Kak Ell ambil pusing 'teguran' anak demi jadi ibu terbaik. Usahawan terkenal ini juga berkongsi cerita jatuh bangun bisnesnya
Kak Ell ambil pusing 'teguran' anak demi jadi ibu terbaik. Usahawan terkenal ini juga berkongsi cerita jatuh bangun bisnesnya
BELIAU hanyalah anak seorang penoreh getah. Namun, kekuatan diri Sharmila Johan luar biasa.
Tekadnya untuk mentranformasikan status keluarga membuatkan Sharmila atau mesra disapa Kak Ell bukan hanya sekadar cakap kosong.
Kepada SinarPlus, Kak Ell terlebih dulu melafazkan rasa syukur dengan pemberian nama indah oleh ibu dan ayah tercinta.
Definisi Sharmila yang membawa maksud perlindungan dan melambangkan pesona serta karisma. Ell sendiri bermaksud wanita cantik.
“Saya anggap ia satu hadiah tidak terhingga daripada mereka kerana memilih nama yang baik dan indah untuk saya.
“Atas dasar itu, saya berbangga menggunakan nama Kak Ell untuk jenama kosmetik yang saya sedang usahakan ini,“ kongsi wanita berusia 42 tahun itu pada sesi fotografi di Studio A, Sinar Karangkraf, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Enggan mengambil masanya terlalu lama, penulis terus bertanya pelbagai soalan yang telah direncana.
Ujar Kak Ell dengan nada serius, beliau merentas samudera yang pukulan ombaknya boleh membuatkan manusia patah semangat sebelum menjadi seperti hari ini.
“Setelah lima kali mencuba dan mencuba, barulah jenama Kak Ell diterima. Nak kata ada orang bantu saya, memang tiada. Semuanya hasil usaha sendiri. Mungkin sesetengah usahawan terus berjaya dan itu dinamakan rezeki. Jalan saya sedikit berliku,“ katanya yang pernah tercuit rasa putus asa.
Pun demikian, atas izin-NYA dan keberkatan doa mak ayah dan orang sekeliling, jenama Kak Ell semakin mendapat tempat.
“Saya bersyukur kerana dapat buktikan kemampuan diri kepada orang tua saya, sekali gus membolehkan mereka turut sama menumpang rezeki,“ ujar graduan Diploma Sains Geomatik itu.
Kepada penulis, Kak Ell mengakui, darah bisnes yang mengalir dalam dirinya antara salah satu sebab beliau dapat berdiri di platform sekarang.
Masakan tidak, sejak kecil tuan punya badan tanpa bersungut membantu ayahnya di kedai runcit.
“Kami tinggal di kawasan Felda dan usahakan kedai runcit kecil-kecilan. Ayah selalu minta saya bantu kumpul duit RM1 sebanyak RM100. Bayangkan, dalam usia yang masih kecil, saya sudah terbiasa pegang duit.
“Masa itu, sudah terdetik dalam hati nak berniaga macam abah bila besar nanti. Tak sangka, akhirnya niat itu menjadi kenyataan,“ katanya.
Tidak salah rasanya jika empunya diri berbangga apabila penat lelah beliau berbayar.
Bukan sahaja jenamanya menjadi pilihan kaum Hawa, malah beberapa pengiktirafan yang diperoleh menunjukkan perniagaannya dipercayai dan berkualiti.
Selain meraih Anugerah Global Best Consumer Brands for Skincare, Kak Ell merupakan salah seorang pemenang dalam SME100 Awards 2021 dan Affin BMI Women Entrepreneur Awards 2021.
“Saya anggap itu semua rezeki walau masih baharu dalam arena bisnes,“ ujarnya dengan senyuman meleret.
Pengiktirafan yang dimiliki ternyata melimpahkan lebih banyak idea kepada wanita itu untuk memperluaskan jenamanya.
Terbaharu, Kak Ell mengeluarkan tudung instant polos dan bercorak dengan rona warna yang pelbagai.
DEMI KELUARGA
Sepanjang mewawancara personaliti itu, setiap tuturnya menyedarkan penulis bahawa perkara sederhana membawa makna yang bukan kecil.
Seperti kata beliau, apa yang dilakukan kini, bukan untuk diri sendiri sahaja, malah demi keluarga tersayang.
“Prinsip saya mudah, sebelum kita bantu orang lain, baik kita bantu keluarga sendiri terlebih dahulu, bahagiakan mereka yang telah membesar dan menempuh onak duri bersama kita,“ katanya.
Percakapan itu bukan satu hipotesis, sebaliknya adik beradik Kak Ell berkerja di bawah satu bumbung yang sama.
Pada masa sama, wanita itu juga membuat satu ‘pelaburan besar‘ terhadap anaknya yang berdepan dengan masalah kelewatan berkomunikasi.
“Apabila usianya sudah mencecah empat tahun dan pertuturannya masih belum mencapai tahapnya, saya ambil pendekatan dengan menghantarnya mengikuti program terapi sehinggalah dia berupaya bercakap.
“Anak adik saya juga mengalami masalah sama, jadi kami sama-sama memahaminya. Saya sedar bukan semua orang mampu bawa zuriat mereka ke kelas terapi kerana perlukan belanja tinggi. Namun, demi kemaslahatan dan masa depan generasi keluarga kami, saya tidak kisah keluarkan kos,“ katanya.
Ungkap Kak Ell, orang yang dalam kesusahan menjadi radar beliau seterusnya. Beliau percaya dengan konsep ‘dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain.‘
Bukan mahu menyombong diri, empunya diri dengan tulus memberi bantuan kepada golongan fakir dan menyalurkan sumbangan ke sekolah anak yatim.
Baca ni 'Mak ladang pahala & rezeki.'Buat kejutan, Nubhan renovate bilik ibu serupa hotel undang sebak!
CORAK PERIBADI ANAK
Pada pertemuan kami, sempat penulis mengocak kolam hati isteri kesayangan Danial Hakim Kadaras itu tentang tanggungjawabnya yang pelbagai.
Beliau bukan sahaja seorang ahli perniagaan, malah menggalas tanggungjawab sebagai anak, isteri dan ibu.
Jawapan Kak Ell memang ‘sempoi‘. Ujar beliau: “Saya gembira dan enjoy dalam melunaskan semua posisi tersebut.“
Pun demikian, kata personaliti yang merendah diri itu, jujurnya sebelum ini, beliau sukar nak mengurus keluarga dan bisnes seiring. Tatkala bersama suami, mereka berdua asyik bercerita tentang dunia perniagaan sahaja.
“Namun, segala-galanya berubah apabila anak sulung kami mula beri teguran. Selepas itu, kami tersedar dan kurangkan bercakap tentang bisnes lebih-lebih lagi apabila bersama mereka. Apa yang saya boleh katakan, dalam bab keluarga, suami saya memang banyak sangat membantu,“ katanya.
Melanjutkan cerita, Kak Ell berkata, beliau sedar tentang peri pentingnya ibu bapa dalam mencorakkan keperibadian dan tingkah laku zuriat masing-masing.
“Anak-anak ini sebenarnya bukan degil, tetapi bila terasa dengan kita, mereka mula tunjuk ciri-ciri protes. Panggil tak berapa nak jawab, tidak respons apabila kita hantar mesej dan sebagainya. Mereka berbuat demikian sebenarnya mahu menagih perhatian kita.
“Saya memang kuat kerja, namun pada hari Sabtu adalah masa dengan keluarga. Hari biasa, saya akan pulang sama masa dengan anak-anak yang bersekolah,“ katanya.
Pada masa sama, Kak Ell turut mempraktikkan kaedah bonding time pada waktu malam dengan duduk bersama tiga permata hatinya yang berusia 14, 13 dan 10 tahun.
“Kebiasaannya, saya suka panggil anak-anak lepak dalam bilik saya. Alhamdulillah, dengan cara ini, saya mula nampak perubahan anak sulung. Beliau tidak lagi degil, buat hal dan sentiasa mendengar kata,“ katanya.
KENA IKHLAS
Menambahkan rencah dalam penceritaan kami pada petang itu, penulis bertanyakan perspektifnya tentang perangai sesetengah pengusaha atau selebriti yang melakukan sesuatu hanya demi konten di media sosial.
Antaranya sanggup turun padang kononnya untuk membantu masyarakat, padahal niat itu telah menyimpang.
Namun, kebanyakan mereka tidak peduli kerana ‘strategi‘ itu dianggap munasabah untuk mereka kekal relevan dan dikenali ramai.
“Sebenarnya, memang ada yang akan salah anggap bila kita nak bantu orang lain. Ramai fikir kita nak kejar konten, tapi saya jauhkan 'benda-benda' macam itu.
“Namun, saya tak nafikan hal tersebut dan memang ada sesetengah orang berbuat demikian kerana itu kerja mereka.
"Begitupun, saya rasa lebih baik amalkan konsep tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima. Kena ikhlas daripada hati dan renungkan kembali kita bersedekah atas sebab apa?,“ katanya memberi reaksi balas.
Sebelum meninggalkan studio, penulis mendapatkan tip daripada Kak Ell khas untuk khalayak di luar sana yang mahu bergelar usahawan berjaya sepertinya.
Pesanan pertama beliau, dalam tempoh dua atau tiga tahun awal berniaga, kena kekalkan modal sedia ada.
“Jangan terus berbelanja untuk kereta, rumah atau barangan mewah lain. Itu yang saya lakukan. Tipu kalau cakap tiada keinginan untuk melaram dan memiliki barangan mewah seperti orang lain. Cuma saya akan beli sesuatu sebab saya ingin milikinya dan bukan mahu berlawan dengan orang lain.
“Apabila kita kaya, memang nak beli itu dan ini. Bila dah dapat, perasaannya akan biasa sahaja. Lagipun, usia saya kini sudah 42 tahun, saya akan buat apa yang saya suka saja. Saya tak ikut trend,“ ujarnya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang