Sakit perut ingat gastrik, rupanya batu hempedu!
![No Image Caption](https://website-sinarharian.sinarharian.com.my/sinarplus/uploads/images/2025/02/11/thumbs/900x900/3003730.jpg)
PUNDI hempedu adalah organ berbentuk seperti kantung yang terletak di bawah hati.
Fungsinya adalah untuk memecahkan dan mencerna lemak. Apabila cecair mengeras dan menjadi bahan seperti batu, ia akan membentuk sesuatu yang dikenali sebagai batu hempedu.
Penyakit batu hempedu itu dipanggil sebagai cholelithiasis.Ia berlaku apabila seseorang individu itu mempunyai tahap kolesterol yang tinggi dalam badan.
Sebenarnya, kolesterol memang dikeluarkan oleh hati. Namun begitu, jika ditambah dengan pemakanan tinggi kolesterol dan garam (bahan perasa), berisiko tinggi untuk terbentuknya batu hempedu.
Sekadar makluman, di dalam saluran hempedu (bile duct) kita terdapat bahan kimia semula jadi yang boleh melarutkan batu.
Namun begitu, jika jumlah kolesterol yang masuk terlalu banyak, batu akan terbentuk.
Bila keadaan tersebut berlaku, ia tidak akan hilang secara tiba-tiba walaupun ketika itu anda berhenti mengambil makanan yang berminyak atau mula bersenam.
Menurut Pegawai Perubatan di Klinik Ihsan Siti Melaka, Muhammad Aizat Mohd Sofian, kadang-kadang batu hempedu boleh didapati dalam pelbagai saiz bermula daripada batu-batu kecil sehingga batu yang berukuran sebiji bola golf dan bahkan terdapat gabungan kedua-duanya.
Batu hempedu boleh dikategorikan kepada dua jenis:Batu kolesterol – paling biasa, terbentuk akibat kolesterol berlebihan dalam pundi hempedu.
Batu pigmen – jarang berlaku, terbentuk daripada bilirubin (biasanya pada pesakit hati atau anemia).
“Sakit akibat batu hempedu biasanya terasa di bahagian atas kanan perut, betul-betul di bawah rusuk kanan.
“Kesakitan ini boleh merebak ke bahu kanan atau bahagian belakang badan, menyebabkan ketidakselesaan yang lebih teruk.
“Serangan sakit sering berlaku secara tiba-tiba dan boleh datang serta pergi dalam jangka masa tertentu,“ kata beliau.
Tambah Dr Aizat, tempoh kesakitan juga berbeza-beza iaitu daripada merasainya beberapa minit menjadi berjam-jam lamanya.
Pesakit akan rasa tajam, kejang atau ada tekanan yang kuat di bahagian perut.
Dalam kebanyakan kes, serangan sakit ini dicetuskan oleh pengambilan makanan berlemak atau berminyak.
Selain itu, kesakitan akibat batu hempedu sering disertai dengan gejala lain seperti loya, muntah, perut kembung, dan rasa senak.
Jika berlaku keradangan pada pundi hempedu, pesakit juga mungkin mengalami demam.
![No Image Caption](https://website-sinarharian.sinarharian.com.my/sinarplus/uploads/images/2025/02/11/3003731.jpg)
Berlaku jaundis
Menjadi bertambah serius apabila berlaku perubahan warna kulit dan mata menjadi kuning (jaundis).
Ini terjadi apabila jus hempedu yang sepatutnya mengalir ke usus kecil terperangkap dan masuk ke dalam darah.
Pesakit juga mungkin mendapati air kencing menjadi lebih gelap dan najis berwarna pucat, menunjukkan gangguan pada sistem hempedu.
Oleh itu, jika anda mengalami gejala-gejala ini, segera dapatkan pemeriksaan perubatan untuk diagnosis dan rawatan yang tepat.
Sementelah, untuk mendiagnos penyakit berkenaan, doktor akan melihat sejarah perubatan dan melakukan pemeriksaan fizikal, termasuk menekan bahagian perut anda untuk memeriksa jika terdapat keradangan.
Selain itu, beberapa ujian diagnostik mungkin dilakukan untuk menyingkirkan kemungkinan keadaan lain yang boleh menyebabkan gejala anda serta melihat keadaan dalaman badan. Ujian ini termasuk:
- Ultrabunyi
- Imbasan CT abdomen
- Kolangriogram (ujian untuk melihat saluran hempedu)
- Imbasan MRI
- Imbasan radionuklid pundi hempedu
- Ujian darah
Ujian-ujian ini membantu doktor mengenal pasti kehadiran batu hempedu, keradangan, atau sebarang komplikasi lain yang mungkin berlaku.
“Jika pesakit mengalami kesakitan teruk atau komplikasi akibat batu hempedu, pembedahan adalah satu-satunya jalan penyelesaian yang efektif.
“Apabila pundi hempedu anda dikeluarkan, hempedu akan mengalir terus daripada hati anda ke usus kecil,“ jelas Dr Aizat.
Namun begitu, terdapat beberapa cara lain untuk merawat batu hempedu selain daripada pembedahan.
Namun, perlu diingat bahawa rawatan ini bukan penyelesaian segera dan mengambil masa lama untuk memberi kesan.
Antara rawatan batu hempedu, termasuklah:
1 Ubat larut batu hempeduUbat seperti asid ursodioksikolik boleh membantu melarutkan batu hempedu kecil yang terbentuk daripada kolesterol. Namun, rawatan ini mengambil masa berbulan-bulan hingga bertahun-tahun. Jika batu terlalu besar atau keras, ubat ini tidak berkesan.
2 Terapi gelombang kejutan (Extracorporeal Shockwave Lithotripsy)
Kaedah ini boleh memecahkan batu hempedu menggunakan gelombang kejutan. Namun, ia hanya sesuai untuk kes tertentu dan tidak semua hospital menyediakan rawatan tersebut.
3 Kawalan diet
Bagi mereka yang mempunyai batu hempedu kecil dan belum mengalami komplikasi serius, mengamalkan diet rendah lemak dan tinggi serat boleh membantu mencegah pembentukan batu hempedu baru. Namun, diet sahaja tidak dapat menghancurkan batu hempedu yang sedia ada.
![No Image Caption](https://website-sinarharian.sinarharian.com.my/sinarplus/uploads/images/2025/02/11/3003729.jpg)
Karbohidrat halus
Dalam pada itu, pemakanan juga memainkan peranan penting dalam menguruskan masalah batu hempedu.
Terdapat beberapa jenis makanan yang perlu dielakkan kerana ia boleh memburukkan lagi keadaan dan mencetuskan serangan sakit kepada individu yang mengalami msalah ini.
“Pertama, elakkan makanan tinggi lemak seperti makanan bergoreng, daging berlemak, susu penuh krim, keju, mentega, dan ais krim.
“Lemak berlebihan boleh membebankan pundi hempedu dan menyebabkan ia mengecut dengan lebih kuat, mencetuskan kesakitan.
“Makanan yang mengandungi karbohidrat halus dan gula tinggi seperti kek, biskut, pastri, minuman bergas, roti putih, dan pasta juga perlu dikurangkan.
“Ia boleh meningkatkan paras kolesterol dalam hempedu, sekali gus menyumbang kepada pembentukan batu hempedu,“ ujar beliau.
Sama juga bagi makanan yang diproses seperti daging proses, kerepek dan keropok juga tidak digalakkan kerana biasanya mengandungi bahan pengawet serta lemak tidak sihat.
Selain itu, makanan tinggi kolesterol seperti hati, buah pinggang, udang dan kerang boleh meningkatkan risiko pembentukan batu hempedu.
Malah memburukkan lagi simptom bagi mereka yang sudah mengalaminya.
Akhir sekali, minuman berkafein dan berkarbonat juga perlu dielakkan kerana ia boleh merangsang pengecutan pundi hempedu secara berlebihan dan menyebabkan ketidakselesaan.
Batu hempedu adalah masalah yang boleh memberi kesan serius jika tidak dirawat dengan baik. Walaupun terdapat beberapa alternatif rawatan selain pembedahan, keberkesanannya bergantung kepada saiz dan jenis batu.
Jika batu hempedu menyebabkan kesakitan berulang atau komplikasi, pembedahan mungkin satu-satunya pilihan terbaik.
Sekiranya anda mengalami simptom seperti sakit perut yang berulang, loya, muntah, atau kulit dan mata menjadi kuning, segera dapatkan pemeriksaan doktor untuk diagnosis dan rawatan yang tepat.
Kesihatan adalah aset berharga, jadi jangan abaikan tanda-tanda awal.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang