Lepas minum susu jadi kembung perut, loya. Mungkin petanda anda hidap intoleransi laktosa!

No Image Caption
A
A
A

INTOLERANSI laktosa bukan hanya masalah individu, tetapi turut mencerminkan trend kesihatan global yang semakin diberi perhatian.

Menurut laporan oleh National Institutes of Health (NIH), hampir 68 peratus populasi dunia mengalami tahap tertentu intoleransi laktosa dengan prevalens lebih tinggi dalam kalangan komuniti Asia dan Afrika.

Di Malaysia, kajian tempatan juga menunjukkan ramai individu, khususnya dewasa, menghadapi cabaran mencerna produk tenusu akibat penurunan penghasilan enzim laktase seiring usia.

Namun begitu, tidak semua orang menyedarinya.

Menurut Pengarah dan Doktor Perubatan di Femma Klinik, Alia Zafira Zaferi, laktosa adalah sejenis gula yang terdapat dalam susu dan produk tenusu. Menjadi rutin dalam sistem badan seseorang, laktosa diuraikan oleh enzim yang dikenali sebagai laktase.

Lain pula bagi mereka yang mengalami intoleransi laktosa, tubuh tidak menghasilkan enzim ini menyebabkan gula laktosa tidak dapat dicerna.

No Image Caption

Mengulas lebih mendalam tentang proses ini, kebiasaanya enzim lactase akan memecahkan laktosa menjadi dua gula ringkas, iaitu glukosa dan galaktosa yang kemudiannya diserap ke dalam aliran darah melalui dinding usus.

Jika badan kekurangan enzim lactase, laktosa dalam makanan akan bergerak ke usus besar tanpa diproses dan diserap.

Di usus besar, bakteria normal akan berinteraksi dengan laktosa yang tidak tercerna, itula penyebab seseorang itu mendapat tanda-tanda atau gejala intoleransi laktosa.

Antara tanda-tandanya adalah seperti berikut:-

  • kembung perut
  • cirit - birit
  • loya
  • muntah

Intoleransi laktosa ini terbahagi kepada dua jenis iaitu primary dan secondary. Primary disebabkan genetik, yang mana badan memang tiada enzim lactase sejak lahir.

Secondary pula boleh berlaku disebabkan faktor lain, contohnya jangkitan kuman atau penyakit seperti celiac.

“Kadangkala, pesakit yang dahulunya boleh minum susu tanpa ada masalah tiba-tiba tidak boleh berbuat demikian. Ini mungkin disebabkan jangkitan yang merosakkan keupayaan badan menghasilkan enzim lactase.

“Keadaan ini boleh berlaku disebabkan oleh individu tersebut pernah terkena jangkitan teruk di bahagian usus.

“Oleh sebab itu badannya sudah tidak mampu mengeluarkan enzim lactase,“ kata beliau.

Tambah Dr Alia lagi, jika salah seorang pasangan mengalami intoleransi laktosa, ada kemungkinan anak mereka turut mewarisi penyakit ini disebabkan oleh faktor genetik, namun peratusannya tidak boleh ditentukan kerana genetik melibatkan gabungan gen dominan dan resesif.

Pengambilan susu

Menurut beliau, faktor usia memainkan peranan dalam menyumbang kepada penyakit ini.

Seiring bertambahnya usia, pengeluaran enzim lactase oleh badan akan berkurangan. Ini lebih kerap berlaku dalam kalangan individu berusia 40 tahun ke atas.

Bagi ibu yang sedang hamil atau menyusu pula, pengambilan susu dalam jumlah yang sesuai amat penting untuk diri dan juga bayi.

Oleh itu, bagi ibu yang mengalami intoleransi laktosa, mereka disarankan menggantikan nutrisi dari susu dengan alternatif lain seperti vitamin dan kalsium.

Alternatif seperti susu soya, susu badam atau susu oat yang diperkaya dengan kalsium dan vitamin D boleh membantu memastikan ibu dan bayi mendapat nutrisi yang mencukupi.

Dalam pada itu, Dr Alia juga menasihatkan ibu untuk memaklumkan tentang intoleransi laktosa mereka kepada pakar kesihatan bagi mendapatkan preskripsi makanan tambahan yang sesuai.

“Kesihatan tulang bayi bermula sejak dalam kandungan dan ibu yang kurang kalsium berisiko menjejaskan perkembangan tulang bayi mereka.

“Justeru, pengambilan nutrien yang mencukupi perlu bermula seawal mungkin untuk mengelakkan komplikasi pada masa depan,“ jelas beliau.

Intoleransi laktosa boleh menyebabkan seseorang mengelak daripada mengambil produk tenusu atau minum susu, namun begitu terdapat kesan lain apabila seseorang itu berbuat demikian, terutamanya jika penggantian nutrien tidak dilakukan dengan betul.

No Image Caption

Nutrien penting

Susu adalah sumber utama bagi kalsium, vitamin D dan protein yang penting untuk kesihatan tubuh.

Berikut adalah kesan yang mungkin berlaku jika seseorang itu abaikan pengambilan susu:

1. Risiko kekurangan kalsium dan vitamin DKekurangan kalsium boleh menyebabkan masalah seperti osteoporosis, iaitu tulang menjadi lemah dan mudah patah.

Kekurangan vitamin D yang membantu penyerapan kalsium boleh menyebabkan riket (menjejaskan perkembangan tulang) pada kanak-kanak dan osteomalasia (pelembutan tulang) pada orang dewasa.

2. Impak kepada kesihatan tulang dan gigiKekurangan pengambilan susu boleh mengganggu pembentukan tulang dan gigi yang kuat, terutamanya bagi kanak-kanak yang sedang membesar.

3. Masalah pertumbuhan pada kanak-kanakTidak mendapat nutrien penting dari susu boleh menyumbang kepada masalah pertumbuhan seperti bantut.

4. Kesan kepada sistem imunVitamin D yang biasanya diperoleh daripada susu turut menyokong fungsi sistem imun. Kekurangannya boleh meningkatkan risiko jangkitan dan penyakit.

5. Alternatif yang tidak memadaiPenggantian dengan susu berasaskan tumbuhan yang tidak diperkaya mungkin tidak memberikan jumlah nutrien yang mencukupi, terutamanya kalsium dan vitamin D.

Oleh yang demikian, doktor biasanya akan mencadangkan penghidap intoleransi laktosa untuk mengambil makanan tambahan seperti tablet kalsium dan vitamin D.

Alternatif lain adalah termasuk susu bukan berasaskan tenusu seperti susu oat, susu soya atau susu badam yang diperkaya dengan kalsium dan vitamin D.

No Image Caption

Akhir kata dari Dr Alia, bagi mereka yang mengalami intoleransi laktosa, jangan takut untuk mengambil makanan tambahan atau alternatif susu tumbuhan.

“Walaupun rasanya mungkin sedikit berbeza, pilihan ini adalah alternatif yang baik jika anda masih ingin menikmati susu.

“Namun, jika anda tidak mahu minum susu, boleh mengambil makanan tambahan sebagai pengganti yang mana khasiatnya sama bagus seperti sumber asalnya,“ ujar Dr Alia lagi.

Intoleransi laktosa mungkin menimbulkan ketidakselesaan, tetapi dengan pengetahuan dan alternatif yang betul, ia boleh diuruskan dengan baik.

Pastikan pengambilan nutrien penting tidak terjejas untuk kesihatan yang seimbang sepanjang hayat.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang