Beza kontak rapat dengan kontak kasual, bukan semua daripada mereka perlu lakukan swab test
BARU-BARU ini barisan petugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam, Selangor disahkan positif Covid-19 selepas saringan beramai-ramai dijalankan pada 10 Julai lalu.
Perkara tersebut disahkan sendiri oleh Menteri Penyelaras Program Imuninasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin pada Selasa lalu.
Berita itu pastinya mengejutkan banyak pihak lebih-lebih lagi kepada mereka yang berkunjung ke sana.
Sudah pasti perasaan risau menyelubungi diri dan mesti tertanya-tanya adakah perlu membuat ujian calitan (swab test)?
Mengulas mengenai pertanyaan itu, SinarPlus berkongsi pandangan seorang doktor perubatan, Dr Arisman Wenge Abdul Rahman.
Tulisnya di Facebook, pertama sekali peserta PPV di IDCC perlu tahu status diri sama ada berada dalam kategori kontak rapat atau kontak kasual.
Artikel berkaitan: Perhatian! Peserta vaksinasi PPV IDCC, diminta kawalan kendiri, pantau gejala 10 hari
"Kedua pula, adakah diri mempunyai gejala atau sebaliknya?" katanya.
Jadi, apa kaedah terbaik untuk tahu status masing-masing?
Jelas Dr Arisman Wenge, kontak rapat merupakan individu yang berhubung secara langsung dengan kes positif Covid-19, sama ada bersemuka lebih 15 minit pada jarak kurang 1 meter tanpa memakai pelitup muka dan bersentuhan.
"Contohnya seperti ahli keluarga atau individu yang tinggal serumah, rakan sekerja yang bekerja dalam ruang yang sama, rakan sekelas dan individu yang berada dalam kenderaan yang sama dalam lingkungan jarak dua tempat duduk," katanya.
Terang pegawai perubatan itu lagi, jika di PPV, mereka tidak pasti sama ada petugas atau orang berdekatan adalah pembawa Covid-19 atau tidak, namun masing-masing memakai pelitup muka, tidak bersembang dengan jarak dekat dan tiada bersentuhan, maka mereka tidak termasuk dalam kategori kontak rapat.
"Oleh kerana anda pernah ke premis atau misalnya ke PPV IDCC yang telah dilaporkan ada kes positif Covid-19, maka semua individu termasuk petugas-petugas kesihatan dimasukkan dalam kelompok suspected case (individu yang mempunyai risiko dijangkiti Covid-19 misalnya dalam mass gathering atau pergi keluar negara dalam tempoh 14 hari) ataupun kelompok kontak kasual," beritahu beliau.
Apa pula kontak kasual?
Ia merujuk kepada individu yang berada dekat dan berkemungkinan terdedah kepada kes positif Covid-19 di tempat tertentu pada waktu yang sama dengan kes positif Covid-19 berdasarkan Mysejahtera Check-in, jelasnya.
"Bagi mereka yang selalu periksa Mysejahtera setiap hari, ada individu tertentu tiba-tiba terkejut kerana dirinya termasuk dalam kategori kontak kasual dan perlu melakukan penilaian kesihatan kendiri selama 10 hingga 14 hari," katanya.
Pun begitu, beliau mengingatkan, status kontak kasual adalah berisiko rendah.
Dalam pada itu, Dr Arisman turut memaklumkan, lazimnya individu akan mengalami gejala pada hari kelima selepas dijangkiti Covid-19 (secara puratanya).
"Jadi, jika kontak kasual tidak bergejala, mereka tidak perlu atau tidak wajib kuarantin. Selain itu, mereka juga tidak perlu buat ujian calitan Covid-19.
"Namun, jika kontak kasual dengan gejala, mereka perlu dan wajib lakukan ujian calitan sama ada jenis RTK Ag ataupun PCR test dengan segera serta lakukan kuarantin kendiri dahulu sehinggalah keputusan keluar," maklum beliau.
Artikel berkaitan: Swab test Covid-19 positif namun belum ada respon KKM, ini yang perlu anda buat
Seandainya keputusan ujian calitan positif, maka rawatan seterusnya adalah seperti pesakit-pesakit Covid-19 lainnya.
"Jika keputusan ujian swab adalah negatif pula, maka status kontak kasual masih kekal tetapi tidak perlu kuarantin.
"Kementerian Kesihatan Malaysia sarankan untuk teruskan buat penilaian kesihatan kendiri di rumah selama 14 hari.
"Dapatkan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah atau memo social distancing dari klinik kesihatan supaya boleh bekerja dari rumah sahaja dan tetap hadkan pergerakan keluar dan mengundang tetamu ke rumah," katanya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang