Wawa Zainal dedah alami gastrik teruk, anak pula sukar bernafas lepas kek viral. 'Adakah ini penyakit ain?'
KESIHATAN usahawan Wawa Zainal dan anaknya terganggu menjadi perhatian warganet. Baru-baru ini, beliau dilaporkan mengalami masalah gastrik teruk manakala anak perempuannya, Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 9 sesak nafas.
Berkongsi dengan warga maya, pemilik nama Nur Hawa Zainal Abidin menyuarakan kebimbangan dengan keadaan Hayla.
"Kasihan anak mama. Tiada kahak tetapi sesak nafas. Dia kata susah untuk bernafas, Wawa pun tidak pasti adakah ini yang dinamakan 'ain'?
"Nauzubillahminzalik. Wawa meminta maaf dan ampun kalau kehadiran kek batik Hayla membuat sesetengah pihak kurang senang.
"Alhamdulillah Wawa sudah pulih selepas kena gastrik teruk kelmarin tetapi Hayla pula ganti sesak nafas," kongsi Wawa di Instagram.

Dalam masa yang sama, isteri Aeril Zafrel itu yang meminta panduan untuk mengelakkan penyakit ain menyatakan tidak dapat mengelak daripada membuat hantaran di media sosial sebagai sebahagian daripada strategi perniagaan.
"Kalian ada tak amalan untuk menghindarkan ain?"
"Jangan cakap untuk tidak posting apa-apa. Sebagai pemilik bisnes, kamilah muka hadapan yang perlu promosi bisnes.
"Kalau diberi pilihan untuk tidak membuat apa-apa hantaran pun saya mahu.
"Malah tidak memiliki sosial media pun tidak mengapa namun apakan daya. Siapa lagi yang promosi jualan kami kalau bukan kami sendiri," kongsinya.
Terdahulu, Hayla memulakan perniagaan kek batik dan telah menerima sambutan menggalakan daripada pelanggan.
Hayla bahkan menerima tempahan sebanyak 500 pek biarpun baharu berkongsi video memasak pencuci mulut itu pada dua minggu lalu.

Ain berpunca daripada takjub
Memetik Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, penyakit ain disebabkan oleh pandangan mata yang disertai sifat iri atau rasa takjub terhadap apa yang dipandang.
Ia boleh terjadi sama ada daripada orang dengki, orang yang dicintai, orang jahat atau orang yang soleh seperti petikan kitab Fath al-Bari, 10/203-205:
Beliau turut berkata, ain boleh terjadi dengan rasa takjub walaupun tanpa ada sifat iri dan hasad, (boleh juga terjadi) walaupun daripada orang yang mencintai dan (walau) daripada seorang yang soleh (tanpa disengajakan).
Seseorang yang terkena penyakit ain perlu berubat dengan rawatan secara syarie, termasuk dibacakan ruqyah atau doa serta dimandikan dengan air.
Elak penyakit ain
Dalam pada itu, setiap individu perlu berusaha berlindung daripada penyakit ain dengan konsep tawakal dan memohon perlindungan daripada ALLAH SWT.
"Kami juga ingin mengajak kepada pembaca untuk mengamati dan tadabbur surah al-Falaq dan mengamalkannya supaya terhindar daripada penghasad dan pendengki," titipnya.
Terdahulu, pendakwah dan penceramah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias atau Ustaz Kazim berkongsi cara untuk menghindari daripada penyakit ain.
Jelasnya, dalam menerima pujian, individu tersebut perlu menyebut zikir.
"Apabila orang puji cantik, jangan kita jawab ‘biasa sahaja’.
“Jawapan macam itu boleh terkena ain. Kita tidak tahu orang yang memuji itu niat mereka apa.
"(Sepatutnya) apabila orang puji saja, sebut Subhanallah, Alhamdulillah haza min fadli rabbi,” kongsinya.
Sementara itu, menurut Ustazah Marhamah Rosli, terdapat lima perkara atau aktiviti utama yang tidak boleh dinormalisasikan untuk mengelakkan penyakit ain.
1-Menunjuk kebahagiaan secara berlebihan.
2- Berkongsi kejayaan tanpa hikmah.
3-Mempamerkan kecantikan atau fizikal berlebihan.
4- Mengabaikan zikir dan doa perlindungan.
5-Tidak menjaga privasi nikmat yang ALLAH beri
Sumber: Instagram, Pejabat Mufti Wilayah, Tiktok,Facebook
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
