Korek telinga, hidung ketika berpuasa, hati-hatilah kerana jika silap langkah boleh batal puasa
ADA masa tertentu, kita berasa gatal dalam telinga. Sudahlah sedang berpuasa, mahu mengoreknya terasa serba salah pula. Bukan apa, kita khuatir perbuatan tersebut boleh membatalkan puasa berkenaan.
Jika dibiarkan, ia boleh mendatangkan ketidakselesaan pada anggota berkenaan. Rasa tak kena pula sepanjang hari dan membuatkan mood kita untuk melakukan kerja-kerja lain sedikit terganggu.
Begitu juga dengan anggota badan yang lain seperti hidung. Apabila datang rasa gatal, memang serba tidak kena dibuatnya.
Andai kata, kita berada dalam situasi berkenaan, bolehkah kita mengorek telinga atau hidung? Apakah ia dikira membatalkan puasa?
Pendakwah Nurul Syafiqah Mohamed Hanafiah atau lebih dikenali sebagai Da’i Syafiqah menjelaskan, dalam kes korek telinga dan hidung, ia boleh diklasifikasikan kepada tiga keadaan.
Pertama sekali, katanya, sewaktu kita tiada hajat atau dengan kata lain, tidak gatal dalam hidung atau telinga, tetapi kita korek saja-saja. Maka, hukumnya adalah makruh.“Kedua, seandainya kita berhajat, contohnya ada sesuatu dalam hidung ataupun telinga atau rasa gatal. Barangkali jika kita tidak korek, ia akan mengganggu keselesaan diri. Justeru, dibolehkan dan diharuskan untuk kita mengoreknya.
“Satu lagi kategori, hukumnya boleh membatalkan puasa. Suka untuk saya ingatkan bahawa antara perkara yang boleh membatalkan puasa adalah memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan yang terbuka seperti mulut, hidung, telinga dan kemaluan.
Baca juga Jangan korek telinga, bahaya! 'Tahi' itu ada fungsinya
“Cuma kita kena tahu had untuk rongga tersebut. Jika kita melebihi had berkenaan, ia boleh membatalkan puasa. Contoh had telinga adalah batin telinga yang bahagian dalam, manakala untuk rongga hidung, hadnya adalah pada pangkal batang hidung ataupun bahagian hidung yang ada tulang,” jelasnya.
Justeru, jelas Da’i Syafiqah lagi, sekiranya kita masukkan sesuatu ain ataupun korek melebihi had sempadan ruang rongga tersebut, ia boleh membatalkan puasa.
“Andai kata kita korek hidung ataupun telinga ketika berhajat dan tidak melebihi sempadan had tersebut, ia tidaklah membatalkan puasa,” ujar beliau.
Foto: Freepik
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang