Masih sayang & berdamai demi anak, Faisal Halim kembali rujuk bekas isteri selepas kurang sebulan cerai
KETIKA kisah rumah tangga mereka menjadi bualan hangat, kenyataan demi kenyataan yang berbalas di media sosial mencetuskan pelbagai reaksi.
Ada yang menzahirkan simpati, tidak kurang yang mencetuskan spekulasi hinggalah tanda tanya. Ramai menyangka episod itu akan berakhir dengan noktah perpisahan.
Namun siapa sangka, hanya kira-kira sebulan selepas sah bercerai, pemain bola sepak Selangor FC, Faisal Halim, bersama Nur Syazwani Mizuana memilih untuk membuka lembaran baharu.
Dalam diam, pasangan ini dikatakan sudah kembali rujuk pada 9 Disember lalu, sekali gus mengejutkan ramai yang mengikuti perjalanan rumah tangga mereka sejak awal kontroversi tercetus.
Perkembangan terbaharu itu disahkan oleh peguam yang mewakili Faisal, Datuk Akberdin Abdul Kader, yang memaklumkan bahawa permohonan rujuk akan difailkan di mahkamah dalam tempoh terdekat.
“Alhamdulillah, betul Faisal dan bekas isterinya sudah kembali rujuk.
"Saya akan memfailkan permohonan rujuk ini di mahkamah dalam waktu terdekat,” katanya.

Kembali bersama
Menurut Akberdin, keputusan untuk mereka kembali bersama dibuat atas dasar kasih sayang yang masih utuh serta keinginan kedua-duanya untuk membesarkan anak mereka dalam sebuah keluarga yang lengkap.
“Soal jodoh ini rahsia Tuhan. Apa-apa boleh berlaku. Saya tumpang gembira apabila Faisal memaklumkan dia sudah kembali bersama bekas isterinya.
“Selama ini pun dia sangat mencintai isteri dan anaknya. Kita doakan semoga rumah tangga mereka kekal bahagia,” tambahnya lagi.
Perkembangan ini sekali gus mencuri perhatian ramai, apatah lagi Faisal sebelum ini berdepan pelbagai ujian dalam kehidupan peribadi dan kerjayanya.
Imbas kembali 2 September lalu, wanita itu memfailkan permohonan cerai terhadap Faisal di Mahkamah Rendah Syariah Klang, Selangor.

Bagaimanapun beberapa hari kemudian, masing-masing dilihat memuat naik foto bersama memberi gambaran hubungan yang retak kembali pulih.
Namun pada 10 November lalu, Nur Syazwani dilihat memberi bayangan rumah tangganya sedang goyah.
Sekadar rekod, Nur Syazwani, 26, berkahwin dengan Penjaring Gol Terbaik Piala Asia 2023 itu pada 9 Mac 2019 selepas empat bulan perkenalan.
Keputusan untuk rujuk dilihat sebagai langkah matang, memilih untuk memperbaiki hubungan dan memberi peluang kedua demi kesejahteraan keluarga.
Dalam dunia yang sering melihat perpisahan sebagai noktah, kisah Faisal Halim dan Syazwani menjadi peringatan bahawa ada kalanya, cinta yang diuji memilih untuk kembali lebih kuat dan lebih berhati-hati, demi anak dan keluarga yang lebih harmoni.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

