'Garam, sayur, makanan kering kena ada...' – Ryzal Ibrahim kongsi cabaran dapat sijil halal restoran, dedah ditipu konsultan RM10,000

No Image Caption
A
A
A

ORANG mungkin nampak restoran K Garden hari ini sebagai restoran BBQ Korea yang sibuk, meriah dan diyakini halal.

Namun, di sebalik semua itu, pasangan selebriti media sosial Ryzal Ibrahim dan Maryam You Narae melalui satu perjalanan yang cukup memenatkan.

Manakan tidaknya, dari ditipu konsultan, kerugian ribuan ringgit, hinggalah terpaksa bermula semula dari bawah.

Ketika ditemui SinarPlus baru-baru ini, pasangan selebriti tersebut berkongsi cabaran yang terpaksa dilalui untuk mendapatkan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi restoran milik mereka.

Ryzal mengakui, proses permohonan berkenaan sebenarnya sudah dimulakan sejak tahun lalu. Namun segalanya menjadi rumit apabila konsultan halal yang dilantik gagal menjalankan tugas dengan betul.

“Permohonan halal kami dah mula lama, tapi sangkut sebab konsultan tak buat kerja. Bila kami semak, rupanya dia pun tak diiktiraf JAKIM,” katanya terus terang.

No Image Caption

Lebih menyakitkan, pasangan itu sudah mengeluarkan hampir RM10,000 untuk bayaran konsultan berkenaan.

Namun wang tersebut akhirnya menjadi kerugian apabila mereka menyedari maklumat yang diberikan tidak tepat.

“Kami bayar mahal, tapi rupanya kami kena tipu. Dia sendiri tak tahu prosedur sebenar JAKIM.

"Sebab itu kami terpaksa hentikan dan mula balik dari awal,” jelas Ryzal.

Bermula dari sifar membuka mata mereka tentang realiti sebenar dunia F&B, terutama melibatkan pensijilan halal. Menurut bapa kepada sepasang cahaya mata itu, setiap bahan yang digunakan di dapur perlu diperiksa satu persatu dan bukan sekadar daging sahaja.

“Garam, sayur, makanan kering, semua kena ada sijil halal. Ini bukan soal makanan tu haram atau tidak, tapi JAKIM nak tahu keseluruhan proses penyediaan,” katanya.

Cabaran menjadi lebih besar kerana restoran tersebut menyajikan makanan Korea, yang kebanyakannya melibatkan bahan import dan rantaian pembekal yang panjang.

No Image Caption

“Untuk makanan Korea, lagi banyak soalan. Siapa pembekal daging, siapa hantar, siapa bawa lori pun boleh ditanya,” katanya sambil mengakui proses itu memang mencabar tetapi wajar.

Selepas mendapatkan rujukan sah dan berurusan terus dengan pihak JAKIM, barulah proses permohonan kali kedua berjalan dengan lebih teratur.

Walaupun tempoh jangkaan awal sekitar tiga bulan, keseluruhan proses mengambil masa hampir enam bulan.

“Tapi kalau banding dengan restoran Korea lain yang ambil masa bertahun-tahun, kami bersyukur sangat. Enam bulan pun dah satu nikmat,” ujarnya.

Bukan sekadar sijil halal

Dalam tempoh tersebut, JAKIM turut menjalankan audit menyeluruh melibatkan dapur, prosedur kerja staf, latihan pengendalian makanan, kebersihan dan pencahayaan.

“Kami ada sijil halal dari Korea, Indonesia dan negara lain, tapi semua itu tetap kena serah kepada JAKIM untuk semakan,” katanya.

Pengalaman ini menjadi pengajaran besar buat Ryzal dan Maryam. Mereka kini lebih terbuka berkongsi kisah sebenar agar pengusaha F&B lain tidak mengulangi kesilapan sama.

“Pastikan konsultan halal itu berdaftar dengan JAKIM. Jangan main ambil.

"Jangan pula bergantung 100 peratus pada konsultan. Semak sendiri dengan JAKIM supaya kita betul-betul yakin,” pesan Ryzal.

No Image Caption

Kini, selepas melalui segala pahit manis tersebut, K Garden akhirnya menerima pensijilan halal rasmi JAKIM dalam satu majlis di IOI City Mall Putrajaya, disaksikan rakan selebriti. Antaranya, Dayah Bakar, Iqram Dinzly, Carven Ong dan ramai lagi.

Bagi pasangan ini, sijil halal bukan sekadar logo di pintu restoran, tetapi simbol kejujuran, kesabaran dan tanggungjawab dalam dunia bisnes makanan yang penuh cabaran.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang