'Rezeki saya untuk isteri, bukan anak-anak' – Johan dedah sebab sebenar bekerja keras

No Image Caption
A
A
A

RAMAI apabila ditanya kenapa sanggup bekerja keras, jawapannya demi kehidupan yang lebih baik untuk anak-anak. 

Namun, pelawak dan penyampai radio popular, Johan tampil dengan kenyataan berbeza. 

Bagi pemilik nama sebenar, Mohd. Yazid Lim Mohamad Aziz, segala penat lelahnya dalam dunia seni dan perniagaan bukan untuk diwariskan kepada anak-anak, sebaliknya untuk memberikan keselesaan dan kebahagiaan buat isteri tercinta, Ozlynn Waty. 

No Image Caption

“Saya bekerja keras baik sebagai penyampai radio dan usahawan sebab maklumlah anak kami ramai. Kami tanggung segala perbelanjaan mereka. 

"Mereka nak apa, kami berikan. Tiada subsidi,” katanya. 

Namun katanya, semua itu dilakukan atas dasar tanggungjawab, bukan kerana mahu mengumpul harta untuk diwariskan kepada anak-anak. 

“Saya tidak harapkan balasan daripada mereka. Saya hanya pastikan mereka dapat pendidikan yang terbaik, itu tanggungjawab saya sebagai bapa,” ujarnya lagi. 

Sebagai bapa kepada enam cahaya mata, lelaki berusia 41 tahun itu percaya, setiap anak perlu melalui perjalanan hidup sendiri dan belajar berdikari. 

“Apa yang saya cari hari ini bukan harta untuk anak cucu saya, sebaliknya untuk isteri. 

"Sebab saya sudah bekalkan kepada anak-anak dengan tiga perkara penting iaitu pendidikan, ilmu dan pelajaran.

“Dengan tiga perkara ini, saya mahu mereka keluar dan cari kekayaan sendiri. 

"Kalau nak kekayaan saya juga, lebih baik jadi pembantu peribadi. Saya berikan rumah, kereta semua,” katanya berseloroh. 

Walaupun nadanya bersahaja, falsafah hidup Johan cukup mendalam. Dia percaya setiap anak perlu memahami nilai kerja keras, bukannya hidup menunggu ihsan ibu bapa. 

“Selagi saya hidup, kekayaan saya bukan untuk mereka. Saya mahu mereka belajar berdikari dan faham nilai usaha. 

"Lagipun, anak tidak semestinya minat apa yang kita minat. Kita kena terima dan galakkan mereka teroka minat sendiri,” jelasnya lagi. 

No Image Caption

HALUAN MASING-MASING

Menyentuh soal kasih sayang terhadap keluarga, pelawak terkenal itu tidak menafikan cintanya kepada anak-anak amat mendalam. Namun, dia mengingatkan bahawa satu hari nanti anak-anak akan dewasa dan membawa haluan masing-masing. 

“Sebab itu, bila balik rumah lepas penat kerja, saya cari isteri saya dahulu. Anak-anak nanti membesar dan keluar rumah bila berkahwin. Akhirnya saya akan hidup dengan isteri saya sahaja. 

“Saya mahu biasakan perkara itu dari sekarang, beri masa, beri perhatian dan terus menghargai isteri yang selama ini bersama saya dalam susah senang,” katanya lagi. 

Bagi Johan, kejayaan bukan diukur pada berapa banyak harta yang dikumpul, tetapi sejauh mana dia mampu membahagiakan orang yang disayangi dan memberi manfaat kepada orang lain. 

“Saya nak anak-anak nampak contoh, bukan hanya dengar nasihat. "Pada masa sama, saya mahu tunjukkan yang kita kena usaha, rajin, dan ada prinsip. 

"Kalau nampak ayah mereka kerja kuat dan jujur, itu lebih bernilai daripada duit,” ungkapnya lagi.

No Image Caption

RAKAN KONGSI STRATEGIK

Selain aktif di konti radio, dia juga dilihat semakin serius dalam dunia keusahawanan. 

Memetik Berita Harian, Johan baru-baru ini dilantik sebagai rakan kongsi strategik kepada syarikat permotoran tempatan, GGR, yang fokus pada pembangunan motosikal elektrik (EV) dan ekosistem mobiliti hijau di Malaysia. 

Syarikat tersebut bukan sahaja menghasilkan motosikal elektrik, malah menyediakan rangkaian selepas jualan lengkap termasuk bengkel, pusat servis, dan rakan niaga tempatan. 

Menariknya, galeri jualan dan pusat servis GGR dibuka bersebelahan restoran miliknya, Itik ke Ayam?, dan Johan sendiri akan turut turun padang melayan pelanggan. 

No Image Caption

“Saya akan layan pelanggan sendiri untuk servis. Paling penting, saya mahu majukan perniagaan bumiputera, khususnya anak muda,” katanya. 

Dia juga optimis terhadap masa depan motosikal elektrik di Malaysia. 

“Saya percaya rakyat Malaysia akan mula beralih ke motor EV kerana ia lebih mesra alam, berbaloi dari segi harga, servis dan kualiti. 

"Motor ini juga tidak menggunakan petrol, jadi lebih menjimatkan wang,” jelasnya penuh yakin. 

Sumber: Kosmo online dan Berita Harian 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang