Michelle Yeoh dedah pernah jalani rawatan kesuburan, sedih tidak mampu mengandung & miliki zuriat. 'Setiap bulan rasa seperti kegagalan'
PELAKON Hollywood kelahiran Ipoh, Perak, Tan Sri Michelle Yeoh mendedahkan berasa 'gagal' dan sedih kerana tidak mempunyai zuriat.
Malah Yeoh, 62, itu juga mendedahkan beliau sentiasa mahu mempunyai sebuah keluarga, Malah perkahwinan pertamanya dengan ahli perniagaan Sir Dickson Poon dari 1988 hingga 1992 adalah sebahagiannya tentang anak.
Memetik BBC, dalam temu ramah bersama BBC Radio 4's Woman's Hour, Yeoh mendedahkan beliau juga pernah menjalani rawatan kesuburan tetapi itu tidak berjaya.
"Perasaan paling teruk untuk dilalui ialah setiap bulan anda akan berasa gagal.
"Dan saya fikir pada satu ketika kita perlu berhenti menyalahkan diri sendiri. Ada sesuatu dalam badan awak yang tidak berfungsi dengan cara tertentu. Begitulah keadaannya.
"Anda hanya perlu melepaskan (perasaan gagal itu) dan jalan terus hingga sampai ke tahap di mana anda berhenti menyalahkan diri," katanya menerusi slot Woman’s Hour yang dihoskan penyampai Nuala McGovern.
Artikel berkaitan:
- Kelahiran Ipoh, Miss Malaysia 1983, 15 info menarik Michelle Yeoh rakyat Malaysia pertama tercalon Pelakon Wanita Terbaik Oscar
- Michelle Yeoh kini bergelar isteri, kahwini Jean Todt selepas 19 tahun bertunang
- Ibu bangga Michelle Yeoh wanita Asia pertama menang Oscar. ‘Dia menang kerana rajin, berbakat, bijak'
Empat tahun hidup bersama Poon, kegagalan memiliki cahaya mata baginya bukan kerana tidak berusaha. Namun pelakon Tomorrow Never Dies, Crouching Tiger, Hidden Dragon dan Crazy Rich Asians itu mengakui berdamai dengan takdir.
"Sejujurnya bukan kerana kurangnya mencuba kerana saya sentiasa dan masih menyayangi bayi.Kadang-kadang, secara jujur, saya masih memikirkannya.
“Saya berusia 62 tahun. Sudah tentu dan kami baru sahaja mendapat cucu tiri.
"Ia membuatkan saya berasa bersyukur kerana masih memiliki bayi dalam hidup ini," katanya.
Ketika ditemuramah The Goop Podcast, Yeoh memaklumkan bekas suaminya mahu pewaris lelaki.
"Kami melakukan semua yang diperlukan untuk memiliki anak. Malangnya, saya tidak mampu.
"Bekas suami mahukan keluarga besar, bukan seorang anak lelaki tetapi dua atau tiga orang sebagai pewaris," katanya.
Yeoh yang berkahwin kali kedua dengan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Ferrari dan pengurus pasukan Scuderia Ferrari, Jean Todt memiliki anak tiri lelaki dan baharu sahaja menyambut kelahiran cucu tiri sulung pada Januari.
Selain cucu tiri, Yeoh juga mendedahkan rasa bertuah mempunyai anak saudara.
Pun begitu Miss Malaysia World 1983 itu mengakui mengambil masa yang lama untuk menerima hakikat tidak mempunyai anak sendiri kerana ia juga punca keretakan rumah tangga pertamanya.
Sekadar rekod, Yeoh bertunang Todt pada 2004 dan mereka berkahwin pada 27 Julai 2023.
Sumber: BBC
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang