Jadi ratu bila bersama lelaki tepat, wanita kongsi pengalaman pahit kahwin muda 14 tahun, beri anak susu pekat manis

A
A
A

WANITA itu cantik di tangan lelaki yang tepat. Demikian kata-kata warga maya melihat perubahan wanita ini yang tular. Perkongsian Norsuziana Mohd Nasir, 21, menerima lebih 1.8 juta tontonan dan hampir 100,000 tanda suka.

Pengalaman wanita berasal Temerloh, Pahang itu berkahwin pada usia 14 tahun menjadi perhatian ramai. Di kala remaja seusianya di bangku persekolahan dan mengejar cita-cita, dia sudahpun bergelar ibu.

Baca juga: Kahwin dalam usia muda bukan perkara mudah – Erynne Erynna

“Kawan-kawan semua tengah belajar di sekolah tetapi saya dah kahwin dan ada anak,” kongsinya pada video.

Berasal dari keluarga yang sederhana, perkahwinan adalah jalan keluar bagi meringankan beban tanggungan. Kata Suzi, ibu bapanya tidak bersetuju pada awal. Namun mereka bagaimanapun tmemberi lampu hijau untu mendirikan rumah tangga dengan pemuda berusia 19 tahun.

Norsuziana yang mesra disapa Suzi tidak menjangka mahligai dibina atas dasar cinta pada usia 14 tahun berakhir dengan kehancuran apabila lelaki yang dikahwini pada tahun 2016 panas baran. Dakwanya lelaki itu mula menunjukkan belang selepas kelahiran anak pertama mereka.

“Baru habis pantang, dia sudah buat perangai menipu. Katanya bekerja tapi rupanya sudah seminggu tidak kerja.

“Sebabkan tinggal di rumah mentua dia selalu buat perangai malas kerja. Dia pun ajak saya ke Kuala Lumpur menumpang tinggal dengan emak ayah kawannya konon nak bekerja di sana. Dengan duit tiada kami ke sana,saya naik bas dengan anak, dia naik motor dengan kawannya.

“Tak sampai seminggu kami balik semula ke rumah mentua. Gaji dia seminggu di sana pun orang tak bayar.

“Sudahlah malas bekerja, suka naik tangan kat anak dan isteri. Saya mampu sabar je sebab beri peluang fikir anak kecil lagi,” titip Suzi.

Tanpa nafkah, Suzi membesarkan anaknya dalam serba kekurangan. Pada satu masa, dia terpaksa memberikan anaknya, Muhammad Harraz susu pekat manis berharga RM2.50 manakala dia sendiri memakan nasi goreng kosong demi mengalas perut.

Lama berendam air mata, dia diuji lagi. Kali ini lelaki itu bermain kayu tiga dengan kawannya sendiri.

Enggan menyerah selepas bertahun melalui perkahwinan yang tidak bahagia, wanita ini bangkit. Dengan kudrat yang ada, Suzi mula mengorak langkah mencuba nasib dalam bisnes inai.

“2018 dapat job henna. Tak promote pun. Kawan suruh buat henna dan dia bayar. Lama-kelamaan sudah pro dan lukisan inai makin kemas.

"Ramai mula mencari untuk dapatkan khidmat lukisan inai,” kongsinya yang mengakui kekuatan ketika itu adalah anaknya.

Tidak mampu lagi bertahan dan tawar hati, anak ketiga dari lima adik-beradik itu akhirnya bercerai pada tahun 2020.

Masakan tidak, dakwa Suzi bekas suaminya panas baran mudah naik tangan kepadanya dan anak.

Selepas bercerai, Suzi berdikari mencari rezeki buat diri dan anak. Ternyata langit tak selalu cerah namun mendung bukan selama-lamanya.

Selepas setahun menjadi ibu tunggal, dia bertemu jodoh dengan lelaki yang budiman. Hanya usai perkahwinan Suzi dengan suaminya kini, Muhammad Firdaus, 24, baharulah dia mengecap bahagia.

Baca juga: Ibu tunggal 10A SPM bangkit sambung belajar, tak sangka dapat biasiswa

“Syukur seorang yang penyayang, jujur menjaga saya dengan baik dan berani berjumpa mak ayah. Dia bersungguh nak jadi ayah dan suami baik,” katanya.

Rumah tangga kedua Suzi dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Farhan Amsyar, 2.

Tidak hanya bersyukur menerima kehadiran lelaki itu dalam hidup, Suzi akhirnya mula memahami erti bahagia apabila keluarga mentua menerima empunya diri seadanya.

“Keluarga mentua Alhamdulilah melayani dengan baik, mereka terima dengan tangan yang terbuka walaupun saya ibu tunggal.

“Malah famili mertua menganggap anak saya dari perkahwinan pertama macam cucu sendiri,” kongsinya.

Bagi Suzi, pengalaman empat tahun dalam perkahwinan pertama mengajarnya erti kehidupan. Kepada SinarPlus, Suzi berpesan kepada remaja yang ingin bernikah agar berfikir panjang dan mendahulukan pelajaran.

“Saya rasa seelok-eloknya habiskan pelajaran. Sekolah dan belajar dulu sampai habis.

“Balas jasa emak ayah dulu kemudian baru fikir pasal jodoh. Kahwin awal tidak salah kalau pasangan kita itu tahu cara menghargai dan menjalankan tanggungjawab.

“Selalu sabar dengan ujian yang datang. Bila ada masalah berbincang dengan baik,” tuturnya yang bersetuju kepentingan ekonomi kukuh dalam perkahwinan.

Warga maya yang menyaksikan perkongsian Suzi tersentuh dan bersyukur akhirnya dia bertemu jodoh dengan lelaki yang baik.

-“Comelnya, dah berisi. Maknanya awak dah betul bahagia. Alhamdulillah.”

-“Sebenarnya kita wanita ingin dilindungi, bukan disakiti.”

-“Wanita akan cantik di tangan lelaki yang tepat.”

-“Respek dengan sis, bertahan walaupun ujian yang berat.”

Menerusi semakan SinarPlus, had umur bagi wanita Islam yang mahu berkahwin di Malaysia ialah 16 tahun biarpun telah beberapa kali digesa agar dinaikkan kepada 18 tahun.

Gesaan tersebut adalah bagi melindungi golongan kanak-kanak perempuan yang terdedah kepada bahaya.

Baca juga: Dilema wanita kahwini lelaki jauh lebih muda

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca