Ini perbezaan antara ‘Baik Sebelum’ dan ‘Guna Sebelum’ pada pek produk makanan, minuman

A
A
A

PERASANKAH anda akan label tarikh luput pada produk makanan dan minuman yang mencatat ‘Baik Sebelum’ (Best before) atau ‘Guna Sebelum’ (Use by) yang terpapar pada setiap bungkusan?

Mesti ramai yang masih tidak tahu atau keliru akan perbezaannya, bukan? Terus-terang penulis pun kadang-kadang tak berapa mahu faham.

Membantu memberi pencerahan mengenai hal itu, Pensyarah Kanan Kimia, Universiti Teknologi Mara, ChM Dr Fatimah Salim berkongsi pengetahuan itu menerusi Facebooknya.

Dr Fatimah Salim.

Tulisnya, label tarikh luput diguna pakai untuk produk-produk yang mudah rosak seperti makanan dan minuman, ubatan, kosmetik, bahan letupan, tayar, bateri dan macam-macam lagi.

“Sebenarnya ada perbezaan pada kedua jenis label tarikh luput ini. Kita tidak seharusnya mengambil ringan akan hal ini kerana ada sebabnya makanan atau minuman dilabel sebegitu,” beritahu beliau.

Mempericikan lebih lanjut, kata Dr Fatimah, tarikh yang tertera sebagai ‘Guna Sebelum' adalah tarikh akhir sesuatu produk itu selamat untuk dimakan.

Baca juga Khasiat buah kering tidak sama dengan buah segar, ini sebabnya yang kita perlu tahu

Lazimnya, ia digunakan pada produk makanan yang cepat rosak dan tidak perlu simpan lama seperti daging, susu, kek, roti, telur dan sebagainya.

“Bagi produk makanan yang dilabel sebegitu, haruslah dibuang serta-merta selepas tarikh yang dinyatakan,” tegasnya.

Bagi tarikh untuk label ‘Baik Sebelum’ pula, ia menunjukkan sifat atau kualiti produk tertentu sehingga tarikh yang dinyatakan.

Selepas pada tarikh yang dinyatakan pada bungkusan itu, produk itu sudah tidak boleh dijual kerana kualitinya seperti kehilangan kesegaran, tekstur, aroma, rasa dan nutrisi asalnya sudahpun berkurang.

“Namun demikian, ia tidak bermaksud makanan itu tidak lagi selamat untuk dimakan.

“Kita sebagai pengguna boleh menilai sesuatu produk makanan itu sama ada sudah rosak atau tidak. Caranya dengan melihat pada perubahan rupa seperti berkulat, berlendir, berkeladak, pembentukan lapisan cecair, warna asal berubah, bau (tengik disebabkan oksidasi) dan perubahan rasa disebabkan oleh berlakunya tindak balas kimia pada produk berkenaan,” tambahnya lagi.

Ingat, sekiranya terdapat perubahan berkenaan maka kita seharusnya membuang terus produk itu.

“Bagi memastikan makanan atau minuman mempunyai jangka hayat yang lama, simpan di dalam peti sejuk sama ada freezer atau chiller.

“Suhu yang rendah akan melambatkan proses tindak balas kimia bahan dalaman produk dan membantu memperlahankan pertumbuhan kulat dan aktiviti bakteria perosak,” pesan Dr Fatimah.

Harap-harap penjelasan Dr Fatimah memberi kefahaman yang lebih tepat, jelas dan nyata kepada kita semua.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca