'Wajah bengkak & ditahan di zon kritikal, Ezzanie Jasny dedah detik cemas kemalangan bersama ibu bapa, reda percutian ke London terbatal

No Image Caption
A
A
A

SELEPAS melalui detik cemas yang menguji emosi dan fizikal, pelakon Ezzanie Jasny akhirnya tampil menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku di sebalik kemalangan jalan raya yang melibatkan dirinya bersama ibu bapanya.

Menurut pemilik nama Nur Ezzanie Sherazade Jasny, kejadian itu berlaku tanpa diduga dan meninggalkan kesan paling besar kepadanya berbanding kedua ibu bapanya.

Bagaimanapun, dia memanjatkan rasa syukur apabila ibu dan ayahnya berada dalam keadaan baik dan hanya mengalami lebam ringan pada bahagian tangan serta kaki.

“Saya ingin jelaskan apa yang berlaku mengenai kemalangan itu. Saya terlibat dalam kemalangan kereta bersama ibu bapa saya.

"Alhamdulillah, mereka selamat dan hanya mengalami kecederaan kecil,” kongsinya di Instagram.

Ezzanie memaklumkan, dia merupakan individu yang paling terjejas dalam insiden tersebut kerana duduk di bahagian tempat duduk belakang, tepat di belakang pemandu.

No Image Caption

Akibat hentakan kuat, dia tidak pasti sama ada kepalanya terhantuk pada cermin sebelah kanan atau tercampak ke arah kawasan tali pinggang keledar.

“Disebabkan itu, saya terpaksa dirawat di zon kritikal (zon merah) sepanjang malam,” jelasnya.

Syukur ke hadrat Ilahi, Ezzanie memaklumkan keadaannya kini semakin stabil dan menunjukkan perkembangan positif. Dia sudah sedar sepenuhnya, boleh bangun dan berjalan semula, malah fungsi kakinya berada dalam keadaan baik.

“Kaki saya berfungsi dengan baik. Cuma bengkak di bahagian muka masih datang dan pergi. Saya juga mengalami pendarahan di sekitar kawasan tengkorak.

"Namun saya sangat bersyukur dengan keadaan saya setakat ini,” katanya dengan nada penuh keinsafan.

Tangguh percutian

Dalam perkongsian sama, anak bongsu daripada empat beradik tersebut mendedahkan percutian panjang selama sebulan ke London yang sudah lama dirancang terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu.

“Saya sepatutnya ke London untuk percutian sebulan, tetapi mungkin ada hikmah di sebalik apa yang berlaku.

"Mungkin jika kemalangan ini tidak terjadi, sesuatu yang lebih buruk boleh berlaku ketika saya berada di sana,” luahnya.

No Image Caption

Walaupun mengakui sedih terpaksa melepaskan sesuatu yang sangat dinantikan, Ezzanie percaya setiap perancangan ALLAH adalah yang terbaik dan berlaku tepat pada waktunya.

“Saya percaya pada perancangan dan ketentuan ALLAH. Segala yang berlaku pasti ada sebab,” tambahnya.

Dalam pada itu, pelakon drama Dia Bukan Syurga turut menitipkan ucapan terima kasih atas sokongan yang diterimanya daripada peminat dan rakan-rakan serta memohon agar terus didoakan sepanjang proses pemulihannya.

“Teruskan mendoakan saya. Terima kasih atas semua kasih sayang, keprihatinan dan doa. Ia sangat bermakna buat saya," kongsinya lagi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang