SAYA rasa seperti lemas, tercungap-cungap ketika nak bernafas dan ketika itu, saya fikirkan mungkin akan mati.”

Demikian cerita seorang lelaki dari California, Amerika Syarikat ketika mula diserang pneumonia atau istilah mudahnya, radang paru-paru beberapa tahun lalu. Berawal, Jon Jon selesema teruk diikuti dengan demam panas dan penglihatan menjadi kabur. Klimaksnya, beliau bergelut untuk bernafas, katanya kepada Doctors Without Border.

Kemudian, pihak hospital mengambil keputusan untuk menidurkannya dengan bantuan alat pernafasan.

“Selepas bangkit daripada koma lebih kurang dua minggu, saya dimaklumkan paru-paru saya dijangkiti kuman. Walaupun dibenarkan pulang ke rumah, saya susah untuk bercakap.

“Saya cuba menuturkan ayat, namun percakapan saya seolah-olah seperti saya telah berjoging beribu-ribu meter,” imbau lelaki tersebut yang telah pulih selepas berbulan-bulan lamanya dengan mengikuti perawatan tertentu.

DEMAM
SUMBER Polina Tankilevitch daripada PEXELS.

Kisah pesakit seperti Jon itu dialami kira-kira 1.5 juta orang dewasa di Amerika Syarikat dengan sejuta pesakit dimasukkan ke hospital, sementara 50,000 orang lagi meninggal dunia, lapor Very Well Mind.

Pneumonia juga direkodkan sebagai punca kematian paling biasa bagi kanak-kanak di bawah umur lima tahun di peringkat global.

Menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) pula, penyakit itu telah meragut lebih 700,000 budak kecil setiap tahun. Ia termasuk lebih 200,000 bayi baru lahir.

 

Menurut Unicef, secara perangkaannya, lebih 1,400 kes pneumonia bagi setiap 100,000 kanak-kanak di dunia atau satu kes bagi setiap 71 kanak-kanak setiap tahun.

Statistik tertinggi berlaku di Asia Selatan (melibatkan 2,500 kes bagi setiap 100,000 kanak-kanak).

Baca juga: Sesak nafas pada waktu panas, hidung keluarkan cecair kehijauan ketika cuaca sejuk. Ini penjelasan pakar

DR NABEELA

Untuk memperhalusi lebih lanjut tentang pneumonia, kami menemui Perunding Kesihatan Kecemasan, Colombia Asia Hospital Bukit Rimau, Selangor, Dr Nabeela Azmi.

Ujar Dr Nabeela, pneumonia merupakan jangkitan yang akan menyebabkan kerengsaan atau radang pada alveoli (sel-sel kecil di dalam organ paru-paru). Selain bakteria dan virus, ia (jangkitan) berpunca daripada kulat yang boleh merebak melalui udara ataupun sentuhan.

Kumpulan paling berisiko

Dalam pada itu, American Lung Association berkata, punca pneumonia adalah langkah penting dalam mendapatkan rawatan yang tepat.

SUMBER Polina Tankilevitch daripada PEXELS.

Seperti yang dinyatakan oleh Dr Nabeela, sumber itu telah menghuraikannya dengan lebih terperinci dalam satu penulisan khas:
i) Bakteria
Disebabkan oleh bakteria Streptococcus pneumoniae (pneumococcus) yang biasanya hidup di saluran pernafasan.

Ia boleh berlaku dengan sendiri atau berkembang selepas seseorang dijangkiti selesema.

Mereka yang sedang pulih daripada pembedahan dan sistem imun rendah antara yang berisiko terkena.

Selain itu, terdapat jenis bakteria dikenali atypical yang terdiri daripada Mycoplasma pneumoniae (lazimnya menjangkiti golongan di bawah umur 40 tahun terutama yang bekerja dalam suasana sesak) dan Chlamydophila pneumoniae (menyebabkan jangkitan pada saluran pernafasan atas sepanjang tahun).

Satu lagi ialah Legionella pneumophila yang berbahaya akibat daripada air yang tercemar.

Baca juga: Tibi punca utama pendarahan paru-paru dalam kalangan pesakit di Malaysia. Ada faktor lain yang perlu diwaspadai

SUMBER Towfiqu barbhuiya daripada PEXELS.

ii) Virus

Virus paling biasa ialah influenza untuk orang dewasa. Sementara bagi anak kecil ialah respiratory syncytial (RSV).

Influenza boleh membuatkan seseorang maut lebih-lebih kalau menimpa pesakit jantung, paru-paru dan wanita hamil.

iii) Kulat
Terjadi kepada kelompok yang memiliki sistem imun yang lemah dan terdedah kepada najis burung atau tanah tercemar.

Pneumocystis pneumonia ialah jangkitan kulat serius yang disebabkan oleh Pneumocystis jirovecii.

Dalam pada itu, menurut Mayo Clinic, kategori paling berisiko boleh terkena penyakit itu terdiri daripada:

i) Perokok aktif.

ii) Memiliki riwayat strok, lelah, kegagalan jantung, diabetes, penghidap HIV, cystic fibrosis, pesakit paru-paru dan penyakit kronik lain.

iii) Bayi berusia kosong hingga dua tahun termasuk warga emas (65 tahun ke atas).

iv) Penggunaan ubat tertentu yang menyebabkan masalah pada sistem imun seperti steroid, antibiotik dalam jangka panjang.

v)Pesakit yang sedang menjalani kemoterapi. Ketika ini sistem kekebalan tubuh semakin menurun sehingga virus atau bakteria mudah menyerang.

Laman web perubatan itu turut menyenaraikan gejala asas pneumonia.

Antaranya seperti demam (suhu mencapai lebih daripada 38 darjah Celcius), dada terasa nyeri, sukar bernafas.

Ada ketikanya, selera makan akan turun dengan drastik, berpeluh-peluh, menggigil dan detak jantung terasa cepat.

Mengulas lanjut mengenainya, Dr Nabeela berkata, jangkitan juga boleh menyebabkan penghidap sakit perut, muntah dan cirit-birit.

“Untuk sesetengah keadaan, kadar oksigen pesakit akan merosot dan mungkin ada yang menjadi keliru dan seolah-olah berada di bawah sedar,” katanya.

DR NURUL YAQEEN

Covid-19 SinarPlus turut menemui Pakar Perunding Perubatan, Paru-paru dan Permasalahan Tidur, Pusat Perubatan Sunway Velocity, Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa.

Dengannya, kami bertanyakan lebih lanjut tentang perkaitan penularan virus yang menular hampir 687 juta penduduk global dengan pneumonia.

Adakah partikel halus itu lebih berbahaya berbanding virus lain?

Berdasarkan pengalamannya, Dr Nurul Yaqeen berkata, keradangan yang disebabkan oleh Covid-19 adalah lebih rumit kerana ia boleh memberi kesan kepada organ-organ dalaman yang lain, selain kesannya yang dahsyat terhadap paru-paru.

“Mereka boleh mendapat serangan strok dan serangan jantung sebagai salah satu simptom pasca Covid-19 setelah sembuh daripada jangkitan berkenaan.

“Cabaran untuk merawat mereka juga lebih besar berbanding pneumonia biasa kerana komplikasinya melibatkan organ-organ yang berlainan, selain daripada paru-paru itu sendiri,” jelasnya.

SUMBER Anna Shvets daripada PEXELS.

Sebelum itu, ujar beliau, kajian menunjukkan 70 hingga 80 peratus pesakit akan mendapat jangkitan pneumonia Covid-19 tahap satu dan dua, kategori tiga dan empat (10 peratus) dan kategori lima (2 hingga 5 peratus) yang mana 70 hingga 80 peratus pesakit Covid-19 kategori 5 biasanya menemui ajal.

Iklan

Dari segi rawatan, kata pakar itu, ubat yang sesuai akan diberikan berdasarkan penyebab jangkitan.

“Ubat dan antibiotik akan diberikan kepada pesakit di ICU (Unit Rawatan Rapi), namun mungkin akan diberikan penambahan ubat antiradang juga.

“Dalam keadaan tertentu, pesakit akan diberi bantuan oksigen, rawatan hidrasi, ubat yang melindungi perut daripada ulser serta ubat pencair darah,” katanya.

Kepada satu soalan, Dr Nurul Yaqeen berkata, kadar kesembuhan jangkitan bergantung tahap jangkitan yang dialami pesakit.

“Sekiranya seseorang mengalami sistem imun badan kuat, jangkitan mungkin akan pulih sendiri.

Namun, untuk jangkitan serius yang menunjukkan simptom yang dialami semakin memburuk, mereka dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan,” katanya.

Dalam pada itu, Health Direct Australia berkata, ubat batuk tidak disyorkan untuk penghidap radang paru-paru.

Beritahu sumber tersebut, batuk antara lain boleh membantu pesakit memindahkan palam lendir dari tiub, sekali gus membantu membersihkan jangkitan.

“Satu peringatan penting, penghidap pneumonia harus berhenti merokok dan menjauhkan diri daripada perkara yang akan merengsakan paru-paru mereka seperti asap. Minum banyak cecair dan banyakkan rehat,” kata mereka.

Adakah pneumonia boleh dicegah? Health Direct Australia berkata, vaksinasi boleh membantu menangani beberapa jenis radang paru-paru.

Salah satu satu vaksin yang mengurangkan risiko radang paru-paru ialah vaksin pneumococus. Selain itu, orang ramai amat digalakkan untuk mendapatkan vaksin influenza.

“Apa pun berbincangkan dengan doktor terlebih dulu,” kata rujukan itu.

Baca juga: Betulkah mandi malam punca paru-paru berair, mitos atau fakta? Ini penjelasan sebenar

Baca juga: Pesakit asma: Jangan berani untuk cuba berpuasa kalau tak mampu. Elak juga makan ‘makanan sejuk’

Iklan
SUMBER Anna Shvets daripada PEXELS.

Dijangkiti varian Delta tahap tiga, Norfadzilah diserang pneumonia Covid-19

NORFADZILAH Abdul Rahim antara ratusan ribu mangsa yang merentas mimpi ngeri apabila dijangkiti virus Covid-19 varian Delta tiga tahun lalu.

Lebih malang lagi, ketika itu beliau masih belum mendapat suntikan vaksin lantaran program vaksinasi baru sahaja mahu dimulakan di Malaysia.

“Saya tak pasti di manakah saya peroleh virus itu. Mungkin saya menjadi kontak rapat kepada seorang pesakit kanser. Bukan saya seorang, malah suami saya turut terkena.

“Pada awalnya, kami diarahkan agar kuarantin di rumah, namun terpaksa dibawa ke sebuah hospital kerana paras oksigen menurun kepada 86 peratus.

Selain itu, saya juga demam dengan suhu badan hampir mencecah 40 darjah Celsius, rasa keliru dan seolah-olah seperti terawang-awang,” ujarnya yang berasa penat walaupun hanya berjalan pada jarak dekat.

SUMBER Anna Shvets daripada PEXELS.

Kisah Norfadzilah tidak terhenti setakat di situ sahaja. Beliau menerima kejutan apabila jangkitan SARS‑CoV‑2 yang berlaku ke atasnya dikategorikan berada pada tahap tiga.

Situasi tersebut memerlukannya bernafas dengan bantuan oksigen. Doktor juga membuat kesimpulan bahawa wanita berusia 46 tahun itu mengalami pneumonia (radang paru-paru) Covid-19.

“Walau dah keluar hospital selepas hampir seminggu ditempatkan di wad, saya masih semput dan nafas juga pendek. Hampir dua bulan juga saya ambil masa untuk kembali pulih,” kongsinya.

Pun demikian, dua tahun selepas itu, beliau sekali lagi dijangkiti Covid-19. “Walaupun sudah lengkap vaksinasi, saya masih mengalami simptom seperti demam, semput dan termengah-mengah ketika menaiki tangga,” katanya yang hanya kuarantin di rumah semasa jangkitan kali kedua tersebut.

Beritahu Norfadzilah, tiada apa yang boleh dilakukannya bagi memulihkan tahap kesihatan, selain mengamalkan gaya hidup sihat.

“Sebagai langkah awal, saya bersenam dengan berjalan perlahan-lahan. Kemudian, barulah saya cuba mendaki, itu pun dilakukan dengan cara santai,” katanya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!