Bukan hanya kanak-kanak, orang dewasa juga boleh alami penyakit jantung berlubang. Ini penjelasan pakar
JANTUNG adalah satu organ yang sangat ajaib dan mempunyai peranan yang sangat penting untuk manusia.
Ia berfungsi untuk mengepam darah ke seluruh anggota badan dan membekalkan oksigen kepada sel-sel tubuh.
Apabila jantung berdepan dengan kerumitan, ia akan memberi impak yang bukan biasa-biasa kerana boleh meragut nyawa manusia sekelip mata.
Menurut MedlinePlus, sebarang ketidaksempurnaan pada strukturnya boleh mengakibatkan masalah jantung kongenital. Antaranya seperti jantung berlubang.
Kongenital bermaksud kecacatan yang muncul semasa kelahiran bayi dan ia berlaku apabila jantung tidak berkembang secara normal semasa proses kehamilan.
Menurut Persatuan Jantung Kebangsaan Malaysia, satu daripada 100 bayi yang lahir di negara ini mengalami masalah tersebut.
Untuk mendapatkan pencerahan lanjut, SinarPlus menghubungi Pakar Perunding Jantung dan Perubatan, Klinik Pakar Jantung Dr Rahim, Dr Abd Rahim Tahir.
Menurut Dr Abd Rahim, secara umumnya, jantung adalah salah satu organ terawal yang diciptakan sebaik berlaku persenyawaan ovum dan sperma.
Pembinaan lengkap jantung berlaku apabila janin berusia lapan minggu.
“Kecacatan struktur organ berotot yang mengepam darah ke seluruh badan itu boleh dikesan seawal bayi dalam kandungan atau sebaik dilahirkan.
“Pun demikian, masalah seperti jantung berlubang, injap tidak sempurna, salur darah besar atau salur darah hilang hanya dijumpai ketika pesakit dewasa,“ katanya yang ditemu bual menerusi aplikasi Google Meet baru-baru ini.
Ujar beliau, penyakit jantung berlubang adalah masalah jantung kongenital yang paling kerap ditemui. Ia terdiri daripada beberapa kategori seperti:
i.Ventricular septal defect (VSD): Terdapat lubang antara dinding ventrikel kiri dan kanan. Ia paling kerap terjadi dalam kalangan pesakit.
ii. Atrial septal defect (ASD): Terdapat lubang antara atrium kanan dan kiri.
iii. Patent ductus arteriosus (PDA): Memiliki bukaan antara saluran darah yang menghubungkan aorta dan arteri pulmonari.
Pesakit dewasa
Kepada satu soalan, Dr Abd Rahim menjelaskan, punca kegagalan jantung berkembang dengan betul masih tidak dapat dipastikan, namun ia mempunyai perkaitan dengan gaya hidup ibu semasa hamil.
“Sebagai contoh, wanita mengandung yang merokok dan minum alkohol, boleh memberi kesan kepada perkembangan bayi.
“Selain keturunan, antara faktor risiko lain adalah si ibu mengalami jangkitan rubella atau menghidap penyakit kronik seperti diabetes,“ katanya.
Beliau menambah, situasi tersebut turut boleh dipengaruhi dengan masalah genetik atau kromosom seperti sindrom Down, sindrom Turner atau sindrom Marfan.
Pada masa sama, wanita yang terdedah kepada radiasi atau pengambilan ubat tertentu berupaya menyumbang kepada masalah jantung kongenital.
Dari segi simptom, Dr Abd Rahim berkata, lazimnya, ia hanya boleh dilihat jika saiz lubang pada jantung adalah besar. Namun, terdapat beberapa petanda lain yang biasanya dirujuk. Antaranya:
i. Mempunyai deruan jantung murmur.
ii. Jari dan bibir kelihatan kebiruan.
iii. Jantung berdegup laju.
iv. Cepat penat dan kurang selera makan.
v. Bayi mengalami masalah tumbesaran.
vi. Jangkitan kuman pada paru-paru.
Ujar Dr Abd Rahim, penyakit jantung kongenital juga boleh dikesan ketika seseorang sudah dewasa.
Berdasarkan pengalaman, beliau pernah merawat seorang wanita berusia 40 tahun yang hadir ke kliniknya selepas mengadu penat.
“Pesakit saya ini ialah seorang guru. Beliau telah menjalani pemeriksaan dengan beberapa orang doktor. Namun, rata-rata pengamal perubatan berkata, keletihannya adalah berpunca daripada pekerjaan dan tekanan yang dihadapi,“ kongsinya.
Pun demikian, beliau mendapati jantung sebelah kanan guru itu bengkak dua kali ganda berbanding sebelah kiri.
“Ujian yang terperinci juga berjaya mengesan lubang bersaiz kira-kira 2 sentimeter. Keadaan itu menunjukkan ibu terbabit memang sudah menghidap penyakit jantung sejak lahir. Namun, ia gagal dikesan awal kerana lokasinya bukan pada bahagian yang biasa ditemui,“ ujarnya.
Justeru, apabila usia bertambah, keadaan jantung berlubang telah menyebabkan perjalanan darahnya tidak stabil sehingga memicu komplikasi pada tuan punya badan.
Sebagai seorang yang arif dalam bidang itu, Dr Abd Rahim berkata, bunyi deruan jantung yang didengari menggunakan stetoskop sudah mampu mengesan jenis jantung berlubang yang dialami penghidap. Selain alatan tersebut, pengesanan juga boleh dibuat melalui X-ray, elektrokardiogram dan ekokardiogram.
Ujian menggunakan peralatan yang lebih canggih seperti CT scan dan Pengimejan Resonans Magnetik mungkin perlu dijalankan sekiranya lokasi dan saiz lubang masih gagal dikesan menggunakan metodologi biasa.
Rawatan penyakit jantung tidak boleh ditangguh, sebaliknya perlu dirawat pada masa yang tepat, ujar Dr Abd Rahim.
“Berdasarkan kes guru tadi, hasil analisis mendapati masalah jantungnya boleh dipulihkan menggunakan kaedah pembedahan,“ tambahnya.
Teknologi terkini rawatan
SinarPlus kemudian menemui Pakar Kanak-Kanak dan Jantung Kanak-Kanak, Hospital Pakar KPJ Tawakkal, Dr Zarin Ikmal Zain Mohd Zain.
Jelas Dr Zarin Ikmal, lubang kecil pada dinding jantung sama ada bahagian atria atau ventrikel tanpa kecacatan lain mempunyai 75 peratus peluang untuk tertutup dengan sendiri.
“Bagi keadaan dinding yang tidak lengkap, lubang pada bahagian lain seperti injap, saluran atau kedudukan organ yang tidak sempurna memerlukan prosedur pembedahan dan ubat-ubatan,“ terangnya.
Beritahu beliau, dahulunya, pembedahan jantung dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia dilakukan dengan kepakaran daripada doktor dari luar negara.
Namun demikian, sejak tertubuhnya Institut Jantung Negara sekitar tahun 1990-an, rawatan dikendalikan oleh pakar tempatan dan ia sesuatu yang amat dibanggakan.
Bagaimanapun, kata beliau, Malaysia berdepan dengan kekurangan tenaga pakar dan jumlah fasitili bagi merawat pesakit yang memerlukan rawatan lebih rumit.
Perkembangan teknologi juga telah melonjakkan teknik rawatan yang lebih bersifat lebih terkini dan canggih, ungkap pakar berkenaan.
“Salah satu rawatan terbaharu untuk masalah jantung berlubang adalah kaedah trans-catheter yang menggunakan kateter atau tiub untuk menutup lubang pada jantung dengan alatan khas,“ katanya.
Ujar Dr Zarin Ikmal, pakar juga mungkin beralih kepada kaedah gelombang berfrekuensi tinggi untuk membuka saluran darah yang sempit menggunakan stent.
Alternatif lain pula adalah menggunakan teknik hidrid iaitu gabungan rawatan pembedahan dan katerer.
Jelasnya, seseorang pesakit memerlukan pembedahan apabila hemodynamic atau aliran darah tidak lagi boleh ditampung oleh jantung.
Baca juga: Cabaran diet 30 hari tanpa gula. Apa akan jadi pada jantung, berat badan dan hati kita?
“Mereka yang dilahirkan dengan masalah jantung yang amat kompleks atau tidak dapat tertutup dengan sendiri juga memerlukan rawatan segera bagi mengelakkan risiko kematian,“ katanya.
Apakah pantang larang dan diet khusus kepada pesakit jantung? Ujar Dr Zarin Ikmal, para pesakit dinasihatkan untuk mendapatkan permakanan seimbang yang lengkap dengan protein, karbohidrat, lemak, vitamin dan mineral.
“Ia sangat penting bagi mencapai berat badan yang sepatutnya,“ katanya.
Sofi terima rawatan di IJN sejak bayi, kini dalam fasa penyembuhan
BERKECAI hati Sarimah Solikin, 38, apabila permata hatinya, Sofi Mursyid Mustafaruddin yang baru berusia empat bulan ketika itu disahkan menderita sakit jantung berlubang.
Menurut Sarimah, pada awalnya, demam si kecil kesayangan tidak kebah. Suhu badan pula sangat panas sampai mencecah 39 hingga 40 darjah Celsius.
“Bimbang dia terkena sawan tarik, saya dan suami bawa Sofi (panggilan manja anaknya) ke sebuah lagi klinik.
“Sebaik melihat pernafasan anak saya lebih laju daripada kebiasaan, doktor syak ia adalah salah satu gejala atau petanda bayi mengalami masalah jantung berlubang,“ ujarnya yang terus membawa Sofi menjalani pemeriksaan di hospital.
Diagnosis seterusnya mengesahkan Sofi menghidap masalah jantung kongenital. Perkhabaran itu amat mendukacitakan keluarga berkenaan.
“Dipendekkan cerita, daripada hospital negeri, anak saya dicadangkan untuk mendapatkan rawatan intensif di Institut Jantung Negara (IJN).
“Bayangkan, sejak usianya lima bulan lagi, Sofi perlu berulang-alik ke IJN mengikut jadual yang diberikan.
“Menurut doktor, keadaan jantung berlubangnya boleh tertutup dengan sendiri seiring pembesaran kanak-kanak. Ya, Sofi menunjukkan perkembangan seperti yang dinyatakan,“ kata beliau yang terpaksa berhenti kerja untuk menumpukan perhatian sepenuhnya menjaga anak tercinta.
Ketika ditanya berkenaan aktiviti harian Sofi semasa kecil, Sarimah berkata, walaupun anaknya nampak aktif, namun beliau cepat penat, bernafas laju dan kerap berpeluh.
Sofi juga tidak tahan atau terkena habuk dan tidak boleh terlalu terdedah dengan kipas angin.
“Atas nasihat doktor, saya telah mengehadkan aktiviti yang boleh disertainya di sekolah dan di asrama.
“Saya juga telah maklumkan kepada gurunya tentang tahap kesihatan Sofi bagi mengelakkan beliau pengsan atau berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini,“ ujarnya.
Baca juga: Sakit tengah dada waktu pagi jangan ambil mudah, 15 tanda serangan jantung wanita perlu tahu
Baca juga: Degupan jantung tiba-tiba laju, mungkin 4 keadaan ini punca. Bahaya!
Kepada satu soalan, menurut wanita tabah tersebut, tiada sebarang ubat dibekalkan dan setiap kali kunjungan ke IJN, Sofi perlu menjalani ujian ekokardiogram, imbasan dan pengimejan resonans magnetik (MRI) untuk memantau perkembangan lubang pada jantungnya.
Pada Julai lalu, beritahu Sarimah, pakar mencadangkan agar rawatan pembedahan dilakukan selepas pemeriksaan susulan mendapati jantung anaknya yang sudah berusia 13 tahun itu mengalami pembengkakan.
“Segala puji bagi ALLAH, prosedur menutup salah satu lubang pada jantungnya berjalan lancar dan anak saya kini dalam fasa penyembuhan. Seperti biasa, dia akan meneruskan pemeriksaan berkala di IJN,“ ujar wanita tersebut.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang