TELINGA merupakan organ badan yang mampu mengesan bunyi dan juga berperanan dalam keseimbangan serta kedudukan tubuh.

Biarpun namanya ‘tahi’ yang lazimnya perlu dinyahkan, namun lain pula halnya dalam soal tahi telinga.

Ya, ia tidak perlu dikorek untuk dibuang. Itu jelas pengamal perubatan Otorinolaringologi Telinga, Hidung & Tekak, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr Ezairy M Sallih.

“Masih ramai kurang sedar mengenainya, anda hanya perlu bersihkan menggunakan lap yang bersih pada bahagian cuping telinga dan luaran sahaja,” tulisnya di Facebook Medical Mythbusters Malaysia.

Kongsinya, begitupun masih ramai yang keliru perlukah menggunakan alat untuk membersihkan telinga seperti cotton bud atau besi pengorek?

“Sekali lagi, jawapannya tidak perlu,” jelas Dr Ezairy.

Tabiat berkenaan hanya akan mendatangkan risiko kecederaan kepada salur telinga dan boleh menyebabkan risiko jangkitan pada telinga serta boleh mengakibatkan ear wax lebih masuk ke dalam.

Jadi apa yang perlu dibuat?

“Anda hanya perlu dapatkan pemeriksaan telinga bersama doktor.

“Doktor akan lakukan pemeriksaan dan beritahu bahawa telinga anda perlu dicuci di hospital atau klinik, atau boleh dirawat dengan ubat titis sahaja,” tulisnya lagi.

Ear wax, cerumen atau lilin telinga yang cuba dibuang itu ada fungsinya sendiri.

Apa fungsi cerumen ini?

1. Ia akan membentuk lapisan asid acidic coat yang mengandungi lysozyme. Ia penting untuk mencegah jangkitan kuman bakteria dan fungal.

Iklan

2. Ear wax atau lilin telinga mengandungi juga lapisan lipid ‘lipid-rich cerumen’. Ia bersifat hydrophobic dan mencegah pengumpulan air terlalu banyak daripada meresap ke salur telinga.

3. Cerumen juga berfungsi menghalang segala kotoran dan bendasing dari luar.

Di hospital, doktor akan menggunakan beberapa alatan dibantu mikroskop atau otoendoskop untuk melihat dengan jelas struktur di dalam telinga.

Risiko kecederaan adalah amat rendah dan lebih selamat. Jadi, masih ada jalan yang lebih kurang berisiko.

Iklan

Janganlah membahayakan diri sendiri.

Sumber: Facebook Medical Mythbusters Malaysia.