Tahniah! Haqiem Rusli cipta detik manis terima Anugerah Emas RIM, lagu Mimpi raih pendapatan lebih RM100,000

No Image Caption
A
A
A

SEJAK dilancarkan, Mimpi bukan sekadar trending, ia menjadi anthem perasaan bagi ramai anak muda.

Selepas bertahun masih terus diputarkan, lagu itu kini mengukir sejarah tersendiri apabila dianugerahkan Sijil Pengiktirafan Anugerah Emas RIM, sekali gus mengesahkan kekuatannya di platform digital.

Pengiktirafan berprestij tersebut diberikan selepas Mimpi, yang dilancarkan pada tahun 2020, berjaya mencapai pendapatan melebihi RM100,000 melalui penstriman digital.

Majlis penyampaian sijil berlangsung di Ibu Pejabat RIM, Solaris Mont’ Kiara dalam suasana ringkas namun penuh simbolik.

Menurut RIM, jumlah pendapatan itu telah diaudit berdasarkan angka rasmi merangkumi muat turun, strim audio serta video di platform digital.

Kejayaan tersebut sekali gus membuktikan rakaman muzik tempatan masih mempunyai pengaruh kuat di hati pendengar Malaysia dan juga luar negara.

Lebih menarik, Mimpi lahir daripada kerjasama dua nama besar iaitu Haqiem Rusli dan penerbit drama terkenal, Dato’ A. Aida di bawah terbitan FMC Music.

No Image Caption

Trending  Youtube

Single ini dilancarkan secara digital pada 15 Disember 2020, manakala video muzik rasminya dimuat naik pada 7 Januari 2021. Tidak menunggu lama, lagu itu terus meraih tempat di carta trending YouTube dan hampir mencecah satu juta tontonan hanya dalam beberapa hari.

Pengerusi RIM, Encik Rosmin Hashim menyifatkan pencapaian ini sebagai bukti cinta berterusan terhadap muzik tempatan.

“RIM sentiasa gembira mengiktiraf artis dan label Malaysia yang mencapai kejayaan komersial membanggakan.

"Pensijilan ini membuktikan sokongan kukuh terhadap rakaman muzik tempatan, di dalam dan luar negara.

"Tahniah kepada Haqiem Rusli dan FMC Music atas kreativiti serta dedikasi mereka," ujarnya.

Sementara itu, Haqiem sendiri dalam perkongsian memberitahu, sijil emas berkenaan hadir sebagai penghargaan penuh makna.

“Saya amat berbesar hati menerima pengiktirafan ini.

"Mimpi sangat dekat di hati saya, dan saya bersyukur atas sokongan FMC Music, pasukan saya dan semua pendengar," ungkap pelantun lagu Sangkar Derita itu lagi.

Pengurus PR FMC Music turut menzahirkan rasa bangga terhadap kejayaan itu.

"Mimpi lahir daripada jiwa dan dedikasi Haqiem bersama pasukan.

"Pengiktirafan tersebut membuktikan setiap nota dan liriknya benar-benar menyentuh hati pendengar," jelasnya.

Dengan penghargaan ini, Mimpi terus berdiri sebagai lebih daripada sebuah single, sebaliknya kini menjadi simbol bahawa karya jujur dan berkualiti sentiasa menemui jalannya kepada peminat, tidak kira masa.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang