Kanser pankreas, pembunuh dalam senyap! Jaundis kalangan tua, sakit belakang antara simptom perlu ambil berat
KANSER adalah salah satu penyakit yang paling ditakuti dan kanser pankreas sering dianggap sebagai pembunuh senyap.
Ini kerana ia jarang menunjukkan tanda-tanda awal, menjadikannya sukar untuk dikesan pada peringkat yang masih boleh dirawat dengan berkesan.
Kadar kelangsungan hidup untuk kanser pankreas biasanya rendah dengan purata sebanyak lima tahun antara lapan hingga 10 peratus.
Kadar ini berbeza bergantung pada tahap kanser dan respons terhadap rawatan.
Menurut Pakar Bedah Am dan Hepatobiliari dari Gleneagles Hospital Kuala Lumpur, M. Mahadevan, pankreas ialah organ penting yang terletak di belakang perut dan organ ini berfungsi untuk menghasilkan enzim pencernaan dan hormon seperti insulin. Sel-sel di pankreas boleh menjadi kanser apabila sel-sel tersebut tumbuh dengan tidak terkawal.
“Terdapat pelbagai faktor risiko seseorang itu mendapat kanser pankreas. Ianya berkaitan dengan gaya hidup yang mana salah satu faktor risiko utamanya ialah merokok.
“Merokok menyumbang kepada kerosakan sel-sel pankreas akibat bahan kimia toksik dalam rokok.
“Kajian menunjukkan perokok mempunyai risiko dua hingga tiga kali ganda lebih tinggi untuk menghidap kanser pankreas berbanding mereka yang tidak merokok,” jelas beliau.
Selain itu, obesiti, diabetes dan gaya hidup tidak aktif juga menjadi penyumbang utama.
Tidak lupa juga bagi mereka yang mempunyai sejarah keluarga dengan kanser pankreas turut memainkan peranan penting. Jika terdapat ahli keluarga terdekat menghidap penyakit ini, risiko untuk seseorang individu meningkat.
Mutasi genetik
Usia juga merupakan faktor yang tidak boleh diabaikan. Risiko kanser pankreas meningkat seiring dengan pertambahan usia, khususnya selepas umur 60 tahun.
Seterusnya, pendedahan kepada bahan kimia tertentu seperti racun serangga atau bahan industri berat turut meningkatkan risiko penyakit berkenaan.
Bahan kimia berbahaya itu boleh menyebabkan mutasi genetik dalam sel-sel pankreas, memicu pembentukan kanser.
Dalam pada itu, bagi simptom penyakit, walaupun biasanya tidak jelas pada peringkat awal, ia tidak bermakna anda boleh abaikan perubahan yang berlaku pada tubuh badan sendiri.
Antaranya termasuklah:
- Sakit perut atau belakang
- Penurunan berat badan tanpa sebab
- Jaundis (kulit dan putih mata menjadi kuning)
- Kehilangan selera makan
- Mual atau muntah
- Perubahan dalam najis
Sekiranya seseorang pesakit itu didapati mengalami simptom seperti yang dinyatakan, segeralah rujuk pada hospital.
Dr Mahadevan berkata, diagnosis kanser pankreas memerlukan pendekatan yang menyeluruh, melibatkan kombinasi pemeriksaan fizikal, pengambilan sejarah perubatan dan ujian diagnostik tertentu.
“Pemeriksaan fizikal membantu doktor mengenal pasti gejala luaran seperti jaundis atau tanda-tanda fizikal lain yang mungkin berkaitan dengan kanser pankreas. Pada masa yang sama, sejarah perubatan pesakit, termasuk faktor risiko juga akan diambil kira.
“Seterusnya, penggunaan teknologi pengimejan seperti imbasan CT atau MRI untuk mendapatkan gambaran terperinci mengenai pankreas. Imbasan ini membantu mengenal pasti kehadiran tumor, saiznya, serta sejauh mana ia telah merebak ke organ lain,” jelas beliau.
Bagi pemeriksaan lebih tepat dari dalam saluran pencernaan, ujian ultrabunyi khususnya Endoscopic Ultrasound (EUS) juga digunakan untuk memeriksa pankreas.
