Wanita cenderung vape untuk kurus

No Image Caption
A
A
A

SEHINGGA kini, kempen berhenti merokok yang dianjurkan sebagai kesedaran orang ramai tentang bahaya kandungan nikotin belum benar-benar menampakkan keberkesanannya.

Kini, muncul pula masalah baharu yang perlu dibendung iaitu penggunaan rokok elektronik atau e-rokok.

Rokok menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah tembakau yang digulung dalam daun nipah atau kertas. Sementara rokok elektronik adalah sebuah inovasi dari bentuk rokok konvensional menjadi peranti moden.

Pada masa kini, rokok elektronik juga dikenali sebagai vape atau vapor. Perkataan vape berasal daripada perkataan Inggeris, daripada perkataan vaporization yang membawa maksud proses pengewapan dan juga merujuk kepada vaporizer iaitu alat yang digunakan untuk menghisap ganja, tembakau dan campuran rokok lain.

Pada 30 Mei setiap tahun telah ditetapkan sebagai Hari Tanpa Tembakau Sedunia, yang mana pada tahun ini membawa tema Melindungi Kanak-kanak Daripada Pengaruh Industri Tembakau. Dalam satu perkongsian, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim membuat pendedahan bahawa penyakit jantung bukan hanya menimpa orang dewasa, sebaliknya kes yang membabitkan golongan muda kini semakin membimbangkan.

“Di IJN, kami melihat serangan jantung berlaku dalam kalangan orang yang berusia 20 hingga 30 tahun.

“Salah satu penyebab utama adalah penggunaan tembakau. Menurut Tinjauan Kesihatan & Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022, Tinjauan Kesihatan Remaja 2022 menunjukkan peningkatan perokok daripada golongan itu antara tahun 2012 hingga 2017.

.

No Image Caption

“Terdapat juga trend peningkatan dalam penggunaan e-rokok atau vape ini. Menurut kajian tersebut juga, 42.2 peratus remaja yang menggunakan atau mencub•a vape •bermula seawal usia 14 tahun,“ katanya dalam sidang media selepas merasmikan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2024 di IJN pada 26 Jun lalu.

Biarpun tidak menyatakan secara spesifik jumlah kes dirujuk ke pusat perubatan itu, beliau memaklumkan, kebanyakan golongan lelaki lebih suka merokok sementara wanita pula lebih cenderung menggunakan vape. Ini berikutan kononnya ia dikatakan boleh membantu melangsingkan badan.

Vape tiada bau dan hadir dengan pelbagai perisa, selalunya buah-buahan. Berbeza pula dengan rokok, walaupun tak nampak, kita tetap boleh tahu seseorang itu sedang hisap atau tidak,“ tambah beliau.

Dalam majlis yang sama, Pakar Perunding Psikologi & Penyarah Kanan IJN Collage, Dr Haryati Shahrima Abd Majid berkata, anak remaja mempunyai sebab tersendiri kenapa mereka mula cuba untuk merokok.

No Image Caption

“Apabila tengok kawan-kawan merokok, ini merupakan satu peringkat yang mana ada yang mula rasa diri diterima, disisihkan atau didekati kawan-kawan.

“Segelintir dalam kalangan mereka bukan mahu merokok atau sengaja memudaratkan kesihatan sendiri, tetapi ia sebagai alasan ingin diri diterima sebagai sebahagian daripada identiti seorang remaja. Selain itu, ada juga yang tidak tahu cara untuk menangani stres,“ ujar beliau lagi.

Pun demikian, pakar tersebut menasihati ibu bapa atau penjaga supaya tidak mengeluarkan kata-kata ugutan, sebaliknya disarankan untuk mulakan perbualan dengan anak-anak dengan bertanyakan pendapat mereka tentang hal (merokok) itu. Dengan cara sedemikian akan membantu ibu bapa untuk mendapatkan kepercayaan anak-anak.

Sementara itu, memetik kenyataan dari Dr Nor Saleha Ibrahim Tamin dan Prof Madya Dr Alvin Ng Lai Oon dari Myhealth, seseorang yang mengalami kesukaran untuk berhenti merokok disebabkan oleh:

  • Nikotin dalam tembakau menyebabkan ketagihan.
  • Kesan merokok yang menyeronokkan (contoh: berasa lebih segar dan tidak mengantuk) adalah kesan serta merta tetapi tidak lama (lebih segar, degupan jantung bertambah).
  • Berasa gelisah dengan gejala gian yang lain.

No Image Caption

Sementara itu, bagi mereka yang mempunyai keinginan untuk berhenti merokok, boleh amalkan beberapa langkah ini:

  • Menyedari anda mempunyai masalah.
  • Membuat keputusan dan menetapkan tarikh berhenti merokok.
  • Elakkan pengaruh untuk merokok.
  • Minta bantuan daripada rakan anda.
  • Cari aktiviti yang lebih baik untuk dilakukan.
  • Rancang hari-hari tidak merokok anda.
  • Bina keyakinan diri.
  • Buat peringatan bertulis mengingatkan anda untuk berhenti merokok atau diari berhenti merokok.

Bersama-sama, kita dapat berdiri teguh menentang industri tembakau dan memastikan generasi akan datang berada di landasan menuju masa depan yang lebih sihat.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang