Cegah Sebelum Terlambat – Pantai Hospital Melaka dedah harapan baharu melalui rawatan dan saringan awal kanser paru-paru
BATUK berpanjangan, cepat penat atau sesak nafas sering dianggap perkara kecil. Tapi hakikatnya, ia mungkin tanda awal penyakit serius iaitu kanser paru-paru.
Di Malaysia, penyakit ini kekal antara punca utama kematian akibat kanser, dengan kebanyakan kes hanya dikesan pada tahap lewat.
Menyedari kepentingan kesedaran masyarakat terhadap pencegahan dan pengesanan awal, Pantai Hospital Melaka bersama Lung Cancer Network Malaysia (LCNM) menganjurkan Forum Awam Kanser Paru-Paru. Tujuannya jelas mahu mendidik orang ramai tentang kepentingan menjaga kesihatan paru-paru serta memahami pilihan rawatan yang tersedia.
Ketua Pegawai Eksekutif Pantai Hospital Melaka, Tan Yew Aik, menekankan bahawa mendidik komuniti adalah sebahagian daripada komitmen berterusan hospital terhadap penjagaan kesihatan menyeluruh.
“Misi kami bukan sekadar merawat, tetapi memperkasakan masyarakat dengan maklumat dan akses kepada saringan yang boleh menyelamatkan nyawa,” katanya.
Perunding Perubatan Respiratori dan Dalaman, Dr Muventhiran Ruthranesan, menjelaskan kadar penyembuhan kanser paru-paru meningkat daripada 7 peratus pada tahun 1971 kepada 15peratus hari ini. Namun, angka ini masih rendah kerana gaya hidup seperti merokok menjadi faktor utama.
“Perokok mempunyai risiko 15 hingga 30 kali ganda lebih tinggi untuk mendapat atau meninggal dunia akibat kanser paru-paru.
"Saringan awal dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi dapat mengesan penyakit lebih awal dan memberi peluang rawatan yang lebih berkesan,” jelasnya.
Sementara itu, Perunding Radiologi Muskuloskeletal dan Klinikal, Dr Siti Hajar Omar, menegaskan bahawa pengesanan awal mampu meningkatkan peluang sembuh serta kadar kelangsungan hidup pesakit.
Kaedah Low-Dose Computed Tomography (LDCT) kini menjadi antara alat saringan paling berkesan bagi mengesan nodul kecil dan kanser paru-paru di peringkat awal.
“LDCT menggunakan dos radiasi lebih rendah tetapi jauh lebih sensitif daripada X-ray dada konvensional,” katanya.

Dari perspektif pembedahan, Perunding Pakar Bedah Kardiotorasik, Dr Leong Kin Seng, menekankan bahawa pesakit yang menjalani pembedahan pada peringkat awal mempunyai kadar kelangsungan hidup lima tahun sekitar 70peratus, berbanding 30 peratus bagi keseluruhan pesakit.
“Pembedahan masih menjadi rawatan utama untuk mencapai penyembuhan penuh, terutamanya apabila kanser dikesan awal,” katanya.
Sesi soal jawab forum itu turut menampilkan pakar-pakar daripada kiri: Dr Muventhiran Ruthranesan, Dr Siti Hajar Omar, Dr Leong Kin Seng dan Dr Eng Jie Yi.
Perunding Onkologi Klinikal, Dr Eng Jie Yi, menjelaskan bahawa rawatan moden melibatkan pembedahan, radioterapi, kemoterapi, terapi disasarkan dan imunoterapi.
“Kanser paru-paru kini bukan lagi hukuman mati dengan adanya rawatan moden,” katanya.
Selain forum, peserta berpeluang menjalani X-ray dada berasaskan AI, imbasan CT dos rendah serta sesi konsultasi percuma oleh LCNM. Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran, malah menggalakkan masyarakat lebih prihatin terhadap kesihatan dan melakukan saringan awal.
Tan Yew Aik menutup bicara:
“Kesihatan bukan sekadar rawatan selepas sakit, tetapi pencegahan, pendidikan dan tanggungjawab bersama. Bersama-sama, kita mampu menyelamatkan lebih banyak nyawa.”
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

