Selesema biasa atau meningokokus? Jangan pandang ringan!

PENYAKIT meningokokus jarang berlaku, tetapi boleh membawa maut dalam masa yang singkat.
Ia berpunca daripada bakteria Neisseria meningitidis yang boleh menyebabkan jangkitan teruk seperti meningitis (radang selaput otak) dan sepsis (jangkitan darah yang serius).
Selain itu, ia boleh merebak melalui titisan pernafasan daripada individu yang dijangkiti atau pembawa yang tidak bergejala.
Malah, penyakit itu juga boleh menjadi sangat serius dalam tempoh 24 jam dengan kadar kematian yang tinggi sekiranya tidak dirawat segera.
Salah satu kumpulan berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan ini ialah jemaah haji dan umrah. Keadaan di tanah suci yang melibatkan perhimpunan manusia dalam jumlah besar meningkatkan risiko penyebaran penyakit ini.
Aktiviti ibadah seperti tawaf, sa‘i, melontar jamrah, serta interaksi rapat dengan jemaah dari pelbagai negara menjadikan jangkitan meningokokus lebih mudah tersebar.
Justeru, kerajaan Arab Saudi baru-baru ini mewajibkan semula vaksin meningokokus bagi semua jemaah umrah dan haji.
Ini sebagai langkah pencegahan terhadap risiko jangkitan serta sebahagian daripada protokol baharu yang berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025.
Keputusan itu juga dibuat setelah mengambil kira kes penyakit meningokokus invasif (IMD) yang sering dikesan dalam kalangan individu yang baru pulang dari Makkah.
Gejala ringan
Menurut Pakar Kesihatan Pekerjaan dan Penasihat Perubatan Berkat OSH Sdn Bhd, Dr Hazlee Abdul Hadi, penting untuk memahami mengapa penyakit meningokokal berkenaan mempunyai tahap kematian tinggi walaupun kadar jangkitannya rendah.
“Dalam tempoh empat hingga 12 jam selepas jangkitan, seseorang mungkin tidak menunjukkan sebarang simptom atau hanya mengalami gejala ringan selama satu hingga tiga hari.
“Doktor mungkin hanya memberikan ubat seperti paracetamol atau ubat selesema sebelum pesakit dibenarkan pulang,” kata beliau.
Namun begitu, bakteria tersebut tidak terjejas oleh ubat yang diberikan.
Dalam tempoh 12 hingga 15 jam berikutnya, simptom yang lebih jelas mula muncul, termasuk ruam, leher kaku, sakit kepala yang teruk dan kepekaan terhadap cahaya.
Meningismus, iaitu radang pada selaput otak, boleh menyebabkan sakit kepala yang berpanjangan, loya, muntah, dan fotofobia (sensitiviti terhadap cahaya).
Apabila jangkitan semakin memburuk dalam tempoh 18 hingga 20 jam, keadaan pesakit boleh merosot dengan cepat.
Mereka mungkin mengalami kekeliruan, sawan, pengsan atau menjadi gelisah sebelum akhirnya dikejarkan ke hospital.
Malangnya, 15 peratus daripada pesakit akan meninggal dunia.
Biarpun mereka bertahan, namun 20 peratus daripada mereka biasanya akan mengalami simptom sampingan (residual symptom).
Mereka mungkin mengalami kerosakan otak, kehilangan pendengaran atau kerosakan organ lain.
Misalnya buah pinggang, hati dan saraf akibat jangkitan yang merebak ke seluruh tubuh akibat kelewatan dalam memberi rawatan.
Justeru, rawatan awal dan vaksinasi adalah langkah terbaik untuk mencegah jangkitan meningokokus.
“Jika saya menerima kes di hospital dan simptom telah berlanjutan lebih daripada 12 jam, kami akan segera memulakan rawatan dengan antibiotik secara intravena (IV).
“Rawatan lain bergantung pada keadaan pesakit. Jika mereka mengalami dehidrasi, kami akan berikan cecair IV.
“Bagi pesakit yang mengalami kekurangan oksigen, kami akan bekalkan oksigen.
“Namun, perkara utama yang saya tekankan ialah antibiotik IV perlu dimulakan secepat mungkin.
“Kita tidak boleh menggunakan antibiotik oral kerana ia tidak berkesan untuk jangkitan ini.
“Rawatan mesti diberikan melalui intravena secepat mungkin,” jelas Dr Hazlee.
Pada masa yang sama, pelbagai ujian akan dijalankan untuk mengesahkan diagnosis terhadap pesakit. Antaranya:
- Pemeriksaan fizikal
- Ujian darah untuk mengesan bakteria meningokokus
- Imbasan CT jika diperlukan
Ujian lain yang perlu untuk menentukan sama ada bakteria ini benar-benar meningokokus dan antibiotik mana yang paling sesuai.
Namun, sebelum keputusan ujian diperoleh, antibiotik IV tetap diberikan secepat mungkin untuk membunuh bakteria dan mengawal jangkitan.

Jangkitan sebenar
Sekiranya hasil ujian menunjukkan bukan meningokokus, antibiotik boleh dihentikan dan rawatan akan diteruskan berdasarkan jenis jangkitan sebenar.
Tambah Dr Hazlee lagi, kanak-kanak, wanita mengandung dan warga emas antara golongan yang berisiko tinggi dijangkiti penyakit tersebut.
“Kita tahu bahawa golongan yang pergi umrah atau haji kebanyakannya dewasa tetapi ada juga ibu bapa bawa anak kecil mereka terutamanya rakyat Arab Saudi sendiri.
“Jemaah Malaysia juga ada dan disebabkan itu, suntikan vaksin sangat dititikberatkan,” jelas beliau.
Katanya, jemaah kanak-kanak berusia setahun sehingga warga emas berusia 55 tahun selamat untuk mendapatkan suntikan vaksin.
Namun, bagi individu mempunyai penyakit kronik yang tidak sesuai mendapatkan vaksin perlu mendapatkan saranan doktor dan surat pengecualian dari pihak hospital.
Sementelah itu, vaksin ini mudah didapati dan kebiasaannya, klinik panel yang diluluskan oleh Tabung Haji atau mana-mana klinik swasta ada stok untuk vaksin tersebut.
“Klinik yang disenaraikan di laman web Tabung Haji sudah pasti mempunyai vaksin ini kerana mereka perlu membuat persediaan untuk jemaah haji.
“Selain itu, mereka juga mempunyai stok tambahan untuk mereka yang ingin menunaikan umrah.
“Saya sendiri pernah lihat banyak klinik yang menyimpan vaksin ini, termasuk klinik bukan muslim yang menyediakan vaksinasi perjalanan,“ ujar beliau.
Menurut Dr Hazlee, vaksin ini bukan hanya untuk jemaah haji atau umrah sahaja.
Ia juga diperlukan bagi sesiapa yang ingin ke negara lain yang menetapkan syarat vaksinasi, seperti UAE atau Dubai.
Terdapat beberapa jenis vaksin yang disyorkan untuk para jemaah, seperti:
- Vaksin konjugat kuadrivalen ACYW-135: Untuk individu berusia 9 bulan hingga 55 tahun.
- Vaksin polisakarida kuadrivalen ACYW-135: Untuk jemaah berusia lebih 55 tahun.

Menurut pakar itu lagi, di Malaysia masih menggunakan vaksin konjugat sejak 2017, manakala vaksin polisakarida digunakan pada tahun sebelumnya.
“Antara sebab Arab Saudi wajibkan vaksin kepada semua yang melawat tanah suci disebabkan oleh berlakunya penularan pertama pada 1977 dan kedua pada 2000 hingga 2001.
“Alhamdulillah setelah pemberian vaksin, terjadi penurunan yang ketara kepada 0.21 peratus kes pada 2002 dan ini menunjukkan ia sangat berkesan,” ulas beliau.
Tiada larangan khusus untuk ibu hamil mengambil vaksin meningokokus ini. Trimester kedua adalah waktu paling sesuai untuk mengambilnya.
Pada ketika ini, bayi dalam kandungan sudah berkembang lebih 30 peratus, jadi risiko komplikasi adalah lebih rendah.
Trimester ketiga pula kita lebih berhati-hati kerana berisiko menyebabkan komplikasi lain.
“Vaksin ini selamat untuk ibu mengandung, tetapi jika perlu ambil lebih awal, pastikan ibu berehat sekurang-kurangnya 10 hari hingga dua minggu sebelum aktiviti berat.
“Arab Saudi juga menetapkan tempoh 10 hari selepas suntikan sebelum seseorang boleh masuk ke negara itu.
“Ini bagi memberi masa kepada antibodi untuk terbentuk dalam badan dan memastikan ia cukup kuat untuk melindungi daripada jangkitan,” jelas beliau lagi.
Dalam pada kita merebut pahala, semestinya keselamatan diri dan orang lain juga perlu menjadi fokus utama.
Bak kata pepatah, mencegah lebih baik dari mengubati.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang