Dah masuk sekolah rendah tapi perangai seperti budak tadika, mungkin anak cenderung kurang upaya intelektual
KETIDAKUPAYAAN pembelajaran adalah masalah biasa yang dihadapi oleh kira-kira 10 hingga 15 peratus daripada kanak-kanak sekolah. Ia boleh dibahagikan kepada ketidakupayaan pembelajaran umum atau khusus.
Istilah lain yang digunakan untuk ketidakupayaan pembelajaran termasuklah kurang upaya intelek, terencat akal (Amerika Syarikat) dan kesukaran pembelajaran (United Kingdom). Masalah itu adalah dua kali ganda lebih kerap berlaku pada kanak-kanak lelaki berbanding perempuan.
Menurut pakar psikiatri di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Rozanizam Zakaria, apabila seorang kanak-kanak datang ke klinik untuk masalah perkembangan, ada tiga kawasan yang akan terganggu iaitu perkembangan fizikal, kognitif dan perkembangan sosio emosional.
“Dalam hal ini, berlaku isu di sekolah dari segi pembelajaran. Biasanya bila masuk darjah satu atau dua, kanak-kanak itu berhadapan masalah tidak melepasi tahap kemampuan dari segi akademik yang sepatutnya dicapai pada tahap umur tersebut.
“Contohnya, murid Darjah Satu masih tidak kenal huruf, darjah dua masih tidak boleh membaca dan darjah tiga tidak boleh menulis,“ katanya.
Tambah beliau, selepas mengenal pasti anak murid berdepan masalah tersebut, cikgu akan meminta pelajar itu dibawa berjumpa pakar untuk penilaian bagi memastikan sama ada anak berkenaan bukan autisme dan Gangguan Hiperaktif Defisit Perhatian (ADHD).
Seterusnya, pelajar itu akan difokuskan dengan penilaian berkenaan isu kognitif.
Ia terbahagi kepada dua iaitu kurang upaya intelektual dan masalah pembelajaran spesifik.
Kurang upaya intelektual
Dr Rozanizam yang juga seorang pensyarah perubatan menambah, kanak-kanak juga berdepan masalah dari segi kemampuan kognitif mereka dalam semua keadaan dan bukan sekadar tidak boleh membaca atau menulis semata-mata.
Sebagai contoh, kemampuan anak untuk mengurus diri, memahami konsep, mengurus atau memahami arahan dan bersosial.
Semua situasi itu kurang daripada peringkat usia anak dalam semua domain termasuk akademik. Dalam kebanyakan kes, penilaian doktor akan menghala ke arah kurang upaya intelektual.
“Kebiasaannya, ibu bapa menyedari anak mereka yang berusia lingkungan sembilan atau sepuluh tahun berperangai atau tingkah laku seolah-olah baru lima atau enam tahun. Itu petanda bahawa kemampuan kognitif anak defisit di semua area.
“Dari masalah itu, doktor akan membuat penilaian klinikal iaitu sebahagiannya adalah penilaian IQ dan memperoleh dapatan daripada guru untuk melihat kemampuan akademik. Keputusan dari penilaian itu akan disimpulkan sekiranya mereka menghadapi kurang upaya intelektual,“ jelasnya.
Terdapat tiga jenis kurang upaya intelektual iaitu ringan, sederhana dan teruk. Selepas dinilai murid tersebut menghadapi kurang upaya intelektual, mereka akan intenvensi dari pendidikan. Mereka akan didaftarkan ke kelas pendidikan khas yang bersesuaian seiring dengan pemahaman mereka berbanding pendidikan asas mengikut usia.
Masalah pembelajaran
Selain itu, ada satu lagi situasi yang mana anak itu lambat membaca dan menulis tetapi aspek lain mereka normal.
"Dia hanya ada masalah dari segi membaca sahaja tetapi dari segi urus diri, memahami arahan, bergaul, ikut rutin harian dan bertanggungjawab semuanya normal. Keadaan ini kemungkinan besar mereka mengalami masalah pembelajaran spesifik.
"Anak-anak dalam kategori itu juga mempunyai masalah dari segi kefahaman, kebolehan dan kemampuan untuk memproses bacaannya dan menggunakan semula apa yang dibaca.
"Jadi, jika pembacaan sahaja yang bermasalah tetapi kemahiran lain seperti matematik atau sains mereka bagus, inilah yang dipanggil masalah pembelajaran spesifik dari kategori disleksia," ujarnya.
Ujar pakar itu lagi, masalah berkenaan diklarifikasikan sebagai gangguan perkembangan di bawah kategori masalah pembelajaran dan sebahagian keadaan yang agak teruk akan didaftarkan sebagai murid keperluan khas dan ada Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang khusus untuk disleksia di sesetengah tempat.
Memetik penulisan MyHealth oleh Dr Aminah Kassim, beberapa contoh kesukaran yang dihadapi oleh kanak-kanak yang mempunyai disleksia:-
- Di alam persekolahan, kanak-kanak disleksia mungkin:
- Gagal menguasai tugasan sekolah seperti membaca, menulis, mengeja atau mengira
- Tidak suka membaca dan mengelak dari membaca di kelas
- Mempunyai kecenderungan untuk membaca huruf, perkataan dan nombor secara terbalik:
- 15 dengan 51.
- 'was' menjadi 'saw'.‘b‘ dengan ‘d‘.
- Kurang koordinasi seperti sukar mengikat tali kasut.
- Keliru dengan konsep masa seperti ‘semalam‘, ‘ hari ini‘, ‘esok‘.
- Kesukaran memahami, mengingati dan mengikuti arahan.
- Selalu tersalah letak atau hilang barang atau kerja sekolah.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang