Wan Sharmila kongsi pengalaman jadi mutawif wanita. 'Terima Kasih ALLAH, aku ikut aturan-MU'

No Image Caption
A
A
A

BUKAN sekadar perjalanan fizikal menuju Tanah Suci, tetapi satu perjalanan hati yang penuh makna.

Itulah yang dilalui pelakon Wan Sharmila apabila dia berkongsi detik-detik awal melalui fasa praktikal sebagai mutawif wanita, satu peranan yang jarang diketengahkan namun sarat dengan nilai keikhlasan dan tanggungjawab.

Menerusi hantaran video di Instagram miliknya, pelakon drama Tujuh Hari Mencintaimu itu memaparkan pengalaman hari pertama menyantuni para jemaah yang bakal menunaikan umrah.

Dari saat melangkah ke KLIA 1 hingga persiapan penerbangan ke Jeddah, jelas terpancar rasa gementar, rendah diri dan kesungguhan dalam setiap tutur katanya.

“Terima kasih ALLAH. Aku ikut aturan-MU,” tulisnya ringkas, namun cukup mendalam maknanya.

Bagi Wan Sharmila, peranan sebagai mutawif wanita bukan perkara main-main. Ia amanah besar kerana para jemaah yang dibimbing bukan sekadar pelanggan, tetapi tetamu ALLAH yang dijemput ke Tanah Suci.

“Doakan saya. Ini bukan main-main. Mereka semua tetamu ALLAH yang dijemput dan saya ikhlas ingin menyantuni semua,” luahnya penuh jujur.

Pelakon ini turut mengakui, sebelum ini dia lebih banyak menguruskan diri sendiri setiap kali menunaikan ibadah.

Namun kali ini, pengalaman tersebut membuka matanya tentang makna sebenar ‘menjaga diri’ melalui menjaga keperluan dan kebajikan orang lain.

“Selalu pergi jaga diri sendiri, tapi sekarang masanya untuk belajar erti sebenar menjaga diri,” katanya sambil merakam detik-detik awal tugasan.

Dalam video tersebut, Wan Sharmila berkongsi rutin hari pertama praktikalnya sebagai mutawif wanita. Antaranya memastikan semua jemaah tiba awal di lapangan terbang, menguruskan proses daftar masuk, serta memastikan keperluan khas jemaah, khususnya warga emas, diberi perhatian sewajarnya.

“Ada warga emas yang patut guna kerusi roda. Jadi kita minta jasa baik mereka untuk bagi tempat duduk yang selesa untuk makcik itu. Permudahkan. Amin, amin, amin,” katanya, jelas terharu dengan kerjasama yang diberikan.

Detik-detik kecil seperti ini memperlihatkan sisi kemanusiaan dan empati yang menjadi tunjang utama peranan seorang mutawif wanita.

No Image Caption

Menyantuni jemaah

Bukan sekadar mengurus perjalanan, tetapi menyantuni emosi, keselesaan dan keselamatan setiap jemaah.

“Bagi para jemaah semua, carilah saya. Betul-betul. Helo, saya tak kenal,” selorohnya, mencairkan suasana namun sarat mesej kesediaan untuk membantu sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang.

Usai proses daftar masuk, pemilik nama sebenar, Wan Sharmila Wan Muhamed meluahkan rasa syukur apabila semuanya berjalan lancar.

“Alhamdulillah, dah settle semua check-in. Sekarang semua dah boleh masuk. Buatlah apa yang patut,” katanya sambil menarik nafas lega.

Komitmen Wan Sharmila terhadap kerja-kerja amal bukanlah perkara baharu.

Sebelum ini, dia pernah dilantik sebagai ikon Winter Mission 3.0 yang menyumbang tenaga dalam usaha menyalurkan bantuan kepada golongan kurang bernasib baik di Syria.

Jelas, nilai kemanusiaan dan keikhlasan sudah lama sebati dalam dirinya.

Tidak ketinggalan, wanita berumur 44 tahun itu turut merakamkan penghargaan kepada pihak yang memberi ruang dan kepercayaan kepadanya untuk melalui pengalaman bermakna ini.

“Terima kasih @hayyatraveltours atas ruang dan peluang ini,” katanya.

Perkongsian anak bongsu daripada dua beradik tersebut bukan sahaja menyentuh hati, malah memberi perspektif baharu tentang ibadah umrah yang bukan sekadar ritual peribadi, tetapi juga medan untuk berkhidmat, belajar merendah diri dan menyantuni sesama manusia.

Dalam diam, perjalanan ini menjadi medan tarbiah buat dirinya, satu langkah kecil yang sarat makna, menuju keredaan Ilahi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang