Hanya tahu hidap autisme selepas lebih tiga dekad

No Image Caption
A
A
A

"SELALU rasa penat sangat, rasa ‘lain’ sejak kecil.”

Itu luahan Sha Ramson Abdullah, 38, yang menceritakan perjuangannya menjalani kehidupan seharian selama lebih tiga dekad tanpa mengetahui bahawa dirinya menghidap autisme (ASD Level 1) serta kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD).

Sha yang kini secara rasmi didiagnosis sebagai individu autistik berkongsi kisah peribadinya bahawa realiti ramai orang dewasa tidak menyedari mereka berada dalam spektrum autisme.

“Saya baru tahu saya autistik dan ya, saya dewasa.

Pada 2 Julai lalu, saya akhirnya disahkan secara rasmi oleh pakar psikatri sebagai individu autisme dan ADHD, gabungan yang dikenali sebagai AuDHD,” katanya.

Menurutnya, proses diagnosis bukan dilakukan sebarangan, sebaliknya berdasarkan kriteria rasmi daripada Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders (DSM-5) serta ujian IQ Wechsler Adult Intelligence Scale (WAIS).

No Image Caption

Ujarnya, sejak menerima diagnosis, dia mula menyesuaikan gaya hidupnya agar lebih selari dengan kapasiti dan keperluan dirinya sebagai seorang ‘neurodivergent’.

“Apabila disebut autisme, kebanyakan orang terus membayangkan kanak-kanak yang tidak boleh bercakap, menangis sambil tutup telinga bila dengar bunyi bising dan suka menyusun mainan ikut warna.

“Tetapi tidak ramai sedar bahawa autisme juga wujud dalam kalangan orang dewasa seperti saya.

"Sebenarnya, ramai orang dewasa yang hidup bertahun-tahun tanpa tahu mereka autistik.

“Mereka kerja, ada keluarga, kawan dan rutin tetapi dalam diam bergelut dengan benda-benda yang nampak remeh pada orang lain. Dari luar nampak normal tapi dalam kepala hanya Tuhan yang tahu,” ujarnya.

Tambahnya, diagnosis diterima bukan sahaja memberi penjelasan terhadap pengalaman hidupnya sebelum ini, malah turut membantu lebih memahami diri dan menyesuaikan cara hidup mengikut keperluan sendiri.

“Autisme bukan disebabkan trauma, bukan juga salah didikan atau kena ‘gangguan’.

“Autisme datang dalam bentuk spektrum yang membawa maksud setiap orang autistik tak sama,” kongsinya.

Autisme dewasa

Autisme atau gangguan spektrum autisme (ASD) bukan satu penyakit yang ‘datang kemudian’ dalam hidup seseorang individu termasuk golongan dewasa.

Pengarah Perkhidmatan Klinikal dan Psikologis Klinikal dari Thrive Well, Liana Mohd Nawi berkata, ASD adalah gangguan neuroperkembangan yang berlaku sejak lahir atau awal usia kanak-kanak namun, dalam sesetengah kes ia hanya dikesan apabila individu sudah dewasa.

Beliau menjelaskan, autisme mempengaruhi cara individu berkelakuan, berinteraksi dan berkomunikasi dengan dunia sekeliling selain boleh mengalami cabaran kesihatan mental seperti kebimbangan atau kemurungan.

Menurutnya, kajian dalam kalangan pelajar universiti melibatkan autisme dewasa mendapati, 0.3 peratus telah mendapat diagnosis ASD, manakala 2.5 peratus mengesyaki mereka mempunyai penyakit itu tetapi belum menjalani penilaian rasmi.

Ujarnya, semakin ramai orang dewasa mula mendapatkan diagnosis lewat terutama bagi mereka yang sebelum ini disalah anggap sebagai pemalu, mempunyai gangguan obsesif kompulsif (OCD) atau masalah sosial.

“Antara tanda awal autisme pada kanak-kanak termasuk kurang kontak mata, tidak memberi respons apabila dipanggil, lambat bertutur, tingkah laku berulang, dan kepekaan melampau terhadap bunyi, cahaya atau sentuhan.

“Bagi remaja dan dewasa, gejala mungkin melibatkan kesukaran memahami isyarat sosial, memelihara hubungan, mengikut rutin harian yang ketat, sukar menerima perubahan, dan minat yang sangat khusus.

“Faktor genetik turut memainkan peranan dengan mutasi gen tertentu seperti SHANK3, MECP2 dan SCN2A yang dikenal pasti, tetapi faktor persekitaran seperti jangkitan ketika hamil atau komplikasi kelahiran juga boleh mencetuskan keadaan ini bagi mereka yang mempunyai kecenderungan genetik,” katanya.

Mengulas lanjut, Liana berkata, rawatan bagi dewasa autistik disesuaikan mengikut keperluan individu, tahap fungsi harian dan matlamat hidup.

Jelasnya, antara rawatan yang diberikan termasuk terapi tingkah laku kognitif (CBT) bagi mengurus tekanan, keresahan sosial dan tingkah laku obsesif.

“Terapi sensori juga perlu dilakukan untuk mengurus kepekaan terhadap cahaya, bunyi atau tekstur serta rawatan perubatan bagi menangani komorbiditi seperti kemurungan, keresahan atau ADHD.

“Kumpulan sokongan dan pendidikan psiko juga wajar bagi membantu penerimaan diri dan membina keyakinan,” jelasnya.

Tambah Liana, fokus rawatan bukan untuk mengubah keperibadian, sebaliknya membantu individu memahami diri sendiri, menjalin hubungan bermakna dan menyesuaikan diri dalam persekitaran sosial serta pekerjaan.

“Ramai yang menerima diagnosis lewat melaporkan rawatan membantu mereka memahami pengalaman hidup lalu, sekali gus meningkatkan kesihatan mental dan penerimaan diri.

“Autisme tidak dapat dicegah sepenuhnya kerana ia melibatkan gabungan faktor genetik dan persekitaran tetapi penjagaan kehamilan yang baik, gaya hidup sihat dan pemantauan awal perkembangan anak boleh membantu mengesan tanda awal.

“Sokongan awal, penerimaan masyarakat dan penjagaan kesihatan menyeluruh adalah kunci untuk memastikan kualiti hidup yang lebih baik bagi individu autistik,” ujarnya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang