‘Tolong jangan kecam dia…’ Kamal Adli mohon netizen jangan burukkan Uqasha Senrose
PELAKON dan pengacara, Kamal Adli berharap agar orang ramai tidak melemparkan kata-kata negatif terhadap isterinya, pelakon Uqasha Senrose, selepas prosiding kes permohonan cerai mereka disebut di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini pada Selasa.
Menurut Kamal, dia hadir ke mahkamah bukan untuk mempertikaikan sesiapa, sebaliknya demi mencari jalan mendamaikan rumah tangga mereka.
“Saya mohon pada semua netizen, jangan tulis apa-apa yang tidak elok pada isteri saya. Tolong jangan kecam dia.
“Dia penat kerja, dia tertekan dan saya faham benda itu.
“Kalau nak kutuk, kutuk saya sahaja. Jangan beri tekanan pada dia sebab apa yang berlaku pada kami terlalu berat untuk dikendalikan,” katanya dalam nada sebak sebaik keluar dari mahkamah.
Kamal turut mengakui segala kelemahan diri dan tidak menuding jari kepada sesiapa atas apa yang berlaku.
“Apa yang berlaku hari ini, saya letak semua atas salah saya sendiri. Saya minta maaf kalau ada salah saya pada dia atau keluarganya,” ujarnya lagi.
Ditanya mengenai kontroversi tarikh perkahwinannya yang hangat diperkatakan, pelakon drama Jika Masih Ada Rindu itu berkata, dia tidak berniat membuka aib rumah tangganya kepada umum kerana menganggap isu berkenaan wajar diselesaikan secara peribadi antara mereka berdua.
“Ada benda yang saya boleh kongsi, ada benda yang saya hanya boleh cerita kepada keluarga. Ini hal keluarga, bukan untuk dijaja kepada semua orang,” katanya.
Ditanya pesanan ringkas buat isteri tercinta, Kamal yang tidak dapat bertemu dan berhubung dengan Uqasha sejak 27 September lalu berkata, dia masih menyimpan harapan untuk berbincang secara baik.
“Untuk isteri saya, sayang, janganlah ke sini (mahkamah) lagi. Kita jumpa dan selesaikan secara baik demi anak kita, Hawra.
“Saya datang sebab cinta, bukan benci,” ujarnya penuh emosi.
Kamal turut mendedahkan bahawa mereka sudah lama tidak bertemu sejak isterinya bertindak menyekat komunikasi dengannya termasuk di telefon dan media sosial.
“Kami dah lama tak berjumpa. Terus-terang saya sangat merindui isteri saya,” katanya lagi.
Sementara itu, peguam syarie yang mewakili Uqasha, Nurfarhana Abd Manaf, memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau menarik diri daripada mewakili anak guamnya dalam prosiding tersebut.
Prosiding dijalankan di hadapan Hakim Siti Noraini Mohd Ali. Menurut Nurfarhana, keputusan menarik diri dibuat atas alasan tiada kesefahaman dan isu profesionalisme antara beliau dan anak guamnya.
“Saya telah memaklumkan kepada anak guam mengenai perkara ini dan kami bersetuju untuk menyelesaikannya secara baik. Permohonan tersebut akan difailkan secara rasmi selepas prosiding hari ini,” katanya di mahkamah.
Susulan itu, hakim menetapkan 19 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.
Difahamkan, prosiding hari ini hanya membabitkan sebutan di sebelah pihak Kamal selepas peguam Uqasha menarik diri.
Uqasha tiba di mahkamah kira-kira sejam lewat daripada masa yang ditetapkan bersama kumpulan peguam baharu yang baru dilantik serta ditemani individu dikenali sebagai Coach Cerai, namun prosiding telah selesai sebelum ketibaannya.
Sebelum ini, prosiding pertama perceraian pasangan berkenaan pada 22 Oktober lalu ditangguhkan selepas Kamal tidak dapat hadir kerana menjalani penggambaran.
Rumah tangga pasangan selebriti itu dikatakan mula bergolak sejak April lalu, namun sumber terdekat menafikan ia berpunca daripada kehadiran orang ketiga. Difahamkan, Uqasha kini tidak lagi tinggal sebumbung dengan Kamal dan menetap bersama ibunya.
Untuk rekod, pasangan itu sah bergelar suami isteri pada 4 November 2021 dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, yang kini berusia 18 bulan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

