Hanya guna 1 cawan cip coklat boleh hasilkan mufin gebu
SUDAH menjadi lumrah kehidupan sebagai kanak-kanak tidak menolak jika dihidangkan makanan berasaskan coklat.
Usahkan anak-anak, orang dewasa juga tidak mampu menepis ‘godaan’ keenakan rasa koko, apatah lagi jika hidangan tersebut dihias kemas dengan pelbagai manisan.
Perkara itu tidak dapat disangkal kerana setiap kali penulis menghadiri majlis ulang tahun yang menyajikan sajian sampingan seperti kek coklat, donut dan brownies, sudah tentu pemanis mulut berkenaan yang habis dahulu sebelum juadah utama.
Pun demikian, jika dilihat daripada aspek kesihatan, pengambilan coklat yang begitu banyak sehingga mendorong anak-anak mahu menikmatinya setiap hari sememangnya tidak baik untuk kesihatan.
Bagaimanapun, sebagai ibu yang mempunyai kemahiran memasak, mereka seharusnya bijak dalam mempelbagaikan hidangan berasaskan coklat.
Sekiranya mak-mak buntu dan sudah kekeringan idea, SinarPlus ingin berkongsi satu resipi mudah cara membuat mufin coklat hanya menggunakan air fryer atau penggoreng udara.
Haa… SinarPlus gerenti, resipi yang dikongsikan oleh Nurul Ain menerusi laman sosial Facebook, sememangnya akan menjadi kerana ia benar-benar ringkas untuk disediakan.
Beritahu Nurul Ain, sementara menunggu anak-anak pulang daripada kelas silat, beliau sempat membuat mufin coklat yang dibakar menggunakan penggoreng kering.
Berikut bahan dan cara memasak:
Bahan-bahan
- 1 1/2 cawan tepung
- 3/4 cawan serbuk koko
- 1 sudu kecil serbuk penaik
- 1 sudu kecil soda bikarbonat
- 1 sudu kecil garam
- 1 biji telur
- 2/3 cawan susu penuh krim
- 1 cawan minyak masak
- 1 cawan gula
- Esen vanila
- 1 cawan cip coklat
Cara penyediaan:
1. Langkah pertama adalah ayak tepung, serbuk koko, soda bikarbonat, serbuk penaik dan garam, kemudian ketepikan sebentar.
2. Seterusnya, masukkan telur, susu, minyak, gula, esen vanila ke dalam bekas dan kacau sehingga sebati.
3. Campurkan bahan-bahan yang telah diayak ke dalam bancuhan dan kacau.
4. Selepas itu, masukkan pula cip coklat ke dalam bancuhan dan gaul sehingga adunan sekata.
5. Masukkan adunan ke dalam acuan mufin dan bakar dengan suhu 180 darjah Celsius.
6. Siap untuk dihidangkan.
Nampak tak? Resipi yang menggunakan sukatan cawan itu memang mudah untuk disediakan.
Buat para ibu yang tiada penggoreng kering, jangan risau, mufin coklat juga boleh dibakar dengan menggunakan ketuhar. Apa tunggu lagi, jom cuba!
Kredit foto utama: Nurul Ain dan Pixabay
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang