Jadikan kecaman sebagai inspirasi, Nadeera kini terbang tinggi. 'Mahu fokus kerjaya dulu, soal jodoh biar datang sendiri'

No Image Caption
A
A
A

KEMENANGAN dalam Big Stage 2023 bukan sekadar satu lagi pencapaian buat penyanyi kelahiran Mersing, Johor ini.

Jika dulu namanya hanya bermain di bibir sesetengah peminat muzik tempatan, kini ia bergema lebih jauh, lebih kuat.

Bukan itu sahaja, kemenangan tersebut membuka lembaran baharu yang menandakan permulaan sebenar buat Nadeera Zaini untuk mengukuhkan lagi kedudukan dalam industri hiburan tanah air.

Walaupun sudah beberapa kali menyertai pertandingan nyanyian sebelum ini, termasuk program realiti seperti Mentor Legend dan Akademi Fantasia, namanya masih belum benar-benar meledak seperti hari ini.

Namun, seperti kata pepatah, rezeki tidak pernah salah alamat. Kadangkala, apa yang kita perlukan hanyalah sedikit masa, ketekunan yang tak berbelah bahagi, dan kesungguhan untuk terus berdiri walau berkali jatuh. Dan itulah yang dilakukan oleh Nadeera.

No Image Caption

Biarpun tidak sempat melangkah ke peringkat akhir dalam satu pertandingan realiti televisyen, Mentor Legend, wanita muda bertubuh genit itu membuktikan dirinya masih bernafas di tengah-tengah kebanjiran penyanyi baharu tanah air.

Peserta separuh akhir rancangan realiti televisyen, Vokal Bukan Sekadar Rupa itu yakin, setiap kesungguhan pasti akan mendatangkan hasil. Nyata apa yang beliau pasakkan di hati itu membuahkan hasil apabila berjaya tampil dengan single pertama berjudul Hasrat Hati.

Dilahirkan pada 11 Jun 1993, pemilik nama sebenar Farah Nadeera Zaini mengakui sejak kecil lagi beliau sudah menunjukkan minat yang mendalam terhadap muzik dan seni suara.

No Image Caption

Mencuba nasib

Membesar dalam suasana yang sederhana, wanita kecil molek itu menjadikan nyanyian sebagai wadah untuk meluahkan emosi dan menyampaikan cerita.

Memiliki suara yang lunak dan vokal yang mengagumkan selain pembawaan yang jujur ketika menyanyi, Nadeera sering memikat hati juri dan penonton.

Namun, perjalanan beliau bukan semudah yang disangka. Beberapa kali mencuba nasib dalam pelbagai pertandingan nyanyian, namun impak yang diharapkan masih belum menyinar secerah hari ini.

Kejayaan beliau muncul sebagai naib juara Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) menerusi lagu Bukan Lagi Kita, ciptaan Hael Husaini dan Iqie Hugh, menjadi titik perubahan yang membuka mata ramai pihak terhadap bakat besar yang dimiliki oleh penyanyi kecil molek ini.

Lagu tersebut bukan sahaja melonjakkan namanya ke tahap yang lebih tinggi, malah mencipta satu fenomena dalam kalangan peminat muzik tempatan. Ia menjadi satu penanda aras buat dirinya dan dalam masa yang sama, satu bentuk tekanan juga.

No Image Caption

“Selepas Bukan Lagi Kita, saya tahu orang akan meletakkan harapan yang tinggi terhadap karya-karya saya yang seterusnya. Jadi, sedikit sebanyak tekanan itu memang ada. Tapi saya cuba jadikan tekanan itu sebagai motivasi,” katanya.

Nadeera juga meluahkan rasa terima kasih kepada Hael, yang bukan sahaja mencipta lagu tersebut untuknya, tetapi turut membimbingnya dari segi vokal, penampilan dan cara membawa diri dalam industri hiburan.

“Hael layan saya macam adik. Dia banyak beri tunjuk ajar, bukan setakat tentang nyanyian tapi juga tentang disiplin sebagai seorang artis. Saya sangat hargai setiap nasihat yang diberikan,” tambahnya.

Bukan sekadar penyanyi, Nadeera juga berbakat sebagai penulis lirik dan komposer. Lagu Dam Dim Dum Raya, yang dihasilkan bersama rakan-rakan, mendapat sambutan yang sangat baik daripada peminat. Malah, lagu duetnya bersama Hael, Meriah Lain Macam, turut mencetuskan fenomena sekali gus membuktikan bahawa dirinya mampu bergerak dalam pelbagai genre muzik.

Kini, beliau sedang dalam fasa perbincangan untuk single terbaharu. Walaupun belum boleh mendedahkan siapakah komposer di sebalik projek itu, Nadeera mengakui bahawa tekanan untuk mengekalkan momentum selepas lagu berhantu Bukan Lagi Kita sangat terasa.

“Saya dan pasukan nak hasilkan sesuatu yang mempunyai vibes seperti lagu itu, tapi dalam masa yang sama nak tampilkan kelainan. Jadi memang kami ambil masa dan sangat berhati-hati,” jelasnya.

Berkongsi pentas

Berkongsi detik paling bermakna dalam kerjayanya ialah apabila diberi peluang untuk berkongsi pentas dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam program MagiSiti 2025. Membawakan lagu ikonik Nirmala bersama penyanyi nombor satu negara itu, Nadeera tampil tenang dan menyerlah dengan kelunakan suaranya.

Persembahan itu menjadi bualan ramai kerana aura dan harmoni yang tercipta antara dua penyanyi berlainan generasi, namun bersatu dalam satu semangat seni.

“Saya tak sangka dapat peluang duet dengan Tokti. Itu satu penghargaan yang takkan saya lupakan sampai bila-bila,” katanya penuh terharu.

Kejayaan hari ini tidak datang tanpa ujian. Nadeera pernah melalui fasa yang mana dirinya menjadi sasaran kecaman netizen, terutama tentang penampilan fizikal. Namun, beliau memilih untuk tidak terlalu memikirkan hal negatif itu.

No Image Caption

“Bohonglah kalau kata saya tak terasa. Tapi saya belajar untuk tapis dan hadam apa yang betul sahaja. Kalau kritikan tu membina, saya ambil sebagai pengajaran. Selebihnya saya abaikan.”

Kini, dengan perubahan penampilan yang lebih anggun dan berseri, ramai memuji transformasi Nadeera yang semakin menyerlah, terutamanya dalam video-video sempena Hari Raya yang dikongsikan di media sosial baru-baru ini.

“Saya bukan sombong. Cuma saya seorang yang introvert. Kadang-kadang susah nak buka diri depan orang. Tapi bila dah selesa, barulah saya tunjuk sisi sebenar saya,” katanya jujur.

Cari jodoh

Dalam usianya yang sudah menginjak 31 tahun, pastinya persoalan bilakah bakal mengakhiri zaman bujang.

Tatkala hal tersebut diajukan kepada empunya diri, jujur Nadeera mengakui sehingga kini bab cari jodoh masih belum jadi keutamaan.

Sebaliknya, tuan punya badan lebih selesa memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerjaya yang baharu hendak berkembang.

No Image Caption

“Saya belum fikir lagi soal jodoh. Saya nak fokus pada impian dan cari rezeki untuk diri dan keluarga. Itu paling penting sekarang. Lagipun, saya dah lama tunggu untuk berada di tahap ini,” ulasnya.

Sementelah katanya, sebagai anak bongsu dalam keluarga, Nadeera melihat tanggungjawab untuk membanggakan ibu bapa dan membantu keluarga sebagai motivasi utama dalam kehidupannya.

Dari seorang gadis yang pernah jatuh, dikecam, dan dilupakan, kini Nadeera Zaini berdiri sebagai penyanyi berbakat besar yang bukan sahaja menyentuh hati peminat dengan vokalnya, tetapi juga kisah perjalanannya yang penuh inspirasi.

“Tujuan saya berada dalam industri hanya untuk berkongsi bakat, bukan untuk mengejar populariti.

“Saya ingin buktikan kepada orang ramai, walaupun telah gagal banyak kali dalam usaha untuk menjadi penyanyi, saya tetap akan teruskan perjalanan ini,” ungkap beliau lagi.

No Image Caption

Kerjayanya masih panjang dan banyak lagi yang bakal ditawarkan oleh wanita yang pernah dilihat ‘underrated’ ini.

Pun begitu, satu perkara yang pasti, dengan semangat yang beliau tunjukkan, Nadeera bukan hanya akan kekal, tapi akan terus naik dan menjadi antara bintang yang paling menyinar di langit industri muzik Malaysia.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang