Pengasuh Adam Rayqal dihukum penjara enam tahun, berikut kronologi kes

A
A
A

KES kematian tragis Allahyarham Adam Rayqal Mohd Sufi Naeif menggemparkan negara pada tahun 2018.

Cara pemergian bayi kecil itu benar-benar meruntun perasaan rakyat Malaysia.

Rata-rata menyifatkan ia terlalu kejam dan menyayat hati apabila mayat bayi berusia lima bulan itu disembunyikan di dalam peti sejuk oleh pengasuh.

 

Pengasuh berkenaan, Noor Aqilah Abd Rahman, 36, melakukan semua kesalahan itu di rumah sewanya di Jalan Nakhoda Kiri 3, Batu Caves  di antara 6.20 petang dan 6.50 petang pada 3 Julai 2018.

Mahkamah Rayuan pada Jumaat mengekalkan hukuman penjara enam tahun terhadap bekas pengasuh Adam Rayqal.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Hanipah Farikullah, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Seri Mariana Yahya membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Fauziah Daud memaklumkan pendakwaan menarik balik rayuan terhadap hukuman penjara yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam ke atas Nor Aqilah.

Terlalu menyedihkan, tiada siapa mampu menahan daripada menitiskan air mata membayangkan penderitaan ditanggung bayi itu hingga ke akhir nyawa.

KRONOLOGI KES ADAM RAYQAL

3 Julai 2018

12.00 tengah hari

Adam Rayqal telah dihantar ke rumah pengasuh oleh ibunya, Farrah Madihah Othman.

6.55 petang

Ibu Adam Rayqal telah menerima panggilan telefon daripada Nor Aqilah tetapi panggilan itu tidak dijawab kerana dia sedang bekerja.

7.15 malam

Farrah mendapat mesej Whatsapp daripada Nur Aqilah mengatakan Adam Rayqal telah diambil oleh seorang lelaki yang disangkanya bapa kepada bayi berkenaan.

Dia bertindak menghubungi suaminya, Mohd Sufi Naeif Mohd Fauzi bertanya sama ada sudah menjemput anak mereka. Bagaimanapun perkara itu dinafikan Mohd Sufi.

7.40 malam

Farrah dan suaminya membuat laporan polis menyatakan Adam Rayqal telah diambil oleh seorang lelaki berkemeja putih.

Pihak polis yang membuat penyiasatan menahan Nor Aqilah dan rakan serumahnya.

10.58 malam

Nor Aqilah mengatakan kepada pihak polis dia boleh menunjukkan lokasi mayat Adam Rayqal.

11.30 malam

Mayatnya ditemui sepasukan anggota bahagian siasatan jenayah yang membuat pemeriksaan di rumah berkenaan dalam keadaan lengkap dengan pakaian dan berbalut kain lampin serta disumbat dalam beg berwarna hijau.

Nor Aqilah masuk ke dalam rumah dan menunjukkan ke arah peti sejuk dua pintu. Apabila bahagian sejuk beku dibuka, kelihatan beg berwarna hijau.

Pihak polis mendapati mayat bayi di dalam beg berkenaan dan ia adalah jasad Adam Rayqal berpakaian dan berbalut kain lampin.

4 Julai 2018

2.35 pagi

Mayat Adam Rayqal dibawa ke Hospital Kuala Lumpur bagi tujuan bedah siasat. Pihak hospital mengesahkan kematian Adam Rayqal adalah akibat pendarahan dalam otak dan keretakan pada tempurung kepala sebelah kiri.

Difahamkan, sebelum ditahan, pengasuh itu sempat menguar-uarkan mencari anak asuhan lain di sebuah grup Whatsapp Pengasuh Gombak.

Jenazah Adam Rayqal dikebumikan di tamah perkuburan Ladang, Tok Pelam, Kuala Terengganu.

Peguam Mohd Redzuan Mohamed Yusoff, yang mewakili Noor Aqilah, turut memaklumkan panel itu, anak guamnya berhasrat menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Rayuan kemudian membatalkan rayuan kedua-dua pihak. Noor Aqilah diperintah menjalani hukuman penjara itu mulai 14 Februari 2019.

Pada tarikh sama, Mahkamah Sesyen Selayang menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun enam bulan dan denda RM5,000 terhadap Noor Aqilah yang mengaku mendedahkan mangsa dengan cara yang mungkin menyebabkan bayi malang itu mengalami kecederaan di bahagian kepala.

Wanita itu turut diperintah menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda, selain dikenakan bon berkelakuan baik selama tiga tahun dengan cagaran RM8,000 dan menjalani khidmat masyarakat selama 200 jam dalam tempoh enam bulan.

Mahkamah itu juga menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan dan denda RM5,000 ke atas Noor Aqilah yang mengaku bersalah melupuskan mayat Adam Rayqal dengan niat untuk menyembunyikan kematian supaya dia terlepas daripada hukuman.

Bagaimanapun, mahkamah itu memerintahkan Noor Aqilah menjalani hukuman penjara secara serentak, iaitu enam tahun sahaja.

Peguam Nor Aqilah menyatakan anak guamnya sudah membayar denda RM10,000 dan menjalani khidmat masyarakat selama 200 jam.

Semoga kes ini menjadi iktibar dan pengajaran buat kita semua. Al-Fatihah buat Allahyarham Adam Rayqal.

Baca juga: Pemergian tragis Zulfarhan terbela, 18 penuntut UPNM bersalah subahat cedera, bunuh, berikut kronologi kes

Baca juga: Kerap menangis hingga katarak, hanya satu keluarga mohon maaf, luahan ibu bapa Zulfarhan sentuh hati ramai

Baca juga: 90 tekapan seterika, rusuk patah, rajah laporan bedah siasat Zulfarhan runtun hati rakyat Malaysia

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Sumber: Bernama, Sinar Harian

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca