'Awak tak akan suka apabila jadi terkenal'. Itu kata arwah Azmil Mustapha kepada Alya Iman
MENJADI seorang Alya Iman, bukanlah semudah yang disangkakan. Perjalanan kariernya tidak ‘semanis‘ wajah yang beliau miliki.
Mula mewarnai kerjaya sebagai model pada usia mentah, 13 tahun, bohonglah andai kata tidak sedikit pun kolam hatinya berkocak dek hentaman dan cercaan orang sekeliling. Namun, itulah yang terpaksa dibayar sebaik memilih meletakkan diri dalam dunia serba glamor.
“Mungkin takdir sudah tertulis saya perlu bekerja pada umur yang masih muda. Bila tamat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), memang ada keinginan untuk menyambung pengajian. Namun, saya perlu fikirkan soal kewangan terutama bab membayar yuran dan lain-lain.
“Sementelah, saya ini sejenis yang tak boleh buat dua kerja dalam satu masa. Justeru, saya kena korbankan salah satu. Akhirnya, saya memilih untuk bekerja daripada teruskan belajar,“ ungkap Alya yang masih berhasrat untuk melangkah ke menara gading untuk mempelajari ilmu perfileman dan komunikasi massa.
Baca ni ‘Saya mahu jalan terus’. Digelar cepat koyak & sentap, Sissy Iman langsung tak kisah
Dedah anak kepada pelakon tersohor, Allahyarham Azmil Mustapha itu, pemergian babahnya memberi tamparan yang cukup hebat. Masakan tidak, ketika itu beliau bakal menduduki SPM.
“Tahun 2018 boleh dikatakan satu detik yang cukup memeritkan. Waktu itu saya akui sedikit hilang arah. Kebetulan pada masa sama, pengurusan Astro bertanyakan sama ada berminat tak untuk berlakon? Saya terima tawaran tersebut untuk saya melupakan seketika ‘kesakitan‘ kehilangan orang yang cukup disayangi,“ terangnya.
Untuk rekod, drama Senafas Rindu merupakan pertaruhan sulung Alya dalam bidang lakonan.
LANGGAR NASIHAT
Kepada SinarPlus, gadis berusia 22 tahun itu mengakui, status sebagai anak Azmil sedikit sebanyak membuatkan beliau tertekan.
Berkali-kali Alya diasak pertanyaan kononnya kehadiran beliau di pentas seni adalah untuk menyambung legasi ayah.
“Pandangan itu kurang tepat. Saya tiada cita-cita atau impian untuk bergelar pelakon, segalanya berlaku secara kebetulan,“ katanya.
Pun demikian, Alya tidak menolak tanggapan bahawa faktor arwah ayah yang membuatkan beliau menerima tawaran berlakon.
“Ya, awal-awal memang saya berat (terima tawaran). Namun, bila pertama kali berlakon, seronok pula. Mungkin naluri untuk menjadi anak seni itu sudah ada dalam diri membuatkan minat saya mula bercambah,“ tambah beliau lagi.
Pelakon drama bersiri Bukan Kahwin Paksa itu turut ditanya sama ada pernah berbincang bersama arwah babahnya sebelum itu tentang keinginan bergelar pelakon.
“Kalau diikutkan, arwah babah tidak sempat pun melihat saya beraksi sebagai pelakon. Justeru, sejak awal lagi kami tidak berkesempatan bercakap soal itu, apatah lagi tentang set penggambaran dan sebagainya.
“Cuma sebelum itu, arwah pernah berpesan kalau nak jadi pelakon sekali pun, perlu habiskan terlebih dahulu peperiksaan SPM. Namun, saya langgar nasihat tersebut,“ akuinya.
Masih ada lagi cerita yang masih tidak didedahkan kepada umum. Kepada penulis, Alya berkongsi perspektif arwah Azmil tentang dunia seni.
View this post on Instagram
“Kata babah, ‘awak tak akan suka apabila jadi terkenal‘. Itu juga salah satu sebab kenapa arwah ambil keputusan untuk berhenti berlakon. Beliau tidak suka orang ambil tahu tentang dirinya,“ kongsinya.
Bagaimanapun, kata gadis peramah itu, walau cuba dielak, rezeki beliau sememangnya sudah tertulis menjadi anak seni.
“Benar, bila sudah jadi pelakon, memang benar apa yang arwah cakap. Itulah yang saya lalui sekarang. Segala yang saya buat serba tak kena dan orang akan sentiasa bercakap,“ ujarnya.
PENAT BEKERJA
Bukan itu sahaja, gadis jelita itu turut dihambat dengan rasa tertekan lebih-lebih lagi mendapat gelaran artis kontroversi.
“Susah nak cakap, tapi saya akur dengan apa juga kata-kata yang dihamburkan kerana saya sedar saya berada dalam kelompok kerjaya yang penuh pancaroba. Saya tak mampu memuaskan hati semua orang. Inilah diri saya yang sebenar.
“Cuma satu hari nanti saya akan buktikan yang saya boleh dan mampu menjadi seorang pelakon terbaik. Mungkin bukan sekarang. Saya perlu kerja keras untuk mencapai impian tersebut,“ ungkap Alya yang menyukai dirinya sekarang berbanding sebelum bergelar pelakon.
Arena seni memang cukup subjektif, diulit dengan hal-hal pelik dan payah diramal. Meski memiliki wajah rupawan, lirikan senyuman bikin ramai cair hati, lemah lembut dan berbakat memainkan apa jua watak, ia bukan tiket seseorang bertahan lama.
Adakah Alya risau tentang perkara itu semua? Berikut jawapan yang terpacul daripada mulutnya:
“Perasaan risau itu sentiasa ada. Justeru, saya perlu melangkah satu tapak ke hadapan berbanding orang lain. Ya, ramai muka yang tengah meningkat naik, ada yang bermula bersama-sama dengan saya.
“Sebab itu saya sentiasa pastikan saya ada tawaran. Tidak semestinya nak pegang watak utama sahaja, watak tambahan pun saya okey. Ia juga dinamakan rezeki,“ tuturnya.
Seperti yang diperkatakan, menjadi anak wayang perlu merempuh segenap kesulitan. Orang kata, kalau tidak cukup kuat, cepat-cepatlah angkat bendera putih.
Kata Alya, beliau memahami hal itu. Namun, tuan punya badan pernah terasa hati, terkilan dan kecewa apabila tidak semena-mena dituduh sebagai kaki kikis, padahal itu semua tidak benar.
“Saya agak sedih dan kecewa dengan pandangan itu. Saya penat bekerja, namun masih ada yang melemparkan tuduhan sedemikian rupa. Jika ada orang lain yang buat begitu, saya tak campur tangan. Lagipun saya tiada hak untuk memberi komen. Lebih baik saya fokus pada diri saya sahaja.
“Berbalik kepada tuduhan kaki kikis, saya juga malas nak buktikan diri tidak bersalah kerana ia hanya membuang masa saja. Orang tetap akan bercakap dan mengata. Jadi, saya biarkan mereka, tanggunglah sendiri fitnah tersebut,“ kata Alya dengan nada pasrah.
TRANSFORMASI IMEJ
Untuk menjadi pelakon kelas A bukan seperti memetik jari. Selain perlu ada pakej rupa, usaha dan tekad, hubungan baik serta tawaran perlu berjalan seiring.
Namun, sesetengah artis memilih jalan singkat dengan melakukan sesuatu yang luar biasa semata-mata mahu tular dan diperkatakan di alam maya.
Apabila pandangan itu dizahirkan, ia seolah-olah terkena pada batang hidung Alya.
Namun demikian, gadis cantik itu dilihat cukup profesional. Dengan nada tenang, beliau berkata, setiap orang punya cara tersendiri untuk menaikkan nama.
“Publisiti buruk tetap publisiti. Memang saya tak nafikan, kebanyakan kontroversi yang yang melanda diri saya adalah yang negatif. Saya tidak berbangga dengan hal tersebut. Namun, sebagai manusia kita sentiasa buat dosa dan tidak dapat lari daripada membuat kesilapan.
“Pun begitu, suatu hari nanti kita akan berubah, mungkin bukan sekarang. Insya-ALLAH, ia tidak mustahil. Cuma yang tak seronoknya, satu dunia melihat kita. Soal orang lain yang menggunakan kontroversi untuk dikenali itu, saya tiada komen. Itu masalah mereka, cuma saya boleh katakan benda itu (kontroversi) akan menyeksa diri,“ ungkapnya penuh makna.
Cukup kuatkah Alya mendepani semua pandangan sinis orang terhadapnya memandangkan diri masih muda remaja dan barangkali belum cukup matang?
Daripada hati yang terdalam, anak kelahiran Selangor itu berkata, sanubarinya terluka, sukma beliau bagai ditusuk sembilu.
“Itulah yang saya rasakan. Pernah ada kawan-kawan tanyakan bagaimana saya boleh hadap dengan benda viral dan sogokan negatif khalayak? Persoalan tersebut terus membuka minda saya.
“Apa yang saya boleh katakan, saya ibaratkan kami semua (artis) adalah ‘gifted‘ untuk menjadi manusia yang kental. Lagipun ini jalan yang saya pilih. Itu yang membuatkan saya bertahan dan kena terima apa jua akibat yang menimpa,“ ungkapnya.
Alya juga tahu, orang masih memperkatakan tentang transisinya yang melepaskan hijab daripada kepala sebelum ini.
Pun demikian, atas dasar menghormati pendirian empunya diri, isu berkenaan kami tidak panjangkan.
Cuma, selebriti berketinggian 170 sentimeter itu terbuka memperihalkan tentang rutin kecantikan dirinya.
Beritahu Alya, beliau seorang yang ringkas dan tidak terlalu berkira.
“Saya bukanlah jenis yang rajin menjaga kecantikan diri, lebih-lebih lagi rutin penjagaan kulit wajah. Saya hanya cuci wajah seperti biasa. Untuk rambut, saya akan ke salon sebulan atau dua bulan sekali. Saya lebih suka habiskan duit pada pakaian dan makanan,“ katanya.
Pernah memiliki berat mencecah 65 kilogram, selebriti tersebut mula rasa tidak keruan.
“Saya tak tahan bila berat badan naik, jadi saya mula berdiet. Pertama, saya elak makan nasi dan selalu turun ke gimnasium. Alhamdulillah, saya berjaya turunkan 10kg,“ ujarnya menutup perbualan panjang kami.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang