Obesiti membimbangkan! Boleh undang pelbagai penyakit

No Image Caption
A
A
A

KEGEMUKAN atau obesiti adalah satu penyakit kronik yang terus meningkat dalam kalangan masyarakat dunia dan Malaysia khususnya.

Hampir 20 peratus daripada populasi di Malaysia diklasifikasikan sebagai obes. Atlas Obesiti Dunia juga meramalkan bahawa jumlah ini boleh meningkat kepada 41 peratus menjelang tahun 2035 sekali gus menekankan keperluan penting untuk negara kita mempunyai strategi pencegahan dan rawatan dalam memerangi masalah tersebut.

Trend obesiti yang membimbangkan itu seiring dengan peningkatan penyakit kronik lain yang sememangnya membimbangkan seperti gula dalam darah tinggi, tekanan darah tinggi dan kolestrol tinggi. Malah, lebih setengah juta orang dewasa kini hidup dengan keempat-empatnya.

Obesiti bukan hanya mengenai isu fizikal berat badan berlebihan, ia juga boleh memberi kesan kepada kesejahteraan mental dan emosi seseorang.

Seterusnya membawa kepada kemerosotan tahap kesihatan. Ia diklasifikasikan oleh Indeks Jisim Badan (BMI) 27.5 atau lebih.

No Image Caption

Menurut Pakar Perunding Endokrinologi dan Perubatan Dalaman di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Lim Kim Piow, obesiti sering dikaitkan dengan masalah kemurungan dan kebimbangan.

Keadaan ini menggalakkan tabiat makan berlebihan dan seterusnya membawa kepada gaya hidup yang tidak aktif, peningkatan berat badan dan memburukkan keadaan kesihatan.

Antara masalah kesihatan yang bakal dihadapi seperti:

  • Diabetes
  • Strok
  • Serangan jantung
  • Penyakit buah pinggang kronik
  • Gout
  • Apnea tidur obstruktif (OSA)
  • Penyakit hati berlemak
  • Batu karang
  • Sindrom ovari polisistik (PCOS)
  • Masalah ketidaksuburan
  • Osteoartritis
  • Penyakit radang pelvis (PID)
  • Katarak
  • Pankreatitis
  • Kanser
  • Trombosis vena dalam
  • Kemurungan
  • Kebimbangan

No Image Caption

“Obesiti boleh menyebabkan rintangan insulin, lalu memaksa pankreas bekerja lebih keras untuk menghasilkan lebih banyak insulin untuk mengatasi masalah ini dan mengakibatkan hiperinsulinemia (bacaan gula dalam darah melebihi tahap normal).

“Mekanisma ini akhirnya boleh bermanifestasi menjadi pradiabetes dan diabetes jenis dua,” kata Dr Kim Piow.

Bahkan, Malaysia muncul antara negara yang mana kadar diabetes tertinggi di dunia dengan lebih 3.6 juta rakyatnya disahkan menghidap penyakit berkenaan pada tahun 2019.

Menurut Kementerian Kesihatan, angka itu diramalkan meningkat dua kali ganda menjelang 2025 dan memberi kesan kepada kira-kira tujuh juta rakyat Malaysia.

Menurut pakar itu lagi, selain kesannya terhadap gula dalam darah, obesiti juga boleh mengganggu keseimbangan hormon, terutamanya kepada wanita.

Mereka yang mempunyai sejarah atau menghidap diabetes jenis dua berisiko lebih tinggi untuk menghidap Sindrom Ovari Polisistik (PCOS).

Masalah ketidaksuburan

Malah, ia juga menyebabkan simptom seperti haid tidak teratur dan bulu di muka atau badan berlebihan yang disebabkan oleh peningkatan paras hormon androgen (hormon lelaki) di dalam badan.

“PCOS merupakan salah satu punca utama kepada masalah ketidaksuburan akibat ovulasi yang tidak teratur atau ketiadaan ovulasi.

“PCOS dan obesiti saling berkait melalui hiperinsulinemia dan proses metabolik dalam badan yang tidak berfungsi dengan baik.

“Ia menyebabkan ovari berfungsi secara tidak normal dan pengeluaran hormon androgen yang berlebihan, lalu menyumbang kepada simptom PCOS. Jika dibiarkan tidak dirawat, boleh menyebabkan ketidaksuburan,” jelas beliau lagi.

Bukan itu sahaja, masalah tersebut juga boleh meningkatkan risiko masalah kardiovaskular.

Individu obes lebih berkemungkinan untuk mendapat serangan jantung dan mengalami simptom seperti sakit dada, ketidakselesaan badan, pedih ulu hati, rasa loya dan sesak nafas.

Tambah Dr Kim Piow lagi, semua pihak perlu diberi kesedaran diri bahawa obesiti boleh menyebabkan pelbagai komplikasi kesihatan, termasuklah menjejaskan jantung, otak dan buah pinggang.

“Begitu juga dengan faktor genetik yang memainkan peranan penting dalam obesiti dan masalah hormon lain yang berkaitan.

Justeru, orang ramai perlu tahu risikonya serta mengambil langkah proaktif yang diperlukan untuk memerangi masalah berkenaan.

“Pada masa sama, anda perlu mengambil berat soal pengurusan makanan. Bagi mereka yang obes perlu mengikuti diet rendah kalori, rendah karbohidrat dan juga menjalankan pemantauan kendiri dengan merekod pengambilan makanan melalui jurnal atau aplikasi di telefon pintar.

Inisiatif ini sememangnya dapat membantu untuk mengekalkan kesedaran tentang tabiat pemakanan,” ujarnya lagi.

SinarPlus turut berkesempatan menemu bual Pakar Perunding Kardiologi dan Perubatan Dalaman di SMCV, Datuk Dr Foo Yoke Loong.

Menurut beliau, obesiti boleh membawa kepada penyakit kardiovaskular lain seperti kardiomiopati iskemia, yang mana otot jantung menjadi rosak akibat bekalan darah yang tidak mencukupi, dan hipertrofi ventrikel kiri, keadaan yang mana otot jantung menebal. Kedua-dua keadaan ini boleh mengakibatkan kegagalan jantung.

Justeru, langkah pertama dalam menguruskan obesiti dengan berkesan adalah memahami kesannya terhadap kesihatan individu secara keseluruhan.

No Image Caption

Pemeriksaan kesihatan

Malah Dr Yoke Loong juga menyokong pendekatan berkenaan dan menasihati orang ramai supaya mendapatkan nasihat daripada pakar diet untuk mengenal pasti kekurangan atau lebihan dalam diet semasa.

“Perubahan tabiat yang mudah seperti memesan minuman yang kurang atau tiada gula dan mengelakkan makanan berproses tinggi gula boleh mengurangkan paras gula dalam darah dengan ketara dan mencegah kemerosotan kesihatan.

“Selain itu, berwaspada terhadap tanda-tanda awal isu kardiovaskular yang berkaitan dengan obesiti.

“Sakit di bahagian tengah dada yang mungkin merebak ke bahagian tubuh yang lain seperti tangan kiri, belakang atau leher merupakan simptom awal penyakit jantung.

“Perubahan gaya hidup tidak akan lengkap tanpa senaman yang kerap dan konsisten.

“Oleh itu, nasihat saya kepada pesakit yang obes, anda perlu menjalani sebarang bentuk senaman yang sesuai dengan situasi tubuh mereka,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Dr Yoke Loong mengesyorkan supaya pesakit menetapkan matlamat yang realistik dan menyertai senaman berkumpulan untuk kekal bermotivasi.

“Senaman kardio seperti berjoging, berenang dan berbasikal sangat berkesan dalam meningkatkan kesihatan jantung dan menguruskan obesiti.

“Berenang adalah senaman universal yang sangat baik, terutama bagi individu yang mengalami masalah lutut, kerana ia mengurangkan impak dan tekanan pada sendi berbanding berlari,” ujar beliau.

Sementara itu, bagi pesakit yang mempunyai penyakit seperti paras gula dalam darah dan kolesterol yang tinggi, penting menggabungkan perubahan gaya hidup sihat dengan rawatan perubatan untuk proses pemulihan yang lebih cepat.

Tidak dilupakan juga, pemeriksaan kesihatan dan saringan juga penting untuk mendapatkan diagnosis awal dan mencegah sebarang penyakit.

Jelas beliau, kekerapan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan adalah berdasarkan tahap BMI individu, keadaan kesihatan terkini dan sejarah keluarga, serta perlu dilakukan tiga bulan sekali atau setiap tahun.

Secara keseluruhannya, diagnosis awal membolehkan pesakit untuk mendapatkan pilihan rawatan yang kurang invasif, mengurangkan risiko komplikasi dan meningkatkan kemungkinan untuk mendapatkan hasil rawatan yang lebih baik.

Ini bagi membanteras peningkatan obesiti dan penyakit lain seperti paras gula dalam darah tinggi, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia.

Oleh itu, tindakan segera amat diperlukan dan strategi utama untuk menangani isu ini termasuklah meningkatkan kesedaran diri, menguruskan pemakanan, bersenam dengan kerap, mendapatkan bimbingan profesional serta melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang