Status & gaya hidup bukan ukuran, Shila Amzah tak kisah Ubai buat kerja penghantaran – 'Janji suami gembira, saya okey'
BAGI sesetengah pasangan, status dan gaya hidup mungkin jadi ukuran. Namun buat Shila Amzah, kebahagiaan rumah tangga terletak pada keikhlasan dan usaha, bukan jenis pekerjaan.
Penyanyi bersuara emas itu mengakui langsung tidak kisah sekiranya suaminya yang juga pempengaruh, Ubai, melakukan kerja sampingan seperti servis penghantaran barang ketika mempunyai waktu terluang.
Sebaliknya, Shila melihat sikap itu sebagai satu nilai positif kerana Ubai atau nama sebenarnya, Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli, seorang yang rajin bekerja dan tidak gemar mensia-siakan masa.
Bagi ibu kepada sepasang cahaya mata itu, suaminya memiliki energi tinggi dan sukar untuk duduk diam walaupun seketika.
“Yang pergi buat kerja tu sebenarnya suami saya, bukan saya. Gambar saya naik motor tu pun dia ambil dan simpan dekat poket saja. Tak ada kaitan pun,” katanya sambil menjelaskan situasi sebenar.
Menurut Shila, Ubai memang seorang yang tidak boleh ‘lepa’ atau membiarkan masa berlalu begitu sahaja. Setiap ruang kosong pasti diisi dengan sesuatu yang bermanfaat.
“Dia memang tak boleh kosong. Waktu kosong tu dia rasa macam kena buat sesuatu.
"Dia ada banyak tenaga, mungkin sebab umur pun masih muda, baru 27 tahun,” katanya.
Tambah anak jati Kuala Lumpur itu, sebelum mereka berkahwin, Ubai sememangnya pernah melakukan pelbagai kerja sambilan termasuk perkhidmatan penghantaran ketika masih belajar bersama rakan-rakan.
“Masa belajar dulu, dia pernah buat kerja Grab dengan kawan-kawan dekat kolej.
"Dia selalu cerita dan kadang-kadang dia kata rindu pula nak buat kerja macam tu,” jelasnya.
Perubahan status hidup
Bagi pemilik nama penuh Nurshahila Datuk Amir Amzah, pengalaman hidup yang pernah dilalui suaminya membuatkan Ubai lebih menghargai setiap usaha dan rezeki yang datang, walau dalam apa jua bentuk.
“Dia sangat hargai apa yang dia pernah lalui sebelum ini.
"Kadang-kadang bila dia buat semula, bukan sebab duit semata-mata, tapi lebih kepada rasa rindu dan kenangan,” ujarnya.
Menariknya, hubungan Ubai dengan rakan-rakan lama juga masih kekal hingga kini, sesuatu yang disifatkan Shila sebagai satu nilai positif dalam kehidupan berpasangan.
“Dia masih berkawan dengan kawan-kawan lama dia.
"Saya rasa itu bagus sebab kita pun tak pernah rasa perubahan status hidup yang mendadak,” katanya.
Psda masa sama, anak sulung daripada tiga beradik itu menegaskan prinsip rumah tangga yang dipegangnya cukup sederhana.
Selagi suaminya bahagia dan melakukan perkara yang baik, dia sentiasa memberi sokongan penuh.
“Apa yang buat suami gembira, saya okey saja. Alhamdulillah,” katanya ringkas namun penuh makna.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