Jika terdapat sesuatu yang mencurigakan, doktor mungkin akan melakukan biopsi, iaitu pengambilan sampel tisu daripada pankreas untuk dianalisis di makmal. Ujian ini penting untuk memastikan sama ada tumor itu bersifat kanser.
Sebagai tambahan, ujian darah untuk mengesan penanda tumor seperti CA 19-9 boleh dijalankan. Walaupun penanda ini tidak spesifik untuk kanser pankreas, parasnya yang tinggi boleh menjadi petunjuk kehadiran kanser atau perkembangan penyakit.
Proses diagnosis yang terperinci itu penting bagi menentukan tahap penyakit dan merancang rawatan yang sesuai.
Menyentuh tentang tahap, kanser pankreas dibahagikan kepada beberapa tahap iaitu:
- Peringkat 0: Kanser in-situ
- Peringkat I: Kanser yang terhad kepada pancreas
- Peringkat II: Kanser yang mungkin telah merebak ke nodus limfa berdekatan
- Peringkat III: Kanser yang lebih luas dan melibatkan nodus limfa
- Peringkat IV: Kanser yang telah merebak ke organ lain
Terapi radiasi
Sementara rawatan pula, ia bergantung kepada tahap penyakit ketika didiagnos. Pada peringkat awal, pembedahan sering menjadi pilihan utama untuk mengeluarkan tumor dan menghentikan penyebaran kanser.
Prosedur seperti Pancreatoduodenectomy atau lebih dikenali sebagai prosedur Whipple digunakan untuk membuang sebahagian pankreas, saluran hempedu, duodenum, dan kadangkala sebahagian perut.
Walaupun kompleks, pembedahan ini memberikan peluang terbaik untuk pemulihan bagi pesakit yang kansernya belum merebak.
Bagi pesakit yang berada pada tahap teruk atau tidak sesuai untuk pembedahan, kemoterapi menjadi pilihan. Ia bertindak untuk membunuh sel-sel kanser atau menghalang pertumbuhan kanser.
Walaupun berkesan, kemoterapi kadangkala menyebabkan kesan sampingan seperti keletihan, mual, dan keguguran rambut.
Terapi radiasi pula melibatkan penggunaan sinar berkuasa tinggi untuk memusnahkan sel kanser atau mengecilkan tumor sebelum pembedahan.
Selain itu, rawatan moden seperti terapi sasaran dan imunoterapi memberikan harapan baru kepada pesakit kanser pankreas.
Terapi sasaran berfungsi dengan menyerang protein tertentu dalam sel-sel kanser, sementara imunoterapi merangsang sistem imun pesakit untuk melawan kanser.
Kedua-dua kaedah ini sedang diperhalusi melalui penyelidikan untuk meningkatkan keberkesanan dalam rawatan kanser tersebut.
Pemilihan rawatan bergantung kepada tahap kanser, kesihatan keseluruhan pesakit, dan respons terhadap terapi.
Pendekatan rawatan yang komprehensif serta sokongan dari pakar perubatan dapat memberikan peluang terbaik untuk pesakit meningkatkan kualiti hidup mereka.
“Prognosis kanser pankreas bergantung kepada pelbagai faktor, termasuk tahap kanser pada diagnosis, tindak balas terhadap rawatan, dan keadaan kesihatan keseluruhan pesakit.
“Secara amnya, kanser pankreas mempunyai prognosis yang lebih buruk berbanding banyak jenis kanser yang lain,” tambah beliau.
Sementelah itu, Dr Mahadevan turut menyatakan bahawa, tiada cara yang pasti untuk mencegah kanser pankreas.
Justeru, beliau menyarankan supaya mengamalkan gaya hidup sihat dengan berhenti merokok, kekalkan berat badan sihat dan diet yang seimbang bagi membantu mengurangkan risiko mendapat penyakit tersebut.
“Kanser pankreas mungkin sukar dikesan dan dirawat, tetapi dengan kesedaran tentang faktor risiko, simptom, dan rawatan terkini, kita dapat meningkatkan peluang diagnosis awal dan rawatan yang lebih berkesan,” ujar beliau lagi.
Penyelidikan berterusan juga katanya dapat membantu memberikan harapan baharu dalam menangani penyakit berkenaan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang