'Rezeki itu bukan sekadar kerja, tapi keluarga' — Maryam imbangi karier seni dan kehidupan sebagai isteri & ibu
SETIAP senyuman yang terukir di wajah lembut wanita Korea Selatan ini seolah menyimpan kisah panjang tentang keberanian, cinta dan penghijrahan.
Maryam You Narae atau Maryam DurianKimchi bukan sekadar pelakon dan personaliti media sosial, tetapi turut menjadikan kehidupan berkeluarga sebagai karya terindah dalam hidupnya.
Dari Ansan, Gyeonggi-do ke Malaysia, langkahnya merentas dua dunia usai takdir menyatukan dirinya dengan jejaka dari negeri Cik Siti Wan Kembang, Nik Muhammad Rizal Nik Ibrahim yang dikenali sebagai Ryzal Ibrahim.

Pasangan berkenaan bukan sahaja bersatu hati sebagai suami isteri, malah menjadi rakan seperjuangan menerusi saluran YouTube DurianKimchi.
Selain aktif dalam bidang seni, pasangan berkenaan kini mengusahakan restoran berasaskan menu dari Korea.
Memeluk Islam pada 11 Julai 2019 sebelum disatukan di Masjid Itaewon, Seoul, Maryam kini bahagia meniti kehidupan bersama Ryzal dan dua cahaya mata tercinta, Rina serta Nik You Rian.
Namun, di sebalik tawa dan video ceria yang dimuat naik menerusi media sosial miliknya, wanita tersebut mengakui, membesarkan cahaya mata sambil bekerja bukanlah semudah yang dilihat pada pandangan mata kasar.
Namun, sokongan keluarga kedua belah ibarat penawar untuk segala kelelahan yang ditanggung mereka suami isteri.
Sokongsn padu
Lebih menyentuh hati, ikatan kekeluargaan tetap utuh walaupun kini sudah berbeza agama dan budaya. Keluarganya di Korea menerima Maryam, Ryzal dan anak-anak seadanya.
Apabila keluarga datang jauh dari Korea Selatan semata-mata untuk memberi sokongan, itu bukan sekadar manis, tetapi momen yang terus melekat di hati Maryam.
Wanita yang menjadi penghias muka depan SinarPlus kali ini memberitahu, keluarganya datang meraikan majlis aqiqah anak keduanya selain memberi sokongan padu di pentas Muzikal Lawak Superstar (MLS).
Pada masa sama, mereka turut meraikan sambutan hari lahir bapanya yang ke-60 tahun.

“Penyokong terbesar saya terbang jauh dari Korea Selatan. Sejujurnya, saya belum pernah melihat ayah tersenyum sebahagia itu sebelum ini.
"Mungkin itulah hadiah sebenar saya daripada MLS,” kata Maryam sambil tersenyum manis, jelas terharu dengan kehadiran insan-insan yang disayanginya.
Berkongsi lanjut tentang majlis aqiqah, selepas menunggu lapan bulan, akhirnya hajat mereka tercapai.
Istimewanya, kehadiran keluarga mentua itu memberi peluang kepada Ryzal Ibrahim untuk menunjukkan cara Islam melahirkan rasa syukur, berkongsi rezeki dan beramah mesra dengan saudara-mara serta jiran tetangga.
Menurut Maryam, momen sebegini bukan sahaja tentang majlis, tetapi juga tentang memupuk kasih sayang dan ikatan kekeluargaan.

Diusik akan persoalan menambah ahli baharu dalam keluarga, Maryam atau nama asalnya You Narae memberitahu, setakat ini mereka masih belum bersedia ke arah itu.
“Selain komitmen kerja, saya mahu memberikan sepenuh perhatian membesarkan Rina dan Nik You Rian terlebih dahulu.
"Walaupun setiap anak ada rezeki masing-masing, namun kena juga lihat dari segi kesihatan, kewangan dan masa," tegasnya.
Melahirkan rasa syukur atas rezeki yang tidak putus dalam kerjaya, namun mereka suami isteri masih boleh meluangkan masa dengan anak dan mengurus kerja bersama. Ungkap wanita berusia 31 tahun itu, kuncinya cuma satu - komunikasi.
Lebih memudahkan urusan, nada sang suami, Ryzal juga selari dengan isteri kesayangannya itu. Mereka belajar untuk saling memahami dan bertolak ansur dalam setiap perkara terutama yang melibatkan hal rumah tangga.
Bebandibahu
Dalam pada itu, Maryam menekankan, dia tidak mahu meletakkan semua beban di bahunya semata-mata kerana sedar suami turut membantu menjaga keseimbangan rumah tangga.

Bagi mereka, kata sepakat dan perbincangan adalah kunci mengelakkan sebarang salah faham yang timbul.
Kehadiran anak kecil juga menjadikan pasangan ini lebih berhati-hati dalam mengawal emosi.
“Kalau ada salah faham, kami cuba selesaikan sebaik mungkin.
"Kami tidak mahu Rina khususnya menyaksikan ibu bapa bergaduh kerana kanak-kanak cepat belajar dan akan meniru cara kita bercakap dan beremosi,” jelas Maryam lagi.
Selain aktif dalam bidang seni, pasangan berkenaan turut meraikan pencapaian mereka dengan membuka cawangan kedua restoran K Garden di KL East Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Makanan Korea
Restoran BBQ Korea mesra Muslim itu menjadi simbol usaha gigih mereka sambil membesarkan anak-anak.
Maryam, yang juga pengarah menu utama restoran tersebut, mahu membawa pengalaman makanan Korea asli yang boleh dinikmati semua lapisan masyarakat.
“Semua resipi saya pilih sendiri. Apabila melihat pelanggan gembira makan di K Garden, itu rasa bahagia yang tidak boleh dibeli.
"K Garden bukan sekadar perniagaan, tetapi tempat kami membawa budaya Korea dalam suasana mesra keluarga,” katanya.
Daripada mengimbangi kerjaya, perniagaan, hingga keluarga, Maryam dan Ryzal membuktikan bahawa kasih sayang, persefahaman dan komunikasi adalah kunci untuk terus kuat, bersyukur serta bahagia bersama.
Biarpun penat tetap ada, tetapi bila disulami rasa syukur dan kasih sayang, semua kepenatan itu terasa manis.
Pada masa sama, Maryam menekankan kepentingan dalam bersyukur.
“Kadang-kadang bila terlalu penat, kita mudah marah atau tersinggung. Tapi bila fikir semula, semua itu adalah rezeki.
"Sejujurnya, pada saya kebahagiaan sesebuah rumah tangga bukanlah berlandaskan kesempurnaan tetapi saling mempercayai antara suami isteri, ” ungkap Maryam lagi.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
