'Saya tengah down, tapi kena bangkit demi anak-anak' — Rebecca Nur Al Islam reda ikatan perkahwinan 14 tahun berakhir

No Image Caption
A
A
A

ADA waktu dalam hidup, kita diuji bukan kerana lemah, tetapi kerana Allah mahu kita belajar erti reda.

Itulah yang sedang dilalui oleh pelakon dan usahawan, Rebecca Nur Al Islam, yang kini melangkah ke fasa baharu selepas rumah tangganya selama 14 tahun berakhir dengan perpisahan pada awal Mei lalu.

Memetik Mstar, Rebecca mengakui, keputusan itu bukan sesuatu yang mudah untuk diterima, apatah lagi selepas melalui suka duka bersama dalam tempoh yang panjang.

“Sejujurnya saya pun terkejut dan tak sangka perkahwinan yang dibina akhirnya sampai di sini saja. Mungkin tiada jodoh antara kami,” katanya.

Wanita tinggi lampai itu berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi terbaharu jenama Amber, Oasis 2.0 - Mirage: A Secret by The Desert, di butik Amber Flagship, Shangri-La Kuala Lumpur.

Biarpun ramai yang tertanya-tanya mengenai punca sebenar, namun tuan punya badan memilih untuk berdiam diri dan tidak berkongsi lanjut tentang perkara itu.

Ungkapnya, itu lebih baik dalam menjaga maruah kedua-dua belah pihak daripada membuka ruang kepada spekulasi.

“Tak perlu nak kongsi punca bercerai kerana itu akan mengaibkan kedua-dua belah pihak. Apa yang boleh ditutup, lebih baik kita tutup.

"Hidup ini terlalu singkat untuk terus menoleh ke belakang,” ujarnya dengan nada matang.

Pun demikian, dirinya kini masih dalam fasa untuk memulihkan semangat.

Pada masa sama, Rebecca belajar menyesuaikan diri dengan kehidupan selepas bergelar ibu tunggal kepada tujuh orang anak.

Mengakui tempoh selepas perpisahan bukan sesuatu yang mudah, namun dia percaya waktu akan menyembuhkan segalanya.

“Sejujurnya saya tengah ‘down’. Saya pun baru saja mula keluar jumpa orang. Sebelum ini saya banyak mendekatkan diri dengan dunia yang kekal, dunia akhirat.

"Tapi bila fikir semula, saya ni dah nak mati ke? Jadi saya fikir, kenapa tidak saya keluar jumpa orang,” katanya sambil tersenyum kecil.

ANAK-ANAK SUMBER KEKUATAN

Pelakon berusia 39 tahun itu menambah, majlis yang dihadirinya baru-baru ini merupakan antara langkah awal untuk kembali bergaul selepas sekian lama menyepi.

“Hari ini baru hari kedua saya betul-betul keluar rumah. Hari pertama saya pergi majlis resepsi Fattah Amin dan Amira Othman,” ujarnya.

Biarpun masih ada yang mengaitkan perpisahan itu dengan kehadiran orang ketiga, Rebecca enggan memberi sebarang komen lanjut. “No komen,” jawabnya ringkas, menunjukkan dia mahu menutup lembaran lama dengan tenang.

Menurut Rebecca, kekuatan terbesar yang dimilikinya kini datang daripada anak-anak yang menjadi nadi kehidupannya.

“Saya kena bangkit dan cari semangat semula untuk teruskan kehidupan serta mencari rezeki demi tujuh orang anak saya.

"Pada masa sama, saya yakin setiap apa yang berlaku ada hikmahnya,” katanya penuh harapan.

Sekadar makluman, Rebecca berkahwin dengan Datuk Nur Azman Sulaiman pada 14 Januari 2011.

Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan enam cahaya mata, selain seorang anak angkat lelaki, Nor Adam Daniel, yang kini berusia 16 tahun.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang