Tokoh akademik ambil tindakan ke atas Rita Rudaini isu Muafakat MRSM, dakwa digelar profesor kangkung, narsisis
PELAKON Rita Rudaini dipercayai berhadapan saman daripada tokoh akademik yang juga Yang Dipertua MUAFAKAT Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor dan timbalannya selepas notis tuntutan RM1 juta tidak dipatuhi.
Menerusi F8Buzz yang berkongsi video sidang media berkenaan, Mohd Roslan Mohd Nor selaku plaintif pertama dan Saidah Haris @ Harith selaku plaintif kedua memfailkan saman itu terhadap defendan, Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mohammad @ Mokhtar melalui Tetuan Adnan Sharida & Associates yang diwakili Datuk Adnan Seman pada 6 Disember lalu.
Menurut peguam, kedua-dua plaintif turut mendakwa defendan bertindak secara semberono dan dikatakan mempunyai niat jahat kerana memuat naik kenyataan tanpa semakan serta mempunyai kesan reputasi yang besar memandangkan jumlah pengikut defendan yang ramai.

"Antara label fitnah yang dipersoalkan termasuk dakwaan plaintif-plaintif sebagai bongkak, narsisis, tidak professional, 'prof kangkung', gila jawatan, penipu, tidak layak memegang jawatan MUAFAKAT serta tuduhan salah urus wang ibu bapa," kongsinya.
Sementara dalam laporan mStar, Adnan berkata, kedua-dua plaintif turut mendakwa defendan memuat naik kenyataan tanpa semakan serta mempunyai kesan reputasi yang besar susulan jumlah pengikut defendan yang ramai.
"Justeru plaintif menuntut perintah injunksi, memadam kenyataan fitnah, permohonan maaf secara video selama tiga bulan serta ganti rugi am, teruk, pengajaran, faedah lima peratus setahun dan kos tindakan," ujarnya.

Kes tersebut dibawa ke peringkat mahkamah selepas defendan gagal memadam semua pernyataan berbaur fitnah, aku janji tidak menerbitkan pernyataan fitnah, permohonan maaf dan ganti rugi am sebanyak RM1 juta yang diminta plaintif dalam satu notis tuntutan bertarikh 15 Oktober lalu.
Difahamkan, kedua-dua plaintif yang merupakan tokoh pendidikan dan akademik mempunyai anak yang sedang mengikuti pengajian di maktab terbabit.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
