'Lebaran sunyi tanpa nenek.' Munaa Bella kongsi pengalaman lucu beraya di konti, simpan niat sambut 10 malam terakhir di Makkah
BERTENAGA, ceria dan peramah orangnya. Itulah antara gambaran yang boleh diberikan kepada sosok tubuh bernama Munaa Bella.
Penyampai radio Era FM itu bukan sahaja memikat hati pendengar dengan suara bertenaganya, tetapi juga dengan kebolehan berbicara dalam pelbagai bahasa, terutama Korea.
Seorang yang periang dan sentiasa bersedia menceriakan suasana, Munaa bukan sekadar penyampai radio biasa.
Dengan minat mendalam dalam dunia pengacaraan serta keazaman tinggi untuk mengembangkan bakatnya, beliau terus melangkah dengan penuh semangat, sama ada di konti mahupun di pentas antarabangsa.
Justeru, tidak hairanlah apabila bertugas di konti, ditambah dengan pengetahuan beliau dalam bahasa asing itu, membuatkan ramai yang jatuh suka dengan personalitinya, lebih-lebih lagi pendengar yang meminati K-Pop.

Pemilik nama sebenar, Munaa Bella Mohamad, memulakan kerjayanya sebagai penyampai radio pada tahun 2020. Waktu itu, beliau diberi tugas mengendalikan program Daebak ERA yang bersiaran dari hari Isnin hingga Jumaat (8 hingga 12 malam). Daebak ERA merupakan platform yang diwujudkan untuk orang ramai mengetahui tentang perkembangan semasa dunia hiburan luar negara termasuk mempelajari bahasa Korea.
Biarpun masih setahun jagung dalam bidang berkenaan, namun kredibiliti dan semangat untuk terus berjaya membuatkan anak jati Pulau Mutiara itu berjaya melalui segala cabaran dalam bidang tersebut.
Bercerita lanjut tentang kerjaya, Munaa rupa-rupanya bukan sekadar deejay biasa.
Dari sekolah lagi, beliau sudah aktif dalam pertandingan debat dan forum, malah pernah mewakili negeri kelahirannya, Pulau Pinang.
Di universiti, wanita ini lebih serius dalam bidang pengacaraan dan menyimpan impian untuk menjadi pengacara TV. Namun, takdir membawanya ke dunia penyiaran.
Beliau mencuba nasib dengan menyertai pertandingan Personaliti Top ERA yang mencari bakat baharu pada tahun 2019.
Ketika itu, Munaa memuat naik satu video di laman Instagram dan tidak menyangka bahawa dirinya antara yang terpilih daripada ribuan peserta.
"Alhamdulillah, ALLAH telah berikan beliau rezeki terindah apabila dilantik menjadi penyampai ERA bermula tahun 2020 selepas mendapat tempat kedua dalam pertandingan itu.
“Saya langsung tak sangka boleh masuk radio. Rezeki bermula dari peragaan, kemudian berlakon, barulah pengacaraan. Tiba-tiba ada peluang masuk Personaliti Top ERA dan dari situ, semuanya bermula,“ ujarnya memulakan mukadimah awal perbualan.

Pengacara versatil
Memandangkan pada tempoh berkenaan wabak Covid-19 sedang membadai dunia, Munaa hanya bersiaran secara langsung dari rumah, sebelum diminta bertugas di konti radio.
“Saya suka tengok drama Taiwan, belajar Mandarin, dan memang obses dengan Korea. Ketika pandemik, saya mengambil kelas bahasa Korea secara serius dan sekarang ada tutor peribadi dua kali seminggu,“ kongsinya.
Tambah beliau lagi, tugas penyampai radio bukan sekadar menghiburkan, tetapi juga menyampaikan ilmu.
“Kami kena tahu batas, kena fikirkan kesan baik kepada diri sendiri, keluarga dan orang ramai.
“Sebab itu, melalui program yang saya buat sekarang, walaupun lebih kepada hiburan, tetapi saya kongsikan pelbagai info, selain mengajak pendengar belajar bahasa asing bagi menambahkan lagi pengetahuan,“ ujarnya.
Tambah beliau lagi, dunia radio penuh dengan cabaran, terutama apabila perlu menemu bual artis antarabangsa
Namun, berbeza bagi Munaa, pengalaman menemu bual pelakon Yoo Jae-suk di Korea antara yang paling berharga dalam diari kerjayanya.
“Kalau ditanya siapa yang saya idolakan dalam bidang ini (pengacara), memang ramai figura hebat seperti Radin, Dina, Sherry Al Hadad dan Datuk Mahathir Lokman.
“Namun, peluang keemasan paling tidak sangka dan rasa seperti mimpi adalah apabila berjumpa dengan pelakon Korea, Yoo Jae-suk, memang rasa tak percaya.
“Cuma, kalau dalam bidang pengacaraan, Sherrylah orangnya. Semua sedia maklum dengan kebolehannya dalam mengendalikan sesuatu program. Beliau cukup bersahaja dan sangat elegan. Bukan mudah sebenarnya untuk bergelar pengacara versatil sebegini," katanya.
Mengulas lanjut mengenai kelebihannya bukan sahaja pada suara dan penyampaiannya, tetapi juga kebolehan menguasai pelbagai bahasa.
Akui tuan punya badan, sejak kecil lagi, beliau sudah gemar belajar bahasa menerusi rancangan TV.
Kelebihan ini membantunya dalam bidang pengacaraan, malah kata Munaa, beliau pernah mendapat tawaran saat akhir untuk mengacara dan menterjemah bahasa Korea ke bahasa Melayu.
Anak sulung daripada dua beradik itu mengakui, memiliki asas yang utuh dalam bahasa Korea sememangnya telah memberi kelebihan kepada beliau untuk meraih perhatian orang luar dalam mendapatkan khidmatnya.
“Selain dunia penyiaran, saya juga mempunyai minat dalam perniagaan. Dari zaman belajar, saya sudah berniaga baju, dan kini memiliki jenama minuman sendiri, Jagiya.
“Walaupun sibuk dengan kerjaya, saya tetap mencari masa untuk menikmati hobi seperti bersenam, menonton konsert baik artis tempatan atau luar negara, serta melancong ke destinasi kegemaran,“ ungkapnya lagi.

Simpan niat
Dari konti ke dunia pengacaraan, dari hobi ke perniagaan, segalanya dilakukan dengan penuh minat dan dedikasi. Siapa tahu, mungkin tahun depan, impian 10 malam terakhir di Makkah akhirnya menjadi kenyataan.
Berkongsi lanjut tentang impiannya itu rupa-rupanya Munaa sudah lama menyimpan hasrat untuk berada di Makkah pada 10 malam terakhir Ramadan.
“Tahun ini belum berpeluang, mungkin belum rezeki. Saya simpan niat untuk tahun depan. Moga ada peluang dan boleh berhari raya di sana nanti,“ katanya penuh harapan.

Sempat penulis minta beliau kongsikan pengalaman beraya di konti, akui Munaa itu bukanlah perkara asing kerana pernah bertugas di pagi raya. Seawal jam enam pagi, beliau sudah ke udara secara langsung.
“Memang meriah walaupun bekerja. Kadang-kadang terlupa boleh makan sebab dah terbiasa puasa. Nasib baik mak selalu bungkus makanan untuk saya bawa ke konti,“ katanya lagi.
Antara pengalaman raya yang paling diingati ialah apabila mendapat berita raya lebih awal daripada jangkaan.
“Kebetulan waktu itu, ada slot bersama klien dan semua dah set untuk siaran langsung sehari sebelum raya, tapi tiba-tiba diumumkan raya esoknya! Terpaksa buat siaran raya pada hari itu juga. Memang kalut, tapi satu momen yang tak boleh dilupakan,“ ujarnya.

Ditanya mengenai keseimbangan hidup dan kerja, Munaa menjawab penuh yakin: “Saya tak rasa perlu imbang sebab memang suka kerja.
"Kalau hari-hari kerja pun tak apa. Saya nikmati setiap momen dan tak rasa stres langsung."
Berbicara tentang minatnya terhadap muzik, Munaa antara sebahagian peminat setia Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
“Dari dulu sampai sekarang, lagu Siti Nurhaliza tetap nombor satu! Tak pernah bosan dengar. Datanglah lagu baharu macam mana pun, saya tetap peminat nombor satu beliau.
"Kalau pergi konsertnya, memang layan habis. Rasanya bukan saya seorang, sebaliknya ramai lagi yang meminatinya,“ ujar Munaa lagi.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
