Risiko hamil selepas umur 40 tahun, persiapan rapi boleh elak dari bahaya!

No Image Caption
A
A
A

MENJADI seorang ibu merupakan sebuah pengalaman yang tidak ternilai harganya.

Bagi kebanyakan wanita Malaysia, trend untuk menjadi ibu pada lewat usia pada pada umur yang lebih matang kini menjadi semakin normal.

Peralihan itu mencerminkan keutamaan masyarakat yang lebih fokus kepada pembangunan kerjaya, kestabilan kewangan, dan aspirasi peribadi, berbanding faktor kesihatan dan perkahwinan kedua.

Data terkini menunjukkan bahawa peratusan wanita Malaysia yang melahirkan anak selepas umur 35 tahun telah meningkat daripada 20.8 peratus pada 2017 kepada 23 peratus pada 2022.

Ini menjadikan Malaysia negara kedua tertinggi di Asia Tenggara dengan bayi yang dilahirkan oleh ibu dengan usia yang lanjut.

Menurut Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), anggaran kos untuk membesarkan anak di Malaysia sejak lahir sehingga universiti, boleh mencecah sehingga RM1.37 juta.

Realiti ini, ditambah pula dengan peningkatan kos penjagaan dan pendidikan kanak-kanak telah mendorong ramai wanita merancang untuk menjadi ibu di kemudian hari.

Ini bagi memastikan kehidupan dan persekitaran yang lebih stabil untuk keluarga mereka.

Walaupun semua kehamilan mempunyai risiko tertentu, wanita yang hamil selepas berumur 40 tahun mungkin menghadapi cabaran mereka tersendiri.

Pakar Perunding Perbidanan, Sakit Puan dan Perubatan Janin Ibu di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Gayathri Mariappa menjelaskan bahawa wanita berusia 40 tahun ke atas lebih berisiko untuk mendapat komplikasi perubatan dan obstetrik.

No Image Caption

Ini termasuklah penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, diabetes, obesiti, dan penyakit jantung yang boleh meningkatkan risiko untuk ibu dan bayi semasa kehamilan.

“Kehamilan lewat usia mempunyai kemungkinan untuk mengalami janin dengan keabnormalan kromosom yang boleh membawa kepada penyakit seperti sindrom Down.

“Kajian terbaru menunjukkan bahawa terdapat hubungan yang lebih kuat antara keabnormalan kromosom dan potensi kecacatan kongenital pada kanak-kanak yang dilahirkan oleh wanita lebih 40 tahun dengan risiko ini turut meningkat apabila usia ibu meningkat,” tambahnya.

Oleh sebab itu, mereka harus membuat persiapan rapi sebelum mengandung dan perubahan gaya hidup adalah penting bagi setiap bakal ibu.

Ini bagi memastikan mereka mendapatkan kehamilan yang sihat.

Antaranya mencapai indeks jisim badan (BMI) yang optimum, mengambil makanan seimbang yang ditambah dengan asid folik, bersenam dengan kerap dan menjauhi tabiat berbahaya.

Misalnya dari segi gaya hidup tidak sihat seperti merokok serta pengambilan alkohol.

Dalam apa itu, Dr Gayathri juga menekankan kepentingan menjalani pemeriksaan kehamilan awal dan berkala.

Begitu juga peranan suami untuk memastikan isteri mengalami kehamilan yang sihat.

“Wanita hamil perlu menjalani pemeriksaan semasa trimester pertama (semasa kehamilan berusia 10 hingga 12 minggu).

Ini bagi mengetahui risiko mereka untuk mendapat preeklampsia, masalah kekurangan serviks, diabetes semasa hamil (GDM) dan penyakit yang tidak didiagnosis,” tambah beliau.

No Image Caption

Ujian genetik

Sementara itu, Pakar Perunding Perbidanan, Sakit Puan dan Perubatan Kesuburan di SMCV, Dr Farah Leong Rahman pula berkata, selain daripada komplikasi berkaitan kehamilan, wanita berumur 40 tahun ke atas mungkin menghadapi kesukaran untuk hamil secara semula jadi.

“Wanita dilahirkan dengan bilangan telur yang tetap dalam ovari mereka dan kuantiti ini akan beransur-ansur kurang dari semasa ke semasa.

“Menjelang usia 40 tahun, kuantiti dan kualiti telur wanita akan menurun dengan ketara, menjadikan peluang untuk hamil semakin mencabar,” kata beliau.

Namun begitu, cabaran untuk mengandung dan kehamilan kini boleh dibantu dengan kemajuan dalam teknologi dan rawatan perubatan.

Bagi wanita yang mengalami kesukaran untuk hamil, pilihan seperti persenyawaan in-vitro (IVF) dapat membantu untuk menyelesaikan masalah mereka.

“IVF melibatkan proses untuk merangsang telur untuk membesar, mengeluarkan telur dari wanita, dan melakukan persenyawaan telur dan sperma dalam persekitaran yang sesuai.

Seterusnya, memindahkan embrio kembali ke dalam rahim. Keseluruhan proses ini mengambil masa dua minggu,” jelas Dr Farah.

Pilihan rawatan kesuburan lain termasuk ubat hormon untuk merangsang pertumbuhan telur atau inseminasi intrauterin (IUI).

Namun begitu, kaedah ini biasanya mempunyai peratusan kejayaan yang lebih rendah berbanding IVF.

Dr Farah menekankan bahawa masalah ketidaksuburan boleh berpunca daripada faktor lelaki dan wanita.

Ini menjadikannya penting bagi pasangan yang cuba mendapatkan bayi untuk turut menjalani ujian sperma.

Dalam kes yang mana kualiti sperma tidak optimum, IVF selalunya merupakan pendekatan yang paling berkesan untuk hamil.

Akhir sekali, ujian pranatal tidak invasif (NIPT) yang juga dikenali sebagai pemeriksaan kromosom tidak invasif (NICC).

No Image Caption

Ia adalah sejenis ujian yang disyorkan untuk ibu mengandung lakukan seawal 10 minggu kehamilan.

NIPT ialah ujian genetik berasaskan darah yang dilakukan untuk mengesan sebarang keabnormalan kromosom dengan menganalisa serpihan kecil DNA janin yang mengalir dalam darah ibu.

Dengan adanya kemajuan dalam rawatan perubatan, sistem sokongan yang betul dan penjagaan proaktif, wanita Malaysia kini mempunyai lebih banyak peluang untuk hamil berbanding sebelum ini.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang