Siap surat beranak terus menabung, umur 10 tahun dapat panggilan, ibu kongsi cerita 3 anak tunai haji usia muda

A
A
A

Siap surat beranak terus menabung, umur 10 tahun dapat panggilan, ibu kongsi cerita 3 anak tunai haji usia muda

MENUNAIKAN fardu haji pada usia yang mudah memang impian ramai.

Seperti kisah tiga beradik ini, Muhammad Syaiful Izhan Shahruddin, 26, Farha Anisa Shahruddin, 25, dan Haiqal Aqashah Shahruddin, 20, yang berjaya mengerjakan rukun Islam kelima itu pada usia muda seawal 16 tahun!

Sesetengah berkata mengerjakan haji pada usia muda adalah bagi golongan kayangan sahaja. Namun hakikatnya tidak semua mempunyai wang yang banyak dan ia tidak berlaku sekelip mata.

Misi untuk melihat anak berpeluang menunaikan ibadah haji muda pada usia muda telah disusun ibu, Noor Azihan Sulaiman yang merupakan seorang guru Penolong Kanan Kokurikukum, Sekolah Kebangsaan Sumpitan, Lenggong, Perak sejak awal.

“Ramai yang tanya saya rahsia anak-anak dapat menunaikan haji pada usia yang muda. Jawapannya adalah tiada rahsia sebenarnya,” coretnya yang membuka akaun sejak berusia 15 tahun.

Baca juga: Lisdawati berangkat tunai Haji

Noor Azihan bersama dua anaknya, Farha Anisa, 25, dan Haiqal Aqashah, 20, yang terpilih mengerjakan haji pada tahun ini.

BUKA AKAUN UNTUK ANAK MURID

Tidak hanya menabung untuk diri sendiri, guru ini juga turut memupuk kesedaran dalam kalangan muridnya.

Noor Azihan mengambil inisiatif membantu mewujudkan tabung simpanan untuk muridnya agar mereka berupaya mengerjakan haji pada usia muda.

“Kalau mereka (murid-murid) masih ingat, setiap hari mereka akan menabung duit lebihan belanja sekolah mereka, sekupang atau dua kupang.

“Apabila duit mereka cukup RM5 atau lebih, saya akan bawa ke kaunter Tabung Haji.

“Sehingga mereka di Tahun Enam, saya masih meneruskan usaha tabungan tersebut. Buku akaun Tabung Haji mereka saya pulangkan apabila mereka tamat persekolahan.

“Kalaulah ibu bapa mereka prihatin pada masa itu dan membuat pendaftaran haji anak-anak mereka, tentu sekarang mereka semua sudah bergelar haji dan hajah terlebih dahulu daripada anak-anak saya,” kata Noor Azihan.

Baca juga: Zul Ariffin berhijrah ke Makkah

RM100 SEBULAN SEJAK USIA ANAK DUA MINGGU

Selepas berumah tangga dan dikurniakan cahaya mata sendiri, Noor Azihan memulakan tabungan untuk mengerjakan haji lebih awal.

Tidak sekadar membuka akaun, beliau turut meletakkan target jumlah simpanan yang akan dikumpul.

“Saya membuka akaun Tabung Haji anak-anak seawal usia mereka dua minggu.

“Sebaik sahaja memperoleh surat beranak saya terus mendaftarkan haji mereka.

“Target saya, sebulan RM100, setahun RM1,200, manakala sepuluh tahun RM12,000 simpanan bersih tidak termasuk bonus.

“Bermakna pada usia 10 tahun, mereka sudah cukup wang untuk mengerjakan haji,” jelas ibu kepada empat cahaya mata itu tentang visinya.

Tidak hanya tekun dan istiqamah menabung, Noor Azihan juga membuka peluang untuk anaknya berjinak-jinak dengan kursus haji yang secara tidak langsung mencambahkan minat.

Baca juga: 'Siapa nak buat baju tak seksi, boleh roger aku tau'- Azam Rico Rinaldi selepas balik dari haji

“Umur abang (anak sulung) genap 10 tahun beliau selalu ikut Opahnya kursus haji kerana pada tahun tersebut Opah mendapat tawaran mengerjakan haji. Dia beritau kawan-kawannya yang dia nak pergi haji.

“Suatu hari saya terserempak dengan cikgunya. Cikgunya maklumkan yang Syaiful beritahu semua orang yang dia nak pergi haji.

“Cikgunya kata, dia ingat senang-senang kot nak gi haji. Kalau tak ada duit, mana boleh pergi haji. Setakat pergi kursus je la."

“Saya senyum sahaja, tak menjawab apa-apa pun. Tidaklah saya beritahu simpanan Syaiful sudah cukup,” titip Noor Azihan di Facebook.

Akhirnya giliran anak sulungnya itu menjadi kenyataan enam tahun kemudian.

Pada usia Syaiful mencecah 16 tahun, Noor Azihan dan suami membawanya mengerjakan haji bersama.

Baca juga: Penjaga kubur menabung berpuluh tahun untuk tunai haji dengan isteri

MENUNAIKAN HAJI DENGAN ADIK

Anak kedua dan ketiga Noor Azihan, Farha Anisa, 25, dan Haiqal Aqashah, 20, juga mendapat panggilan pada tahun yang sama iaitu ketika berusia 15 dan 10 tahun.

Bagimanapun oleh kerana wujud pelbagai kekangan, ia telah ditangguhkan sehingga tahun ini.

“10 tahun lalu saya dan adik juga ditawarkan menunaikan haji. Tetapi ketika itu saya perlu menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) manakala adik baru Darjah 4.

“Jadi arwah ayah dan ibu hanya bawa abang sahaja,” kata Farha Anisa ketika dihubungi SinarPlus.

Berlepas ke Tanah Suci untuk menjadi tetamu ALLAH pada 28 Mei lalu, dua bersaudara itu dijadualkan pulang ke tanah air pada 13 Julai 2023.

Farha yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam, Universiti Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar dan Diploma Pascasiswazah Pendidikan, Open University ini teruja menjadi duyufurrahman pada usia yang muda.

“Kami berdua berasa sangat teruja dan bersyukur kerana terpilih untuk menunaikan di usia yang masih muda.

“Semoga saya dan adik mendapat haji yang mabrur, amal ibadat yang diterima, dipermudahkan urusan haji dan diberi kesihatan yang baik.

“Kami juga berharap berpeluang menolong jemaah lain yang memerlukan di sini,” ujarnya.

Menurut Farha, adiknya Haiqal Aqashah yang merupakan pelajar tahun pertama Bachelor of Manufacturing Engineering, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia menangguhkan pengajian selama satu semester sejurus mendapat tawaran haji.

Seronok mendengar kisah keluarga ini bergelar haji dan hajah di usia muda.

Moga kisah ini menjadi inspirasi kepada kita semua terutama ibu bapa agar mengambil inisiatif merencana perancangan lebih awal untuk anak-anak.

Baca juga: Tak boleh pergi haji, tapi ada 10 amalan yang ganjarannya seperti pahala haji

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca