Lelaki hati-hati dengan perut besar! Bukan sebab makan banyak. tetapi sindrom metabolik
Golongan lelaki yang ingin menjaga penampilan mereka dan kelihatan menarik perlulah menjaga kesihatan.
Jika mereka tidak menjaga pemakanan dan kurang bersenam akan menyebabkan berat badan naik dan kebiasaannya akan menyebabkan masalah ibesiti atau mengalami perut buncit.
Masalah perut buncit atau boroi berpunca daripada sindrom metabolik (MetS)? Ia dikatakan boleh mempengaruhi kualiti hidup dan kecergasan golongan lelaki.
Menjelang 2040, demografi Malaysia akan merangkumi pembahagian populasi yang hampir sama antara populasi muda iaitu 18.6 peratus dan populasi warga tua 14.5 peratus dengan populasi warga tua melebihi enam juta rakyat.
Ini merupakan satu peristiwa penting dalam peralihan Malaysia menjadi negara menua ataupun disebut sebagai ageing nation.
Apabila peralihan demografi ini berlaku, pengurusan MetS dalam kalangan lelaki menjadi lebih penting untuk mendorong penuaan yang sihat dan menyokong mereka di sepanjang peringkat kehidupan.
Menurut Pakar Perunding Nefrologi dan Perubatan Dalaman daripada Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Radzi Rodzlan, MetS dapat dicirikan oleh sekurang-kurangnya tiga daripada lima faktor risiko.
Antaranya, obesiti perut (central obesity), serum trigliserida yang tinggi (mempunyai terlalu banyak lemak dalam darah), low high-density lipoprotein cholesterol (HDL-C) atau apabila seseorang tidak cukup kolesterol baik dalam darah mereka, tekanan darah tinggi dan paras gula darah semasa berpuasa yang tinggi.
“MetS boleh memberi kesan kepada lelaki dan wanita. Kajian menunjukkan bahawa jumlah keseluruhan MetS dalam kalangan orang dewasa di Malaysia terletak antara 25 hingga 40 peratus.
“Faktor risiko yang paling berkait rapat dengan MetS termasuk umur yang mana anda lebih berkemungkinan untuk memilikinya apabila semakin tua.
“Sejarah diabetes peribadi, wanita yang menghidap diabetes semasa mengandung (GDM) atau mereka yang mempunyai ahli keluarga dengan diabetes jenis 2 lebih berisiko tinggi untuk mendapat MetS.
“Faktor risiko lain termasuk tabiat pemakanan yang tidak sihat, merokok, sejarah pengambilan alkohol yang berlebihan, tekanan, menopaus, mengamalkan diet tinggi lemak dan gaya hidup yang tidak aktif,” kongsi Dr Radzi.
Kesihatan buah pinggang
Sementelah itu, Dr Radzi juga mengatakan, MetS boleh mengakibatkan perubahan ketara pada struktur dan fungsi buah pinggang.
“Ini termasuk penurunan kadar penapisan glomerular (GFR) yang merupakan pengiraan untuk mengukur sejauh mana buah pinggang seseorang berfungsi dalam menapis sisa dan cecair tambahan daripada darah mereka dan peningkatan mikroalbumin kencing yang menunjukkan terdapat kebocoran protein dari buah pinggang.
“Perubahan dalam fungsi buah pinggang sebegini boleh menyebabkan penyakit buah pinggang kronik (CKD) yang boleh membawa kepada masalah kesihatan yang teruk, termasuk penyakit buah pinggang peringkat akhir yang memerlukan dialisis atau pemindahan buah pinggang,” tambah beliau.
Oleh itu, orang ramai digalakkan untuk melakukan perubahan gaya hidup seperti:
- Amalkan diet yang sihat yang merangkumi buah-buahan, sayur-sayuran, dan bijirin penuh. Elakkan makanan yang diproses dan makanan yang mengandungi gula serta karbohidrat terproses.
- Elakkan minuman manis dan gantikan dengan pilihan tanpa kalori seperti air kosong dan teh.
- Aktiviti fizikal yang berkala akan menurunkan tekanan darah, paras gula darah dan tahap kolesterol anda.
Langkah-langkah proaktif seperti itu boleh meningkatkan tahap kesihatan keseluruhan dengan ketara dan mengurangkan risiko untuk mendapat masalah berkaitan buah pinggang.
Apabila Malaysia beralih kepada negara menua, memahami dan menangani masalah kesihatan lelaki, khususnya seperti MetS dan masalah urinari adalah sangat penting.
Sebahagian besar daripada penduduk Malaysia menghadapi cabaran kesihatan yang berkaitan dengan MetS, termasuk risiko masalah urinari dan masalah buah pinggang kronik, pengurusan kesihatan secara proaktif adalah penting untuk diketengahkan sekarang.
Mereka yang menghidap sindrom metabolik biasanya mempunyai bentuk badan seperti epal, iaitu mereka memiliki ukuran pinggang yang lebih besar dan banyak berat badan di sekitar abdomen.
Dipercayai bahawa bentuk badan seperti pir, iaitu berat badan lebih tertumpu di sekitar pinggul dan pinggang yang lebih ramping, tidak meningkatkan risiko diabetes, penyakit jantung dan komplikasi sindrom metabolik yang lain.
Menjaga lilitan pinggang, tekanan darah, dan tahap kolesterol yang sihat dapat mengurangkan risiko sindrom metabolik.
Senaman dan penurunan berat badan boleh membantu usaha ini dan mengurangkan rintangan insulin.
Dengan memupuk kesedaran dan melakukan pemeriksaan kesihatan yang berkala, lelaki boleh menjaga kesihatan mereka, memudahkan untuk mendapat pengesanan awal serta mendapat rawatan yang lebih baik untuk meningkatkan tahap kesihatan mereka dan meningkatkan kualiti hidup kaum Adam.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang