‘Muhasabah diri, dekati Tuhan, bahu jadi ringan...' Dr Kartini kongsi pengalaman diuji kanser, berjaya raih PhD

A
A
A

Lama tidak mendengar perkhabaran, Kartini Kamalul Ariffin, salah seorang pengacara 3R yang cukup mesra dan tidak lokek dengan senyuman. Nyata, beliau tidak berubah, sikapnya masih seperti dahulu.

SinarPlus berkesempatan bertemu dengan empunya diri baru-baru ini menerusi satu majlis Moments of Care bersempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara anjuran NIVEA dengan kerjasama Watsons yang menyasarkan untuk mengumpul dan menyumbang RM50,000 kepada Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA).

No Image Caption

Kempen itu mencerminkan komitmen NIVEA dalam menyokong kesedaran dan penjagaan kanser payudara.

Dalam majlis tersebut, Kartini yang juga pengacara program turut berkongsi pengalaman sebagai pejuang kanser payudara bersama dengan Hiba Abdul Rahman dan juga personaliti Atilia Haron yang sebelum ini pernah menjadi penjaga pesakit (caregiver) kepada ibunya, Salamiah Hassan. Selain itu, turut hadir sebagai tetamu dalam berkongsi maklumat mengenai penyakit tersebut ialah Perunding Onkologi Klinikal, Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Nur Fadlina Abdul Satar.

Dalam perkongsiannya, kartini yang juga seorang jurulatih profesional dan bertauliah serta penceramah bebas mendedahkan perjalanan luar biasanya sebagai pesakit kanser payudara.

Mula didiagnos pada Februari 2023, kehidupannya seakan-akan terhenti apabila mengetahui sel ‘jahat‘ itu sedang berada dalam tubuhnya.

“Waktu itu saya sedang mandi dan perasan ada ketulan di bahagian kiri payudara. Namun, saya cuba untuk sedapkan hati memandangkan sebelum itu ada membuat saringan kesihatan dan keputusan mamogram memuaskan dan tidak menunjukkan sebarang tanda kanser.

“Pun demikian, saya tidak mahu berlengah dan terus mendapatkan pemeriksaan di hospital. Selepas melakukan biopsi, doktor mengesahkan saya menghidap kanser payudara tahap satu dan mempunyai ketulan bersaiz dua sentimeter.

“Pada mulanya, saya mempersoal penyakit yang menimpa diri. Daripada rasa terkejut bertukar menjadi marah, saya berfikir apakah selama ini tidak menjaga kesihatan sendiri, atau mungkin silap makan dan mula timbul pelbagai mitos ketika itu,” kongsi Kartini lagi.

No Image Caption

Namun, sampai satu tahap, beliau sudah letih mencari jawapan dan mula muhasabah diri untuk mencari ketenangan.

“Daripada serabut, panik marah dan sebagainya, waktu itu saya sedar kena percaya dengan ketentuan-NYA. Penyakit itu buat saya dekat dengan ALLAH. Selalu bercakap dengan-NYA dan tidak putus berdoa.

“Percaya dan berserah, dua perkara yang buat beban dibahu jadi ringan. Saya tidak lagi tertanya-tanya kenapa diri diuji.

“Pada masa sama, saya banyak refleks diri dan belajar kenal siapa diri yang sebenarnya. Alhamdulillah, penyakit itu dapat dikesan awal, jadi saya hanya perlu melakukan rawatan radioterapi tanpa perlu melakukan kemoterapi,” ujarnya lagi.

Sejarah keluarga

Lantas, selepas pemeriksaan teliti dijalankan, beliau sedar sejarah keluarga antara yang menyumbang kepada faktor beliau turut mengalami penyakit tersebut.

“Awalnya memang pelik bagaimana boleh berlaku (kanser) sedangkan saya mengamalkan hidup sihat. Namun, saya sedar ibu merupakan bekas pesakit kanser payudara dan kini sudah sembuh selepas melakukan rawatan,” kongsinya.

No Image Caption

Pun demikian, timbul kegusaran di hati, bagaimana penerimaan ahli keluarga terutama anak-anak dan suami?

Namun kata Kartini, keluarganya seolah-olah dapat meneka ada yang tidak kena dengan dirinya.

Enggan bertangguh lama, berita tentang penyakit itu dikongsikan dengan suami dan anak-anak.

“Saya masih ingat lagi, waktu itu baru lepas solat maghrib. Saya ajak semua berkumpul tetapi mereka seolah-olah dapat meneka memandangkan ibu mereka asyik turun naik hospital.

“Alhamdulillah, saya dikurniakan keluarga yang cukup postif dan menerima dengan reda akan penyakit tersebut. Kami juga bebas untuk bercakap secara terbuka soal tersebut.

“Mereka memberikan sokongan yang positif dan tidak menampakkan diri bersedih, mungkin kerana tak nampak saya sakit tetapi secara tiba-tiba didiagnos kanser,” dedah Kartini lagi.

Malah katanya, jika hari cuti atau hujung minggu anak-anak akan menemaninya ke hospital.

“Aktiviti sedemikian sudah menjadi rutin keluarga duduk di tempat radioterapi menunggu atau berjumpa doktor. Ada masanya selepas itu, kami akan keluar makan sama ada beli aiskrim, minum kopi dan sebagainya.

“Saya rasa gembira kerana dalam keadaan mencabar, saya boleh dekat dengan famili dan pada masa sama, mereka juga dapat kesedaran mengenai penyakit kanser ini,” katanya yang masih menerima rawatan susulan sehingga kini.

No Image Caption

Malah katanya, ahli keluarga lain terutama ibu dan kakaknya tidak diberitahu awal.

“Ibu adalah orang terakhir yang saya kongsikan sebab takut dia risau, sedih dan macam-macam lagi. Ironinya, ibu cukup bersahaja dan ringkas nasihatnya.

“Katanya, jangan risau macam 'demam' sahaja, pergi jumpa doktor nanti baik lah. Itu kata-kata positif seorang ibu yang menguatkan lagi semangat saya,” dedahnya.

Tatkala diminta berkongsi nasihat dan tip buat panduan wanita di luar sana, ini ungkapan penuh makna tuan punya badan.

“Penyakit ini boleh berlaku pada sesiapa sahaja tanpa mengira usia, jantina kaum dan sebagainya. Malah, kanser juga mengingatkan saya kepada kematian. Bayangkan, jika saya takut untuk membuat pemeriksaan, bagaimana dengan kehidupan keluarga kami, kelak?

“Sebab itu kaum wanita di luar sana, kena sentiasa mengambil berat akan kesihatan diri. Jika ada yang tak kena, dengar naluri hati anda. Jangan ambil mudah jika ada tanda-tanda negatif pada kesihatan diri,” ujarnya lagi.

Beliau dalam pada itu mengakui kehidupan yang sibuk membuatkan orang alpa dengan signal yang diberikan oleh tubuh sendiri.

“Sebagai ibu, kita sering mengabaikan kesihatan sendiri dan mengutamakan keperluan keluarga. Pun begitu, anda perlu ingat, keluarga juga memerlukan sosok tubuh seorang ibu.

“Sebaiknya, lakukan saringan kesihatan demi orang tersayang tidak kira betapa sibuknya anda. Anda mungkin sudah terlewat andai lambat berbuat demikian dan pilihan rawatan ketika itu juga sudah terhad,” kata Kartini lagi.

No Image Caption

Hikmah kanser

Nyata di sebalik awan mendung duka, Kartini kemudiannya ‘dihadiahkan‘ pelangi yang cukup indah.

Ujian yang diharungi itu berbayar apabila beliau berjaya meraih segulung ijazah sebagai Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Komunikasi.

Meskipun mengambil masa enam tahun untuk menghabiskan pengajian dalam bidang tersebut, peminat rona ungu itu tetap komited mengejar ilmu.

Lebih manis lagi, kejayaan itu diraih bekas penyampai radio, penulis skrip dan pelakon itu selepas dirinya diuji dengan penyakit yang cukup digeruni kaum Hawa itu.

“Saya memulakan perjalanan PhD sejak 2017, namun 2023 masuk enam tahun saya terfikir sama ada berhenti atau meneruskan. Waktu itu saya tekad untuk teruskan dan tak mahu bertangguh

“Selepas buat keputusan tersebut, tiba-tiba dikejutkan dengan perkhabaran tentang kanser. Jadi, saya terpaksa kurangkan segala aktiviti dan fokus pada rawatan.

“Selepas rawatan, banyak masa saya dihabiskan di rumah untuk proses pulih. Pada masa sama, membantu saya untuk elak dari memikirkan benda-benda yang negatif,” ungkap ibu kepada dua cahaya mata itu.

Menyambung lagi bicara, akui tuan punya badan, hikmah disebalik perjalanan kanser itu membantu beliau menghabiskan apa yang tertangguh sebelum itu.

No Image Caption

“Memang ALLAH nak bagi dan saya memulakan kembali perjalanan untuk pengajian saya. Waktu itu, saya pulun dan dapat kembali momentum untuk menyiapkan tesis saya.

“Alhamdulillah, kalau bukan sebab kanser pasti saya masih bertangguh lagi soal tersebut (pengajian).

“Mac saya disahkan kanser, Ogos hantar tesis dan bulan November tahun lepas saya konvo,” ungkapnya penuh kesyukuran.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang