Asma: Wanita lebih berisiko maut berbanding lelaki. Kaum Hawa juga sukar nak kawal penyakit disebabkan hal ini...
ASMA atau lelah tidak boleh dipandang remeh. Keseriusan penyakit itu dapat dibuktikan dengan statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Berdasarkan data pada tahun 2019, sebanyak 262 juta manusia di seluruh dunia menderita krisis kesihatan itu dengan 455,000 pesakit maut.
Di Amerika Syarikat pula, Centers for Disease Control and Prevention merekodkan sebanyak 25.3 juta orang menghidap lelah. Golongan dewasa mencatatkan bilangan paling tinggi iaitu 21 juta orang dan bakinya ialah kanak-kanak.
Perangkaan berkenaan sekali gus menunjukkan bukan sahaja mereka yang berumur, malah masalah itu boleh menimpa budak kecil.
Di Malaysia, Pakar Perubatan Dalaman Hospital Az-Zahrah, Dr Nabilah Othman memberitahu, terdapat sekitar 2 juta penghidap dengan 90 peratus merupakan penghidap asma yang tidak terkawal.
Maksud konteks tak terkawal adalah merujuk golongan yang memerlukan bantuan alat sedut (inhaler) bagi melegakan serangan asma. Kalau ikutkan statistik, lebih kurang 200,000 orang sahaja yang tidak memerlukan alat sedut, walaupun mereka dikategorikan sebagai pesakit, terangnya.
Jalur keturunan
Kita sering dengar rakan atau sanak-saudara menderita lelah, namun adakah kita tahu bagaimana penyakit itu mempunyai kebarangkalian menimpa diri sendiri atau ahli keluarga?
Soalan berkenaan diajukan kepada Dr Nabilah. Jelasnya, asma terjadi apabila seseorang mempunyai tindak balas yang hiper responsif terhadap benda baharu yang dihidu.
Baca juga: Radang paru-paru akan lebih teruk jika pesakit dijangkiti Covid-19. Rawatan juga makin sukar
Apabila bau bertindak balas dengan salur pernafasan, ia mengakibatkan keradangan, lalu mukus (cecair berlendir) menjadi banyak dan dinding pernafasan juga mulai tebal dan sempit. Keadaan itu yang menyebabkan seseorang susah untuk bernafas atau semput, katanya.
Dalam pada itu, Dr Nabilah turut menyenaraikan beberapa gejala penyakit lelah yang wajib dinotifikasi. Antaranya:
- Batuk berpanjangan.
- Sukar bernafas.
- Pada waktu malam, salur pernafasan berbunyi kerana cuaca sejuk.
- Pesakit berasa sesak pada dada.
Bagaimanapun, laman perubatan, WebMD menjelaskan, kesemua itu hanyalah simptom umum yang biasa dihidapi oleh pesakit. Tidak semua orang mengalami keadaan yang sama.
Baca juga: Bukan hanya wanita saja mandul, lelaki pun sama. Kondisi azoospermia yang membimbangkan
Gejala yang dialami juga mungkin berbeza-beza dengan serangan asma yang sebelumnya, ia boleh menjadi lebih teruk atau semakin ringan.
Dalam situasi lain, sesetengah pesakit mengalami tanda-tanda lelah setiap hari dan ada juga ketika mereka sedang bersenam atau sewaktu terkena jangkitan virus seperti selesema, ujar WebMD.
Sebagai seorang yang mempunyai jalur keturunan yang mempunyai penyakit itu, penulis meminta pencerahan sekali lagi, sama ada genetik memberi pengaruh yang cukup kuat untuk mendapat asma?
Benar, seseorang yang memiliki sejarah keluarga menghidapnya, potensi untuk mendapat asma juga tinggi, ujarnya.
Dr Nabilah menambah, faktor usia dan jantina juga mempengaruhi. Pada kelazimannya, penyakit berkenaan banyak berlaku ke atas kanak-kanak seawal usia lima tahun.
Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Asthma Lung, United Kingdom, Dr Sarah Woolnough, golongan wanita mempunyai risiko dua kali ganda untuk meninggal dunia akibat serangan asma berbanding lelaki.
Ujar Woolnough kepada The Sun, rata-rata kaum Adam yang menderita lelah ketika kecil boleh mengatasi keadaan itu apabila meningkat dewasa.
Hormon seksual lelaki iaitu testosterone membantu menguatkan saluran pernafasan yang sempit apabila serangan asma berlaku. Namun, hormon estrogen dan progesterone wanita pula menjadikan simptom asma semakin memburuk, katanya.
Ungkap Woolnough lagi, wanita dewasa adalah 2.5 kali lebih berkemungkinan dimasukkan ke hospital. Keberangkalian sukar mengawal situasi penyakit mereka juga tinggi.
SinarPlus turut menghadam artikel khas daripada Healthline mengenai punca-punca lain yang memicu asma. Berikut inti patinya:
- Alergi: Jika seseorang mempunyai alahan terhadap habuk, bulu haiwan peliharaan, bahan kimia atau debunga, ia boleh menyebabkan asma.
- Merokok: Aktiviti merokok boleh menyebabkan kerengsaan pada paru-paru.
- Pencemaran udara: Bagi individu yang tinggal di kawasan bandar, kecenderungan untuk menghidap asma lebih tinggi kerana terdedah dengan pencemaran udara.
- Pekerjaan: Mereka yang terdedah kepada bahan kimia, gas atau alergen (bahan protein atau bukan protein yang menyebabkan alahan) boleh meningkatkan risiko mendapat lelah.
Meneruskan perbincangan, Dr Nabilah menegaskan, jika masalah kesihatan itu diabaikan, ia membuka peluang besar kepada gangguan kesihatan yang ketara.
Asma yang tidak terkawal menyebabkan salur pernafasan menjadi sempit. Apabila masalah berkenaan tidak dirawat, ia mengakibatkan pesakit sering dimasukkan ke hospital untuk mengambil nebulizer (ubat dalam bentuk gas dan perlu disedut) dan antibiotik.
Lebih merisaukan, apabila serangan (asma) acapkali berlaku, pesakit akan terdedah dengan jangkitan paru-paru.
"Jika situasi itu sering melanda, ia akan mengakibatkan parut pada peparu pula dan akhirnya boleh mewujudkan satu lagi penyakit iaitu paru-paru kronik, beritahunya.
Seandainya keadaan sudah semakin parah, kematian tidak dapat dielakkan lagi. Ia biasanya terjadi apabila organ-organ dan tisu di dalam badan tidak lagi mendapatkan oksigen yang mencukupi untuk berfungsi dengan baik.
Bahana obesiti
SinarPlus kemudian menemubual Pegawai Perubatan Mediklinik Sejahtera, Ipoh, Perak, Dr Amrit Kaur Ragbir Singh.
Kata Dr Amrit, obesiti atau kegemukan mempunyai korelasi yang sangat rapat dengan asma.
Apabila seseorang obes, ia akan menyebabkan asmanya menjadi lebih teruk. Jika ditanya mengapa, jawapannya adalah tiada kajian secara terperinci mengenai hubung kait antara kedua-dua faktor itu, namun terdapat dua teori berkaitan, katanya.
Pertama, ia mungkin disebabkan lebihan lemak pada dada yang mengakibatkan salur pernafasan sempit.
Kedua, tisu lemak menghasilkan bahan-bahan yang mengakibatkan keradangan dan mengurangkan kapasiti paru-paru untuk berfungsi secara normal.
Bukan itu sahaja, penyakit asma dalam kalangan golongan yang berisi juga sulit untuk dirawat.
Hal itu disebabkan kebanyakan mereka mempunyai masalah kesihatan lain sama ada kencing manis, darah tinggi atau penyakit buah pinggang.
"Kesemua penyakit berkenaan memerlukan rawatan. Jadi, perawatan sedia ada menyukarkan ubat-ubatan asma untuk berkesan, katanya memberi pencerahan lanjut.
Secara asasnya, terdapat dua jenis ubat sedut yang diberikan kepada pesakit asma, kata Dr Amrit. Berikut huraiannya:
- Ubat sedut jenis melegakan: Fungsi ubat ini adalah untuk membantu mengembangkan salur pernafasan yang sempit dan membantu melegakan simptom asma. Ia hanya digunakan bila perlu sahaja.
- Ubat sedut jenis mencegah: Fungsi ubatan ini adalah untuk mengurangkan keradangan. Ia perlu diambil sebanyak dua kali sehari dan pengambilannya perlu berterusan setiap hari sama ada pesakit mengalami gejala atau tidak.
Dr Amrit menambah, ubat jenis tablet dan suntikan juga digunakan, namun ia bergantung kepada keadaan pesakit dan biasanya diberikan oleh pihak hospital sahaja.
Sama seperti beberapa penyakit lain, beliau memberitahu, asma tidak boleh disembuhkan, tetapi ia boleh dikawal daripada menjadi lebih serius.
Jika seseorang mengikut nasihat doktor dan ambil berat terhadap faktor yang menyebabkan asma berlaku, pesakit mungkin boleh mengawal masalah semput dengan lebih baik.
"Bila kawalan asma semakin bagus, mereka tidak lagi memerlukan ubat sedut jenis mencegah, ujarnya.
Menutup kalam bicara, Dr Amrit berkata, walau gejala yang dialami bertambah baik, pesakit sama sekali tidak dibenarkan meninggalkan ubat sedut jenis melegakan kerana serangan boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.
"Justeru, saya nasihat semua penghidap agar sentiasa berwaspada." ujarnya.-SYAMIRA LIANA NOR ASHAHA
#kesresponden
Tersalah diagnosis antara punca Hud lambat dikesan menderita penyakit lelah
SUDAH berkali-kali pergi ke klinik untuk mendapatkan rawatan, seorang bapa, Nor Kamar Zaman Abdul Samat, 48, terkilan dengan diagnosis yang tidak tepat yang dilakukan terhadap anaknya, Xavier Hfiy Hud.
Cerita Nor Kamar, pada usia dua tahun, si kecil itu yang dipanggil Hud sering bernafas dengan laju, cepat penat dan adakalanya, suhu badan akan panas.
Pada peringkat awal, pemeriksaan mendapati, Hud menghidap bronkitis (radang pada salur pernafasan).
Semua jenis ubat yang dibekalkan oleh doktor tidak pernah saya langkau. Namun, keadaan Hud tetap tidak pulih dan kerap berulang sehingga ada ketikanya dia dimasukkan ke wad.
Masalah itu berlarutan sehingga anak saya berusia lima tahun. Hud sudah mula menunjukkan tanda-tanda berbeza. Antaranya dia bersin lebih daripada 15 kali pada waktu pagi, katanya ketika dihubungi.
Melihat kondisi tersebut sehingga memicu kepada hidung berair, Nor Kamar sekali lagi membawa Hud ke klinik. Kali ini, doktor mengesahkan remaja itu menghidap resdung pula.
Doktor kata punca Hud kerap bersin kerana alah kepada karpet, pendingin hawa dan habuk.
"Malangnya, bekalan ubat-ubatan yang diberikan juga tidak menunjukkan sebarang perubahan positif, malah menjadi teruk apabila Hud diserang sawan, imbaunya.
Sebelum itu, kata Nor Kamar, beliau tidak menafikan rawatan daripada doktor klinik mahupun hospital swasta memang membantu permata hatinya pulih seketika.
Pun demikian masalah sesak nafas, cepat penat dan bernafas laju tetap terjadi. Kadangkala ia akan menjadi lebih teruk dan menakutkan mereka seisi keluarga.
Namun, segalanya berubah apabila Hud dikejarkan ke Hospital Besar Pulau Pinang ekoran tahap pernafasan beliau yang sangat teruk.
Baca juga: Pesakit asma: Jangan berani untuk cuba berpuasa kalau tak mampu. Elak juga makan ‘makanan sejuk’
Baca juga: Jika terkena sesak nafas ringan, ini 7 cara redakan asma secara semula jadi
Setelah menjalani pemeriksaan selama tiga hari berturut-turut, beritahu Nor Kamar, Hud dikesan menderita asma, bukannya resdung mahupun bronkitis seperti diuar-uarkan oleh doktor terdahulu.
Alhamdulillah, setelah sekian lama, barulah doktor di hospital kerajaan dapat kesan penyakitnya yang sebenar. Dengan pemberian rawatan yang tepat (alat sedut), kini Hud tidak lagi mengalami masalah pernafasan.
Kini anak sulung saya boleh melakukan aktiviti harian seperti rakan sebayanya. Cuma sebelum memulakan aktiviti lasak, saya akan pastikan beliau sentiasa dibekalkan dengan alat sedut berwarna biru untuk mengelakkan serangan asma berlaku, tuturnya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang