Farah Ann julang nama negara
HAKIKATNYA bukan mudah untuk mencuri masa Ratu Gimnastik Negara, Farah Ann Abdul Hadi. Jadual harian atlet berusia 26 tahun itu sentiasa padat dengan sesi latihan berterusan.
Namun begitu, selepas beberapa kali bertukar tarikh, akhirnya kami berjaya memilih hari yang ideal. Seperti dijanjikan, atlet gimnastik artistik tersebut tiba di sebuah kafe hipster di Bukit Jalil, Kuala Lumpur tepat jam 10.30 pagi.
Sebaik sahaja menguak daun pintu, beliau yang hadir dalam persalinan blaus potongan moden dan rona terang merah jambu terus melabuhkan punggung di sebuah kerusi lalu menadahkan wajah mulusnya untuk dirias rapi jurusolek, Vee Muhamad.
Tutur beliau yang mesra dengan disapa Farah Ann, berdandan dan bersolek mampan dilakukan ketika beraksi di gelanggang pertandingan atau pada sesi fotografi sahaja.
Berikutan enam hari seminggu beliau sibuk dengan sesi latihan di gimnasium bersama jurulatih, sementelah jika keluar bersantai pada hujung minggu, atlet selebriti itu hanya mengenakan solekan nipis.
“Itu sudah memadai. Lazimnya, saya mekap atas tuntutan kerja sahaja kerana dalam pertandingan, penampilan turut memainkan peranan. Masih segar dalam kotak memori tatkala menyertai pertandingan peringkat negeri Selangor ketika berusia enam tahun.
“Bayangkan, pada waktu itu saya lebih teruja berdandan dan menyarungkan kostum cantik warna merah berbanding keghairahan bertanding,” titip anak kelahiran Subang Jaya, Selangor ini sambil tertawa besar.
Hiperaktif
Menyorot penglibatan Farah Ann dalam arena sukan gimnastik, anak kedua daripada tiga beradik itu meleret senyum.
Beritahunya, semuanya berpunca daripada sikapnya yang hiperaktif dan tantrum tidak mengira masa seawal usia tiga tahun.
Pada masa sama, beliau juga terlalu lincah memanjat monkey bar acap kali ibunya, Kimberly Ann Gag dan bapa, Abdul Hadi Ahmad membawa wanita itu dan kakaknya, Katrina Ann ke taman permainan.
“Bertitik tolak daripada situ, ibu dan ayah menghantar saya dan kakak ke kelas gimnastik. Niat asal mereka, mungkin apabila pulang sahaja ke rumah, saya akan tidur dek keletihan maka tantrum pun dapat dikurangkan.
“Namun begitu, apa yang jadi sebaliknya apabila daripada suka-suka, saya tak sangka akan jatuh cinta dalam sukan gimnastik. Bagi saya, sukan ini bukan sahaja memberikan kepuasan luar biasa, bahkan mengajar erti disiplin yang tinggi,” ujar Farah Ann yang berdarah campuran Melayu sebelah bapa dan Kanada (sebelah ibu).
Bicara lulusan Universiti Monash, Subang Jaya, Selangor itu lagi, kesungguhannya memartabatkan sukan gimnastik di seantero dunia semakin membara selepas mewakili Selangor untuk Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia ketika berusia tujuh tahun.
Permulaan itu sungguh baik untuknya apabila Farah Ann melakar kejayaan demi kejayaan dan berjaya mengharumkan nama Malaysia pada beberapa temasya sukan beprestij.
Antaranya, meraih dua pingat emas pada Sukan SEA 2015 di Singapura dan satu pingat emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur tahun 2017.
Rekod Farah Ann paling cemerlang apabila dirinya merangkul tiga emas dalam acara individu keseluruhan, palang bertingkat dan senaman lantai pada Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina. Kompleks Sukan Rizal Memorial menjadi saksi manis kehebatannya apabila berjaya mengumpul mata sebanyak 48.050 sekali gus menewaskan pencabar terdekat, Rifda Irfanaluthi dari Indonesia (47.800 mata).
Kaku seketika
Luah Farah Ann, setiap pencapaian yang dikecapi beliau adalah berkat kerjasama berpasukan dan sokongan serta tunjuk ajar jurulatih, Nataliya Sinkova dan rakannya, Shu Wai.
Namun begitu, di sebalik keterujaan memburu pingat di pelbagai gelanggang kejohanan Farah Ann memberitahu Sinar Plus, beliau rupa-rupanya menyimpan 1,001 kebimbangan.
“Meskipun giat berlatih, tetapi saya sentiasa berwaspada supaya rutin dilakukan tidak mendatangkan kecederaan yang boleh menyebabkan sesi latihan terjejas.
“Saya pernah cedera sepanjang melibatkan diri dalam sukan gimnastik ini. Bukan sahaja ligamen terkoyak pada bahu dan lutut, malah ligamen pergelangan kaki kiri juga putus,” katanya yang mengamalkan minum air putih tiga liter sehari dan tidur mencukupi demi kecantikan kulit wajah dan kekal bertenaga.
Farah Ann yang sangat mesra dan peramah orangnya turut berkongsi sejak dua tahun kebelakangan ini, beliau sering mengalami masalah kaku (blank) seketika.
“Dalam tempoh beberapa minit, saya seakan-akan ‘terlupa’ gerakan yang perlu dilakukan. Ya, ini terjadi,” akui beliau yang anggun menggayakan dua persalinan karya pereka fesyen tersohor, Rico Rinaldi pada sesi pertemuan kami.
Bagaimanapun, beliau menarik nafas lega kerana setakat ini, situasi berkenaan berlaku ketika menjalani sesi latihan sahaja.
“Disebabkan itu, ketika pertandingan berlangsung, jurulatih dan rakan sepasukan setia menanti di tepi gelanggang demi memberikan sokongan agar saya tidak terlupa.
“Selain mereka, saya berterima kasih kepada pihak Institut Sukan Negara yang peka akan keadaan tersebut hingga sanggup menyediakan khidmat pakar psikologi untuk membantu meredakan minda kami (atlet),” jelas Farah Ann.
Dalam pada itu, misi Farah Ann selepas ini cukup besar dan bukan calang-calang.
Masakan tidak, beliau menjadi atlet gimnastik artistik Malaysia pertama layak ke Sukan Olimpik 2020 selepas 20 tahun. Beliau berjaya menduduki tempat ke-16 daripada 20 gimnas pada sesi kelayakan acara all-around individu menerusi Kejohanan Dunia di Stuttgart, Jerman.
“Sejujurnya saya menunggu detik manis ini hampir dua dekad. Sejak usia lapan tahun sudah memasang impian untuk bertanding pada Sukan Olimpik,” ujarnya yang sebelum ini ralat kerana tidak berjaya ke Sukan Olimpik Rio, Brazil.
Berdasarkan rekod, Farah Ann merupakan gimnas ketiga Malaysia yang layak ke Olimpik selepas Au Li Yen pada tahun 2000 di Sydney, Australia dan Ng Shu Wai di Athens, Itali (2014). Ketika artikel ini ditulis, Sukan Olimpik Tokyo 2020 dijadualkan berlangsung bermula 24 Julai hingga 9 Ogos depan.
Bagaimanapun, setakat ini belum dapat dipastikan sama ada temasya itu akan diteruskan ataupun tidak disebabkan kebimbangan penularan jangkitan Covid-19 yang semakin serius.
Ia berikutan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menyatakan tiada sebarang keputusan drastik berhubung penganjuran Sukan Olimpik Tokyo 2020.
IOC tetap komited memastikan temasya tersebut berlangsung mengikut jadual ditetapkan meskipun ‘dunia’ sedang sakit dek wabak Covid-19.
Profil
Nama penuh: Farah Ann Abdul Hadi
Umur: 26 tahun
Asal: Subang Jaya, Selangor
Adik-beradik: Anak kedua daripada tiga beradik
Pendidikan:
- Sekolah Rendah Kebangsaan Seafield, Subang Jaya
- Sekolah Menengah Sukan Bukit Jalil
- Ijazah Sarjana Muda Sastera Global, Universiti Monash
Hobi: Menonton wayang, melancong dan selam skuba bersama ahli keluarga
Instagram : @farahann94
Jumlah pengikut: 328,000
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang