Bayar online, elak bersalaman bila tunaikan zakat fitrah

Harta
April 22, 2020
Oleh Nurulfatiha

TIDAK seperti tahun-tahun sebelum ini, keadaan new normal akibat wabak Covid-19 turut mengubah kaedah pembayaran zakat. Ya, zakat fitrah pada tahun ini perlu dibayar secara online.

Walaupun sudah ada kaedah pembayaran atas talian sebelum ini, namun rata-rata orang gemar memilih untuk menunaikan kewajipan itu menerusi amil yang berhampiran.


Apa jua kaedah pembayaran yang digunakan, zakat fitrah itu tetap wajib ditunaikan oleh setiap orang Islam yang berkemampuan.

Memandangkan kita masih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semua Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Agensi Mengurus Zakat (AMZ) di seluruh negara akan mengoptimumkan kaedah pembayaran zakat online. Tujuannya untuk memudahkan pembayar menunaikan kewajipan itu dengan lebih pantas dan selamat.

Ia sebagaimana yang dinyatakan oleh Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) Jabatan Perdana Menteri menerusi soalan lazim berkaitan zakat ketika PKP baru-baru ini.

Iklan

Bagaimana pula golongan yang mempunyai kekangan seperti tiada capaian internet dan tidak mahir menggunakan teknologi untuk membayar zakat?

Kata JAWHAR, hampir kesemua MAIN dan AMZ masih menyediakan perkhidmatan pembayaran zakat menerusi amil yang dilantik. Bagaimanapun, ia dilaksanakan pada tahap yang minimum, sesuai dengan keadaan PKP yang sedang dilaksanakan kini.

Iklan

Bagi negeri yang tidak menyediakan perkhidmatan berkenaan, kita boleh merujuk kepada pihak MAIN dan AMZ selaku pihak berkuasa agama negeri masing-masing.

Andai kata, masih ada lagi pembayaran secara manual, langkah berjaga-jaga sebagaimana yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia perlu dilaksanakan.

Pihak MAIN atau AMZ perlu mengenal pasti lokasi yang bersesuaian dengan mengambil kira penjarakan sosial yang selamat.

Ada beberapa mekanisma kutipan yang dicadangkan antaranya bayaran secara pandu lalu, kutipan dari rumah ke rumah dan sebagainya. Apa yang penting, proses pembayaran perlu dijalankan dengan cepat.

Bayar zakat online
KAEDAH pembayaran zakat pandu lalu antara yang dicadangkan, di samping mengambil langkah menjaga kebersihan dan pencegahan seperti pemakaian topeng muka. -Gambar hiasan

Dalam pada itu, JAWHAR turut mengingatkan pembayar agar sentiasa menjaga kebersihan, memakai penutup muka dan menggunakan cecair pembasmi kuman. Jika boleh, sediakanlah wang yang mencukupi ketika pembayaran dibuat dan tidak perlu bersalaman ketika membayar zakat.

Berikut adalah kadar zakat bagi seluruh negeri di Malaysia pada tahun ini iaitu 1441 Hijrah:

1. Johor
– RM7
– RM10

2. Kedah
– RM5
– RM7
– RM14
– RM21

3. Kelantan
– RM7
***Namun, bayaran fitrah dengan kadar RM14 dan RM21 berdasarkan harga beras yang dimakan adalah digalakkan.

4. Melaka
– RM7
– RM14

5. Negeri Sembilan
– RM7

6. Pahang
– RM7

7. Perak
– RM7
– RM14
– RM21

8. Perlis
– RM7

9. Pulau Pinang
– RM7
– RM16

10. Selangor
– RM7
– RM14
– RM21

11. Terengganu
– RM7

12. Sabah
– RM6
– RM7.50

13. Sarawak
– RM7

14. Wilayah Persekutuan
– RM5
– RM7

Jika dilihat, memang ada perbezaan kadar bayaran antara negeri. Ini kerana asal kewajipan zakat fitrah menurut perbahasan fiqh adalah makanan ruji masyarakat setempat.

Di negara ini, zakat fitrah dinilaikan dengan beras yang menyamai sukatan segantang beras. Pendek kata, perbezaan kadar zakat fitrah itu adalah disebabkan oleh jenis beras yang menjadi makanan ruji di sesebuah negeri. Ia berdasarkan kepada kajian yang dilakukan oleh pihak MAIN dan AMZ serta maklumat daripada pemborong.

Secara umumnya, bayaran yang ditunaikan mengikut kadar harga beras yang dimakan oleh majoriti masyarakat adalah memadai.

Begitupun, seandainya kita ingin memilih kadar bayaran yang lebih tinggi sepadan dengan jenis beras yang menjadi makanan ruji kita saban hari, boleh berbuat demikian.

Menurut pandangan Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam hal itu, ia adalah atas kerelaan hati dan dianggap sebagai suatu bentuk ketaatan tambahan yang terpuji.

Namun begitu, bagi mereka yang terjejas dari segi ekonomi akibat PKP dan situasi Covid-19 ketika ini, bayaran zakat fitrah boleh ditunaikan berdasarkan kadar minimum yang telah ditetapkan oleh pihak MAIN atau AMZ mengikut kemampuan diri dan keluarga masing-masing.

Kemudian, segera beredar sejurus urusan berkenaan selesai.

Kepada pembaca Sinar Plus, jangan culas untuk tunaikan kewajipan kita. Tunaikanlah Rukun Islam ke-4 itu dengan sebaiknya. Semoga segala amalan kebajikan kita beroleh rahmat daripada-NYA.

(Sumber: Facebook Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji)

Foto: Bernama

Iklan

About Nurulfatiha

Biodata Penulis