Kerap menangis hingga katarak, hanya satu keluarga mohon maaf, luahan ibu bapa Zulfarhan sentuh hati ramai
KEPUTUSAN mahkamah kepada pesalah membunuh dan subahat membunuh semalam memuktamadkan penantian empat tahun ibu bapa Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain.
Enam tertuduh berkenaan bersama-sama 12 lagi bekas penuntut UPNM turut didapati bersalah menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan untuk mendapatkan pengakuan bahawa mangsa mencuri komputer riba.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun ke atas enam bekas penuntut UPNM yang didapati bersalah menyebabkan kecederaan tanpa niat membunuh anaknya itu.
Susulan keputusan itu, ibu bapa Zulfarhan akur seadanya. Biarpun ramai yang mempersoalkan, bapa Zulfarhan, Zulkarnain Idros, 57, berkata dia memaafkan kesalahan yang dilakukan oleh semua tertuduh terhadap anak sulungnya walaupun hanya satu keluarga sahaja yang tampil memohon maaf.
Manakala ibunya, Hawa Osman, 58, menahan sebak susulan menerima keputusan mahkamah.
Allahyarham Zulfarhan adalah harapan keluarga. Katanya, sekiranya arwah masih hidup dia berkata, dialah yang akan membantu keluarga untuk membiayai adik-adik yang lain menyambung pelajaran di universiti.
Wanita itu mengakui pemergian Zulfarhan memberikan kesan besar kepada hidup mereka sekeluarga dari segi kesihatan, ekonomi dan psikologi.
Malah pada tahun 2018, Hawa pernah mengalami katarak yang serius kerana kerap menangis serta mengalami tekanan darah tinggi kerana tidak dapat tidur.
Trauma yang dilalui bukan sedikit. Bahkan Hawa mengakui sukar melepaskan anak-anak yang lain (adik-adik Zulfarhan) untuk berdikari walaupun untuk menyambung pelajaran ke insittusi pengajian tinggi.
Dia juga berasa takut membenarkan anak-anak memasuki badan beruniform.
Kasih sayang yang mendalam kepada anak, Zulkarnain dan Hawa yang dilihat memakai baju T tertulis #justice4Farhan #sayNotoBULLY dan #humanity.
"Saya pesan kepada masyarakat di luar sana, jangan jadi pembuli.
"Contohnya seperti saya, kalau buli membahayakan masyarakat menghilangkan nyawa, kesannya kepada kedua ibu bapa... saya kehilangan anak sulung yang menjadi harapan keluarga," luah Zulkarnain.
Rata-rata warga maya memberikan pelbagai reaksi serta turut menitipkan doa agar keluarga Allahyarham diberikan ketabahan.
- “Bukan senang menerima kehilangan keluarga tersayang apatah lagi anak yang menjadi harapan keluarga..semoga syurga buat arwah dan urusan keluarga sentiasa dipermudahkan.”
- “Reda seorang ayah, semoga pakcik sekeluarga tabah,diberi kesihatan dan rezeki yang baik.”
- “Sabar dan reda. Di dunia mereka menang tetapi di akhirat nanti jawablah dengan YANG MAHA BERKUASA.”
- “Simpati kepada ibubapa mangsa. Seberat mana hukuman diberi kepada perlaku tidak dapat mengubat hati yang sedih. Simpati juga kepada ibu bapa pelaku mengharapkan anak menjadi insan berguna apabila tamat menuntut di universiti. Memaafkan itu mudah, melupakan itu sukar.”
Pemergian tragis Allahyarham menjadi perhatian ramai susulan penderaan kejam yang dilakukan oleh pelaku hingga tidak dapat diterima akal.
Pelbagai bahagian tubuh Allahyarham didapati mengalami kesan lecur teruk, malah dikatakan ditekap lebih 90 kali menggunakan seterik! Tidak dapat dibayangkan keadaannya menahan kesakitan hingga menghembuskan nafas terakhir pada 1 Jun 2017.
Jom follow Sinarplus di Instagram!
Sumber: Sinar Harian
Foto: Bernama
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang