujuh bulan.
“Saya tidak lakonkan kehidupan. Apa yang saya kongsi itu memang betul-betul berlaku. Saya bukan buat kandungan semata-mata. Saya kongsi sebab rasa ia bermanfaat dan mungkin boleh jadi inspirasi kepada ibu-ibu lain,” ungkapnya.
BONDING DENGAN ANAK
Sebagai isteri, Intan akui dia tahu batas dan tanggungjawabnya walaupun suaminya tidak pernah menghalang atau meletakkan sebarang sekatan dalam kerjayanya. Bagi Intan, dia tahu membezakan apa yang sesuai untuk dikongsi dan apa yang perlu disimpan sebagai hal peribadi.

“Suami saya tidak pernah letak sekatan. Tetapi saya tahu batas saya. Saya tahu apa yang patut dikongsi dan apa yang perlu disimpan sendiri,” ujarnya.
Dalam kesibukan kerja di set penggambaran, Intan tetap memastikan dia ada masa untuk anak. Katanya, walaupun terikat dengan jadual penggambaran, dia akan berusaha mencari ruang untuk bersama Lunara, termasuk meminta pembantu membawa anak ke lokasi.
“Saya kerja, tetapi hubungan tetap ada. Kadang-kadang saya minta pembantu bawa anak datang ke set. Kami makan bersama-sama. Tapi saya pastikan tidak mengganggu sesiapa di set,” katanya.
Intan juga meluahkan rasa syukur apabila suaminya menyediakan jururawat khas untuk membantu menguruskan Lunara. Katanya, langkah itu dibuat kerana dia sendiri jenis yang mudah risau dan suaminya memahami keadaan tersebut.
“Alhamdulillah, suami sediakan jururawat. Mungkin sebab saya terlalu risau. Dia mahu mudahkan kerja saya dan dalam masa sama, tenangkan saya juga,” jelasnya lagi.
Namun begitu, Intan menegaskan bahawa tidak semestinya ibu yang tidak mempunyai jururawat atau pengasuh itu kurang daripada ibu lain. Setiap ibu ada cara dan rezeki masing-masing.
“Setiap ibu ada rezeki berbeza. Jangan rasa kurang kalau tiada pengasuh atau jururawat. Apa yang penting, semua ibu pasti mahu yang terbaik untuk anak mereka. Sama seperti saya,” katanya.
DUA CAHAYA MATA
Apabila ditanya tentang perancangan untuk menambah anak, Intan secara jujur mengakui bahawa dia masih belum bersedia.
Katanya, trauma ketika bersalin masih segar dan buat masa ini, dia mahu memberi sepenuh perhatian kepada Lunara terlebih dahulu.

“Trauma itu memang ada. Kita perempuan, normal kalau rasa takut. Tetapi buat masa ini saya mahu beri perhatian penuh kepada Lunara dahulu. Kalau boleh, saya nak dua orang anak… harap sepasang. Tapi kalau dua-dua perempuan pun saya okey. Itu semua rezeki,” katanya sambil tersenyum.
Untuk makluman, Intan sah bergelar isteri kepada Datuk Ahmad Asraf Azman pada Ogos 2023.
Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Imane Lunara yang dilahirkan pada 15 Disember lalu.
Intan juga merupakan anak kedua daripada tiga beradik dan kini sedang giat membina kerjaya seni sambil menyesuaikan diri dalam fasa baharu sebagai isteri dan ibu muda.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
