Bukan hanya wanita saja mandul, lelaki pun sama. Kondisi azoospermia yang membimbangkan

PASANGAN suami isteri, Suhaimi dan Zulaikha (kedua-duanya bukan nama sebenar) sudah sembilan tahun berkahwin.

Malangnya, mereka masih belum dikurniakan cahaya mata. Setelah dipujuk Zulaikha, 32, akhirnya Suhaimi, 38, bersetuju untuk melakukan pemeriksaan dengan pakar kesuburan.

Keputusan ujian ke atas Suhaimi begitu mengejutkan apabila beliau didapati tiada benih (sperma) dalam air maninya. Keadaan itu dinamakan azoospermia.

Tidak mahu cepat berputus asa, lelaki tersebut bersetuju melakukan prosedur Testicular Sperm Aspiration (Tesa) yang menyaksikan spermanya disenyawakan dengan telur Zulaikha melalui prosedur persenyawaan in vitro (IVF).

Pasangan itu akhirnya menimang cahaya mata pertama, sementara empat lagi embrio telah dibekukan untuk keperluan pada masa akan datang.

Untuk mengupas lebih lanjut tentang azoospermia yang jarang diketahui masyarakat, SinarPlus mendapatkan Pakar Kesuburan, KL Fertility & Gynecology Centre dan Hospital UMRA, Dr Jasdev Singh Harbhajan Singh.

Menurut Dr Jasdev, azoospermia secara dasarnya adalah merujuk kepada ketidakupayaan lelaki untuk mempunyai anak atau mudah kata mandul. Ia dialami oleh 5 peratus dalam kalangan pasangan yang tidak subur.

“Pada asalnya, ramai mengandaikan kondisi itu tidak boleh dirawat, tetapi dengan adanya pembedahan pengambilan sperma (SSR) dan suntikan sperma intracytoplasmic (ICSI), ramai pasangan yang tak subur (berkaitan azoospermia) berjaya dirawat,” katanya.

Terdahulu, beritahu pakar berkenaan, daripada semua kes ketidaksuburan, kira-kira 40 hingga 50 peratus sebenarnya adalah disebabkan oleh ‘faktor lelaki’.

Tersumbat

Apa punca azoospermia? Jawab Dr Jasdev, ia adalah disebabkan oleh sperma kosong pada lelaki yang payah untuk digeneralisasikan. Terdapat dua punca yang perlu diketahui iaitu:

i. Azoospermia obstruktif
Ia disebabkan oleh masalah tersumbat pada sistem reproduktif.
Testis mampu menghasilkan sperma, tetapi saluran sistem kemaluan tersumbat mengakibatkan sperma tidak terdapat dalam air mani.

ii. Azoospermia tanpa halangan (tidak obstruktif) (NOA)
Ia mempunyai kaitan dengan masalah pengeluaran sperma.
Kebarangkalian hal ini berlaku adalah kerana badan tidak boleh menghasilkan sperma lantaran gangguan hormon atau fungsi testis yang tidak sempurna.

Faktor yang boleh menjadi penyebabnya mungkin seseorang sedang menjalani rawatan kanser, mengambil ubat-ubatan tertentu, mengalami bengkak skrotum atau varikokel, hormon tidak seimbang termasuk faktor keturunan.

Berbicara lanjut, Dr Jasdev memberitahu, azoospermia terbahagi kepada tiga jenis.

Pertama, azoospermia sebelum testis. Situasi itu berlaku apabila seorang lelaki mengalami gangguan hormon seks yang menjejaskan pengeluaran sperma dalam buah zakar.

“Terdapat beberapa perkara yang boleh menyebabkan keadaan itu. Antaranya adalah sindrom Kallman iaitu gangguan genetik yang diwarisi pada kromosom X. Keadaan ini dicirikan oleh tahap rendah hormon gonadotropin (GnRH) dan penurunan fungsi deria bau.

 

“GnRH sendiri bertanggungjawab untuk merangsang kelenjar pituitary untuk merembeskan hormon yang merangsang pengeluaran sperma,” jelasnya.

Seterusnya adalah gangguan hypothalamus atau kelenjar pituitary di dalam otak.

Situasi tersebut disebabkan oleh pendedahan kepada radiasi atau sesetengah ubat terutamanya yang digunakan dalam rawatan kemoterapi.

Selain itu, pengaruh alkohol, rokok dan dadah juga boleh mencetuskan gangguan hypothalamus di dalam otak, ujar beliau.

Kedua adalah azoospermia testis yang berlaku apabila kaum Adam berdepan dengan kerosakan pada struktur atau fungsi testis mereka. Terdapat beberapa perkara yang boleh menyebabkan keadaan itu. Antaranya adalah:

Jangkitan pada saluran pembiakan. Lelaki yang mempunyai sejarah epididymitis dan urethritis lebih berkemungkinan mengalami keadaan ini.

Orchitis atau keradangan yang berlaku pada buah zakar dalam skrotum.
Kecederaan pada kemaluan akibat kemalangan atau hentaman keras.

Anorchiae atau dikenali sebagai sindrom testis hilang apabila ia (testis) tidak muncul atau hilang selepas peringkat kritikal pembentukan organ seks.

Cryptorchidisme yang merujuk kepada buah zakar bayi lelaki pada trimester ketiga tidak turun ke dalam skrotum semasa dilahirkan.

Sindrom Klinefelter iaitu gangguan yang diwarisi daripada keturunan yang menyebabkan lelaki mempunyai kromosom X tambahan dan mempamerkan ciri wanita.

Sejarah penyakit tertentu seperti diabetes, sirosis atau kegagalan buah pinggang yang boleh meningkatkan risiko lelaki mengalami keadaan itu.

Ketiga adalah azoospermia selepas testis. Ia berpunca apabila sperma yang dihasilkan dalam testis tidak dapat dilepaskan daripada zakar.

“Apa yang boleh disimpulkan, ia antara punca utama yang kerap dialami oleh lelaki dengan azoospermia,” katanya.

Menerangkan lebih lanjut, ujar Dr Jasdev, senario itu tercetus akibat ejakulasi retrograde dan azoospermia obstruktif.

“Untuk pemahaman mudah, air mani tidak keluar melalui pembukaan zakar.

Sebaliknya, (air mani) bertukar memasuki ke dalam pundi kencing. Azoospermia obstruktif pula berlaku apabila tiub yang membawa sperma daripada testis ke zakar tersumbat,” katanya.

BACA JUGA: Rawatan pestalotiopsis bantu tingkatkan semula hasil peneroka getah

BACA JUGA: PCOS boleh sebabkan kemandulan, kanser, diabetes dan serangan jantung. Ini cara mencegah

Rawatan hormon

Dalam pada itu, Pakar Ginekologi yang juga merangkap Pengarah Perubatan Hospital UMRA, Datuk Dr Mohamed Rafi Mohammed Feizal berkata, lazimnya doktor tidak boleh memberi diagnosis secara langsung dengan hanya mendengar aduan pesakit.

Justeru, mereka yang terbabit perlu hadir ke hospital untuk menjalani ujian di makmal khas.

“Perkara pertama yang doktor akan lakukan adalah meminta pesakit memberi sampel pancutan air mani. Selepas itu, ujian akan dijalankan di makmal menggunakan mikroskop berkuasa tinggi. Jika keputusan menunjukkan tiada sperma di dalamnya, maka mereka akan didiagnosis dengan azoospermia,” ujarnya.

Iklan

Mengenai perawatan, terdapat beberapa cara akan dilaksanakan mengikut kategori.

i) Rawatan untuk azoospermia obstruktif
Jika pembedahan berjaya, peluang pasangan untuk hamil tinggi.
Antara jenis pembedahan yang boleh dilakukan adalah:
Pembalikan vasektomy untuk menyambung semula saluran sperma supaya ejakulasi boleh berlaku.
Tese/Tesa adalah prosedur untuk mengekstrak sperma daripada tisu testis menggunakan potongan kecil.

ii) Rawatan untuk azoospermia tidak obstruktif
Jika tidak terlalu serius, sesetengah orang hanya perlu melakukan perubahan gaya hidup dari sudut pemakanan, ubat-ubatan dan suntikan hormon.

Selain itu, ujar Dr Mohamed Rafi, rawatan hormon juga dilakukan mengikut tahap (hormon) yang diperlukan.

“Ini membolehkan sperma dihasilkan semula oleh badan. Beberapa jenis hormon yang diperlukan adalah seperti hormon perangsang folikel (FSH), Human chorionic gonadotropin (hCG) dan clomiphene,” katanya.

Sesetengah lelaki, kata pakar itu, mungkin mengalami varicocele iaitu saluran darah membengkak di dalam skrotum yang menghalang pengeluaran sperma. Oleh itu, proses microscopic varicocelectomy diperlukan untuk mengenal pasti dan mengikat urat yang bermasalah.

“Kejayaan proses tersebut mencapai 40 peratus dalam memulihkan pengeluaran sperma,” ungkapnya.

Menurut Dr Mohamed Rafi lagi, dalam satu penyelidikan, lelaki tidak subur dengan NOA dan sejarah satu kegagalan mTESE, suntikan PRP testis menghasilkan pengenalpastian sel sperma dalam 21.8 peratus (12/55).

Kadar implantasi atau kelahiran hidup yang berterusan sebanyak 10.9 peratus (6/55).

“Oleh yang demikian, suntikan intratesticular PRP autologous dianggap sebagai strategi rawatan alternatif pada lelaki dengan NOA,” jelasnya.

BACA JUGA: Dituduh mandul dan tak solat, Hafidz Roshdi kongsi rutin Elizad di lokasi penggambaran

#kesresponden

Isteri tanggung seksa, suami tak percaya keputusan ujian

SELAMA 10 tahun dirinya dicerca dan dipersalahkan gara-gara tidak mampu memberi anak. Namun, akhirnya kebenaran terbongkar.

Suhaila Masri, 41, (bukan nama sebenar) berkata, pemeriksaan yang tidak dirancang ke atas suaminya menemukan satu jawapan yang meleraikan segala spekulasi.

Iklan

“Sepanjang perkahwinan, kami sebenarnya telah mendapatkan rawatan di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara.

“Ujian pap smear, ujian hormon dan transvaginal ultrasound saya semua okey. Memang jelas saya tiada masalah tentang kesuburan, tetapi pakar menjelaskan, memang tiada air mani dalam sperma suami. Pun begitu, suami saya menyatakan keputusan itu tidak tepat. Dia juga mempertikaikan banyak perkara,” katanya.

Lebih membuatkan Suhaila derita, lelaki berkenaan bercakap bohong dengan ahli keluarganya dan sanggup menuduh beliau yang menjadi punca tidak dapat melahirkan anak.

“Saya telan saja kerana saya seorang wanita tak berpelajaran dan tak bekerja. Hidup saya bergantung kepada suami sepenuhnya. Sampai peringkat saya dah tak kisah kalau dimadukan,” ceritanya dengan nada sebak.

Mahu dipendekkan cerita, pertemuan semula suami beliau dengan rakan seuniversiti yang juga seorang pakar perubatan telah mengubah perspektif negatif yang dihambur selama ini.

“Kawan suami ajak dia buat ujian sperma dan ya, sekali lagi membuktikan dia yang mandul. Kilang spermanya rosak dan mungkin tersumbat. Disebabkan rakannya juga merupakan saudaranya sendiri, berita tersebut tersebar,” katanya ketika ditemu bual menerusi aplikasi Google Meet.

Atas nasihat doktor, suami Suhaila mengubah tabiat pemakanan yang kurang sihat dengan diet yang bernutrisi.

Pun demikian, selama lebih kurang dua tahun, pasangan terbabit masih tiada rezeki untuk memperoleh zuriat.

Ditanya adakah mereka mencuba untuk mendapatkan rawatan susulan seperti melakukan pembedahan pengambilan sperma, suntikan sperma intracytoplasmic dan lain-lain prosedur, Suhaila menggelengkan kepala.

Kekangan kewangan yang membataskan segalanya, akui beliau.

Melewati usia 40-an, Suhaila berkata, dirinya semakin matang mencatur kehidupan.

“Sedih untuk saya katakan, suami sudah menyatakan hasrat untuk menceraikan saya disebabkan mengaku telah ‘menyeksa’ perasaan saya selama ini,” katanya.
Ketika artikel ini disiarkan, pasangan berkenaan sedang duduk berasingan demi untuk memulihkan perhubungan mereka kembali.

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!