Selepas 10 tahun bergelar pelakon, Fendy Bakry kini jadi penerbit teater, MSP karya Usman Awang jadi pilihan

No Image Caption
A
A
A

SEBELUM ini, kelibat pelakon Fendy Bakry berlakar di layar kaca. Tenang, bersahaja, dengan aura lelaki budiman. Namun tahun ini, langkahnya sedikit berbeza.

Fendy memilih untuk keluar dari zon selesa dan melangkah ke dunia belakang tabir, apabila buat pertama kali menggalas tanggungjawab sebagai penerbit teater untuk naskhah Purbawara: Matinya Seorang Pahlawan (MSP).

Selepas sedekad dalam industri seni, pemilik nama sebenar, Mohd Affandi Nor Bakri melihat projek tersebut bukan sekadar pengalaman baharu, tetapi platform untuk mengetengahkan peranan Persatuan Pembangunan Inisiatif Malaysia (NADIM) yang dekat di hatinya.

Baginya, teater bukan sekadar minat lama, tetapi medium yang membentuk dirinya sejak awal pembabitan dalam dunia seni.

Mengakui bimbang menerima kritikan, khususnya daripada penggiat teater yang lebih berpengalaman, bekas peserta Hero Remaja 2012 itu tetap memilih untuk melihat segala komen sebagai proses belajar dan memperbaiki diri.

Walaupun ramai hanya melihat hasil akhir di pentas, Fendy menjelaskan bahawa cabaran sebenar sebenarnya terletak pada kerja-kerja belakang tabir seperti pengurusan, koordinasi teknikal dan persiapan produksi.

Sebagai penerbit baharu, banyak perkara yang terpaksa dipelajarinya dari awal dan pengalaman itu membuka perspektif baharu tentang dunia teater.

Fendy yang pernah mencuri perhatian melalui watak Mr. Grey turut berterus terang bahawa projek pertama ini menuntut pengorbanan besar.

No Image Caption

Masa, tenaga dan kewangan adalah antara komitmen utama yang perlu ditumpukannya. Namun, keyakinannya bahawa usaha ikhlas akan dipermudahkan serta sokongan keluarga menjadi pendorong terbesar.

Sepanjang proses itu, naskhah MSP bukan sekadar karya yang dipentaskan, sebaliknya menjadi perjalanan peribadi yang mengajarnya tentang kehilangan, ketabahan dan makna hidup.

Anak kelahiran Perlis itu berharap agar industri seni teater di Malaysia terus subur dengan lebih banyak pementasan yang memelihara identiti dan warisan Melayu sambil bergerak seiring perkembangan teknologi.

Projek MSP turut mendapat kerjasama JKKNWPKL, dengan sokongan MOTAC dan MaTic, selain rakan strategik seperti UPSI, WARDAH, Dinda.look, Firz Hafiz, TEGAS Broadcast Multimedia, Kantin dan ramai lagi.

Pada masa sama, pelakon berkulit hitam manis itu juga melihat produksi berkenaan sebagai titik permulaan kepada lebih banyak karya dan kolaborasi yang ingin diketengahkan.

Dalam masa yang sama, Fendy kini aktif dalam latihan industri usahawan mikro dan asnaf dengan memberikan bimbingan kepada golongan berpendapatan rendah untuk menjana pendapatan sendiri.

Walaupun beberapa tawaran dalam bidang seni sudah diterima, beliau memilih untuk menumpukan perhatian kepada komitmen latihan industri terlebih dahulu sebelum memberi tumpuan kepada projek seni seterusnya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang