Transisi bahan kitar semula jadi fesyen

A
A
A

KISAH pujangga Pak Kaduk yang menghasilkan pakaian menggunakan kertas bukan lagi satu cerita dongeng rakyat semata-mata.

Ironinya, idea tersebut berjaya direalisasikan oleh 20 peserta yang menyertai pertandingan Waste Is Amazing anjuran Alam Flora Sdn Bhd.

Memasuki tahun ke-9 penganjurannya, acara tersebut bukan sahaja bertujuan untuk mendidik masyarakat tentang kesedaran kitar semula barangan terpakai, bahkan turut memberi peluang kepada Muhammad Danish Saiful Rizal dari Management & Science University untuk menjangkau kreativiti seninya.

 

Baca juga:Terkini dan kontemporari usana indah mempelai Diraja Brunei rupanya direka Datuk Seri Bernard Chandran

Baca juga: Peneman setia pencinta sukan ekstrem gro pro hero10 lebih kompak dan versatil

 

Kepada SinarPlus, Muhammad Danish mengakui, bukan mudah sebenarnya untuk menghasilkan busana yang mampu dipakai, apatah lagi 100 peratus diperbuat daripada kertas terpakai.

Mengambil masa sekitar seminggu untuk disiapkan, beberapa eksperimen telah dilakukan bagi mengelak kesilapan daripada terus berlaku.

Muhammad Danish (kiri) dan Wan Rahman.

Antaranya, beliau amat menitikberatkan soal kefahaman terhadap kandungan dan kadar kepekatan gam yang diperlukan untuk melekatkan ratusan helai kertas agar pakaian tidak rosak ketika dipakai oleh model.

Sempena pertandingan itu, Muhammad Danish berkata, beliau mengambil inspirasi seni oriental Mandarin dengan padanan rona putih, biru dan corak hitam pada busananya.

“Tema tahun ini ialah Paper Couture, justeru idea itu dijadikan pertaruhan. Apa jua konsep, pakaian yang dicipta perlu menggunakan kertas dan pastinya itu satu cabaran kerana kebiasaannya saya menggunakan kain untuk membuat pakaian.

"Ya, benar, kesabaran yang tinggi amat diperlukan kerana sekali cubaan belum tentu sempurna. Saya sendiri beberapa kali perlu berdepan dengan kegagalan seperti gam terlalu keras, kertas koyak dan pelbagai masalah lagi," ujar pelajar jurusan Rekaan Fesyen itu.

Menariknya tentang sentuhan anak muda berusia 20 tahun berkenaan, rekaan wearable art yang dipengaruhi dengan keunikan gaya seni bina telah membuatkan busananya memiliki daya tarikan tersendiri.

"Saya mengetengahkan teknik siluet bagi mewujudkan gambaran seakan-akan reka bentuk binaan. Bagi memastikan ia kukuh, saya menggunakan teknik dipanggil paper sculpture," jelas pemenang tempat kedua pada pertandingan Waste Is Amazing itu.

Dengan nada semangat, Muhammad Danish berkata, beliau mahu menjadikan kemenangannya itu sebagai batu loncatan untuknya menjadi pelapis pereka fesyen tempatan yang seterusnya.

Lebih membuatkan remaja tersebut teruja, pertandingan yang diadili oleh idolanya, Hatta Dolmat membuatkan skala semangatnya semakin berkobar-kobar.

"Untuk pelan jangka panjang, saya juga sudah merancang untuk memiliki label sendiri, Darzl yang memberi fokus kepada rekaan siap dipakai.

"Saya juga mengharapkan agar pakaian bercirikan wearable art dapat diterima masyarakat dan mampu dipakai ke mana sahaja," ujarnya.

Kukuhkan kedudukan

Sementara itu, bagi Wan Rahman Muhammad Izzuan Abdul Rahman dari Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang, Johor turut mengharapkan kemenangannya di tempat ketiga dapat mengukuhkan lagi jenamanya dalam industri.

Pereka berusia 25 tahun itu gembira apabila percubaan kali ketiga menyertai pertandingan tersebut akhirnya membuahkan hasil.

Akui Wan Rahman, semangat tidak mudah menyerah kalah membuatkannya akan terus menyertai pertandingan tersebut sehinggalah dinobatkan sebagai juara.

"Sebelum ini, saya sudah menceburi bidang fesyen secara profesional dengan mengambil tempahan baju. Jadi, saya fikir ini adalah peluang terbaik untuk melakukan anjakan dalam kerjaya dan menimba pengalaman baharu," katanya .

Sepanjang menyertai pertandingan tersebut, antara perkara bermanfaat yang dipelajarinya adalah mengenai teknik tampalan gam dan jahitan yang tepat.

Dalam menghasilkan karyanya yang berupa gaun berona hitam dan coklat muda, anak muda tersebut telah membuat sejumlah gulungan kertas. Ia kemudian dijahit dengan menerapkan corak jahitan jelujur yang dilakukan menggunakan tangan sebelum menampal bahan terpakai berkenaan.

Bagi menaikkan seri busana, pereka fesyen itu mengetengahkan elemen cocoon yang menyaksikan bahagian bawah hingga paras pinggang gaun dilekatkan dengan potongan kertas kelihatan seperti kelim berkedut-kedut atau ropol.

"Sementara bahagian dada pula diletakkan dengan gulungan kertas kecil yang disusun rapi sebagai penambah seri gaun ini," katanya yang mengambil masa sekitar tiga minggu untuk menyiapkan rekaan megah itu.

 

Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca